Tag: Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

  • Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

    Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

    POLIS mengesahkan lelaki yang dirakam melaungkan azan di hadapan sebuah patung di tokong Cina dalam kejadian di Butterworth, Pulau Pinang merupakan individu kurang siuman dan mempunyai masalah mental.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya mengambil keterangan beberapa saksi kejadian.

    Menurut Cheng San, kejadian itu juga merupakan kali kedua melibatkan suspek warga tempatan berusia 40-an yang tinggal di Jalan Kilang Ubi berkenaan selepas dilaporkan melakukan perbuatan sama pada 2017.

    “Siasatan lanjut juga mendapati masyarakat di sekitar kawasan itu kebanyakannya mengenali suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, video rakaman tindakan lelaki berkenaan yang melaungkan azan di hadapan patung di sebuah tokong tular di laman sosial selepas dimuat naik ke dalam laman Facebook ‘Akademi Penyelidikan Agama Dunia’ kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

    Ia mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya apatah lagi lelaki berkenaan dilihat terus melaungkan azan tanpa mempedulikan orang sekeliling serta meskipun ketika perbuatannya itu dirakam.

    Kejadian itu dipercayai berlaku antara 26 hingga 27 Julai lalu di sebuah premis Pertubuhan Yulan di Butterworth sempena Festival Sambutan Perayaan Hantu Lapar yang disambut pada Julai setiap tahun

    Dalam pada itu, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan apa-apa perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti serta memecahbelahkan keamanan antara kaum serta agama dalam masyarakat di negara ini.