Tag: Lelaki maut

  • Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    LELAKI maut manakala tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh, pukul 11 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, yang beralamat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, maut di tempat kejadian.

    “Bakal tunangnya, berusia 20-an dan berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

    “Kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta dari arah Kerteh menghala ke Dungun,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum melepasi pembahagi jalan.

    Katanya, MPV terbabit kemudiannya memasuki laluan kanan dan keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.

    Jelasnya, pertembungan kuat itu menyebabkan kereta dipandu mangsa remuk dan terbalik.

    Hanyan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tunangnya pulang ke Dungun selepas membeli cincin pertunangan mereka di Kemaman.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki maut, treler terjunam ke dalam gaung

    Lelaki maut, treler terjunam ke dalam gaung

    SEORANG lelaki maut, manakala rakannya cedera selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung di Jalan Tenom-Kemabong di Tenom, Sabah.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom digerakkan ke lokasi selepas menerima makluman pada 9.50 pagi semalam.

    Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler yang terbabas lalu jatuh ke gaung.

    “Terdapat dua mangsa terbabit, seorang mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba.

    “Seorang lagi mangsa yang berada di luar kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, mayat mangsa serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 11.42 pagi.

  • Lelaki maut kereta dipandu langgar belakang lori

    Lelaki maut kereta dipandu langgar belakang lori

    SEORANG lelaki maut selepas kereta jenis Proton Waja yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 1.5 Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, S. Vitra Stevan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

    Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 4.19 pagi.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian didapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja melanggar belakang sebuah lori dan terdapat seorang mangsa pemandu kereta tersepit dibahagian pemandu.

    ”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pukul 4.51 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

    ”Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 5.04 pagi,” katanya.

  • Lelaki berburu maut dengan 43 kesan tembakan peluru penabur

    Lelaki berburu maut dengan 43 kesan tembakan peluru penabur

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa tembakan dilepaskan abang dan adiknya ketika mereka keluar berburu di kawasan hutan berdekatan Sungai Boyuh, Kampung Jugan di Bau, malam kelmarin.

    Terdapat 43 kesan tembakan peluru penabur pada badan, tangan dan paha mangsa berusia 49 tahun itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, polis dihubungi pihak Hospital Bau memaklumkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika berburu pada pukul 11.45 malam.

    “Sehubungan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menahan dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun iaitu abang dan adik mangsa pada pukul 5 petang semalam.

    “Pihak polis kemudian merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru dan sejumlah peluru hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Nyaon berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dibawa ke mahkamah Bau untuk dimohon tahanan reman.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lelaki maut, warga emas parah selepas pikap dirempuh kereta api

    Lelaki maut, warga emas parah selepas pikap dirempuh kereta api

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dirempuh sebuah kereta api.

    Kejadian dilapor berlaku di Sala Lamduan, Mueang Sa Kaeo, Thailand pada petang semalam.

    Memetik laporan News.ch7, Ketua Polis Muang Sakaeo, Superintendan Akanan Hukaew berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 4 petang.

    Beliau berkata, kemalangan berlaku sewaktu kereta api terbabit daam perjalanan dari Bangkok ke Aranyaprathet.

    “Hasil pemeriksan kamera litar tertutup mendapati pikap terbabit telah bertindak melalui celah laluan penghadang lintasan kereta api sebelum dirempuh.

    “Akibat rempuhan itu, kenderaan terbabit terjatuh ke dalam parit.

    “Seorang warga emas berusia 77 tahun yang turut berada di dalam kenderaan cedera parah,” katanya.

    Sementara itu, hasil soal siasat bersama saksi kejadian mendapati mereka terkejut akan insiden terbabit dan tidak sempat membuat apa-apa.

    “Saya mendengar bunyi wisel kereta api dari jauh ketika kereta terbabit bertindak melintasi bahagian penghadang dengan laju dan tanpa brek.

    “Saya fikir pikap itu akan berjaya melintasi laluan tersebut pada masa yang tepat, tetapi tidak berhasil apabila dilanggar kereta api tersebut,” ujar saksi.

  • Lelaki maut, rakan parah terkena bom ikan

    Lelaki maut, rakan parah terkena bom ikan

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya parah dipercayai terkena bom ikan di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong, hari ini.

    Mangsa, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya, 40, pula dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Kejadian sekitar jam 3 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menangkap ikan, lapor Sinar Harian.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan laporan lanjut akan menyusul.

    Tular dalam media sosial beberapa keping gambar menunjukkan keadaan salah seorang mangsa yang berlumuran darah dipercayai terkena bom buatan sendiri itu.

  • Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mangsa yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Lalang, Bedong itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Siasatan polis mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 manakala Proton Iswara dipandu lelaki warga asing berusia 40 tahun berkenaan turut membawa empat penumpang lain.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penumpang kereta terbabit terdiri daripada isteri pemandu yang juga warga asing berusia 33 tahun serta tiga anak mereka berusia setahun hingga empat tahun.

    “Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Bukit Selambau manakala kereta terbabit pula datang dari Sungai Lalang.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi manakala bayi berusia setahun yang juga penumpang kereta mengalami luka di kepala.

    “Pemeriksaan mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang rumah itu tiada lesen memandu dan pasangan suami isteri berkenaan juga tidak mempunyai dokumen.

    “Siasatan kita juga mendapati cukai jalan dan insuran kenderaan dinaiki mereka sekeluarga juga sudah tamat tempoh,” katanya.

    Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lelaki maut, MPV terbabas hempap bumbung rumah

    Lelaki maut, MPV terbabas hempap bumbung rumah

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan menghempap bumbung sebuah rumah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, Sarawak, pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Serian, Bilong Usat berkata, kemalangan berlaku pukul 6.55 pagi itu membabitkan mangsa berusia 50-an yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.

    Katanya, semua mangsa dalam kemalangan membabitkan MPV Toyota Innova, Perodua Kancil dan motosikal itu terdiri empat orang dengan tiga daripadanya cedera ringan.

    “Pemandu Toyota Innova yang masih berada di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

    “Anggota pasukan BBP Serian kemudian membantu mengangkat dan mengalihkan mangsa dari dalam kenderaan seterusnya menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Bilong berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Serian sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

  • Lelaki maut, anak melecur dalam kebakaran

    Lelaki maut, anak melecur dalam kebakaran

    SEORANG lelaki maut, manakala anaknya melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, Kuantan tengah malam tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.08 malam.

    Sebaik menerima pangggilan katanya, seramai 24 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

    Ujarnya, operasi memadam kebakaran rumah teres itu menggunakan tiga jentera dan anggaran kemusnahan rumah 50 peratus.

    “Kejadian ini menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, manakala seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ismail, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan operasi terkawal pada pukul 11.57 malam.

    Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Kejadian kebakaran melibatkan nyawa terkorban adalah yang kedua berlaku di daerah ini semalam.

    Terdahulu, seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di tingkat dua pangsapuri Medan Warisan, Jalan Tanah Putih, Kuantan.

    Dalam kebakaran yang dilaporkan pukul 3.15 petang itu, mangsa berusia 64 tahun itu ditemui terperangkap dalam bilik tidur dengan kesan melecur di bahagian muka dan badan.

  • Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

    Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

    SEORANG lelaki maut dipercayai dalam perjalanan mahu menghantar kunci di tempat kerjanya di Mahkamah Syariah Kuala Krai hari ini.

    Kejadian pada pukul 10.40 pagi itu melibatkan motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal serta sebuah kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Nik Mat Yusof, 50, masuk ke laluan bertentangan di Jalan Sungai Sam-Dabong.

    “Kemudian berlaku pelanggaran pada bahagian depan. Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang mangsa dipercayai gagal dikawal dan terlanggar kereta mangsa.

    “Mangsa maut manakala penunggang sebuah lagi motosikal dan seorang wanita berusia 25 tahun yang memandu kereta itu selamat, namun mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, pemandu kereta berkenaan didapati memakai gelang merah jambu kerana menjadi kontak rapat ibunya dalam kes Covid-19.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.