Tag: Lelaki mengamuk

  • Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

    Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

    SEORANG lelaki bersenjatakan parang mengamuk di tengah jalan lama Temerloh-Maran berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, hari ini dan membimbangkan pengguna jalan raya.

    Tindakan lelaki yang tidak berpakaian pukul 11 pagi itu turut menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga kira-kira tiga kilometer.

    Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja.

    Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.

    “Lelaki yang tidak berpakaian itu dilihat mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri dan redah sahaja melaluinya, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa,” katanya seperti Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

    Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.

    “Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek,” katanya.

  • Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dan mencederakan jirannya di kawasan perumahan Bee Bee Park, Alor Setar semalam.

    Suspek warga tempatan, 52, ditahan sekitar pukul 7.50 malam selepas mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis pukul 2.09 petang di Balai Polis Alor Setar.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek didakwa mencederakan mangsa dan memecahkan cermin kereta serta perkakas perniagaan iaitu rak cermin dan peti ais tiga pintu.

    “Polis turut merampas sebiji batu bata berwarna kelabu serta sebatang besi berwarna coklat sepanjang 75 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit juga diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Syazwani Sazali,” katanya.