Tag: lengkap dua dos

  • 59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    SEBANYAK 19,336,889 orang atau 59.2 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sebanyak 22,599,346 orang atau 69.2 peratus dari populasi negara telah menerima sekurang-kurangnya satu daripada dua dos vaksin atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    Katanya, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 82.5 peratus telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin manakala 93.6 peratus lagi menerima satu dos atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    “Selain itu, sebanyak 22.1 peratus remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 0.8 peratus lagi lengkap divaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 41,847,256 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya, hari ini.

    Dalam pada itu, KKM berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 273,373 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 116,881 dos pertama diberikan manakala 156,492 lagi melibatkan dos kedua.

  • Hampir semua negeri capai tahap 50 peratus lengkap dua dos vaksin

    Hampir semua negeri capai tahap 50 peratus lengkap dua dos vaksin

    HAMPIR kesemua negeri dan wilayah di Malaysia telah mencapai tahap 50 peratus pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, hanya Kelantan dan Sabah yang belum mencapai tahap 50 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa dengan masing-masing merekodkan 49.9 peratus dan 46.1 peratus.

    Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyaksikan peratusan tertinggi dalam pemberian dos vaksin membabitkan populasi dewasa iaitu 112.9 peratus sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 97.8 peratus lengkap divaksinasi.

    Pencapaian itu diikuti Labuan (102.5 peratus satu dos dan 95.6 peratus dua dos); Sarawak (91 peratus satu dos dan 87.8 peratus dua dos); Negeri Sembilan (98.4 peratus satu dos dan 84.1 dua dos) dan Perlis (92 peratus satu dos dan 72.2 peratus dua dos).

    Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa ketika ini pada sekitar 60 peratus.

    Selain itu, Johor, Pahang, Perak dan Kedah masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin ketika ini pada sekitar 50 peratus.

    Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus atau 16,299,881 individu daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan dua vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Selain itu, 88.9 peratus atau 20,814,413 juta orang populasi dewasa pula telah mendapatkan satu dos vaksin.

    Menurutnya, 49.9 peratus populasi keseluruhan negara telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 manakala 63.7 peratus sekurang-kurangnya satu dos.

    “Ini menjadikan jumlah dos diberikan di seluruh negara termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos adalah sebanyak 37,071,789 dos,” katanya hari ini.

    JKJAV pada masa sama memberitahu, untuk vaksinasi harian, sebanyak 326,476 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, ia melibatkan pemberian 134,307 dos pertama manakala 192,169 lagi dos lengkap.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.