Tag: lelaki direman

  • Tiga direman SPRM kes seleweng perjanjian sukuk RM596 juta

    Tiga direman SPRM kes seleweng perjanjian sukuk RM596 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Memetik laporan Berita Harian, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Bagaimanapun, hanya tiga daripada empat suspek berkenaan direman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mac manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk reman suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Menurut sumber, semua suspek terbabit adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat terbabit secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

    “Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

    “Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” kata sumber itu.

    Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun.

    Sukuk ini dijadual mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

    Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain dikatakan akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

  • Lelaki direman tiga hari ancam, maki polis

    Lelaki direman tiga hari ancam, maki polis

    TINDAKAN seorang lelaki mengancam dan memaki hamun anggota polis nyata membawa padah apabila dia ditahan di rumahnya di Taman Senai Jaya, Senai, malam tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian berlaku setelah anggota dari Balai Polis Senai yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Senai Jaya pada pukul 9.20 malam terserempak lelaki tersebut.

    Menurutnya, suspek yang merupakan warga tempatan menunggang motosikal secara melawan arus serta tidak memakai topi keledar dan terus memecut laju sehingga sampai di sebuah rumah di taman itu.

    “Pihak polis kemudian meminta suspek mengeluarkan kad pengenalan untuk tindakan saman namun suspek enggan memberi kerjasama serta mengeluarkan kata-kata kesat malah mengancam anggota polis itu,” katanya hari ini.

    Beng Yeow berkata, suspek kemudianmya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.

    Hasil semakan katanya, suspek tidak memiliki rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah.

    Menurut Beng Yeow, suspek direman tiga hari bermula Rabu selepas Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin membenarkan permohonan reman.

    Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda penjara dua tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.