Tag: lelaki bersenjata

  • Lelaki cuba ceroboh pejabat FBI ditembak mati

    Lelaki cuba ceroboh pejabat FBI ditembak mati

    SEORANG lelaki bersenjata yang cuba menceroboh pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Cincinnati ditembak mati oleh anggota penguatkuasa pada pagi Khamis, lapor Xinhua.

    Lelaki itu cuba menghindari pemeriksaan pelawat di pejabat FBI di Cincinnati, Ohio, kira-kira 9:15 pagi waktu tempatan (1315 GMT), menurut kenyataan agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan.

    Dia kemudian bertindak melarikan diri dan pegawai penguatkuasa berjaya mengesan suspek berhampiran Wilmington, Ohio.

    Suspek dan anggota penguatkuasa berbalas tembakan dan lelaki itu dilaporkan “ditembak dan maut” di tempat kejadian.

    FBI berkata pihaknya sedang “menjalankan siasatan mengenai insiden tembakan itu.”

    Peronda Lebuhraya Negeri Ohio menerusi ciapan di Twitter memaklumkan askar dan penguatkuasa undang-undang “cuba berunding dengan suspek agar menyerah diri secara sukarela”.

    “Apabila rundingan gagal, para pegawai cuba menahan suspek menggunakan taktik yang tidak membawa maut.

    “Suspek bertindak menggunakan senjata api sehingga memaksa pegawai penguatkuasa melepaskan tembakan.

    “Suspek maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” menurut pihak polis.

    Penyiasat persekutuan dilaporkan sedang menjalankan siasatan sama ada lelaki itu mungkin mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau sayap kanan.

    Motif sebenar kejadian belum dikenalpasti.

    Insiden itu berlaku beberapa hari selepas ejen FBI menyerbu kediaman bekas Presiden AS Donald Trump di Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida.

    Menurut laporan, operasi itu mempunyai kaitan dengan maklumat sulit yang didakwa dibawa Trump dari Rumah Putih ke Mar-a-Lago, ketika beliau tidak lagi menjadi presiden AS dan mengosongkan pejabat pada Januari 2021.

    Trump dan sekutunya mengecam serbuan itu pada Isnin dan mendakwa ia serangan bersifat politik didalangi oleh Demokrat, FBI dan Jabatan Kehakiman AS.

    Pengarah FBI Christopher Wray mengeluarkan kenyataan pada Khamis, bahawa “serangan ke atas integriti FBI menghakis hormat dan kedaulatan undang-undang.”

    “Keganasan dan ancaman terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk FBI, adalah berbahaya dan membimbangkan semua rakyat Amerika,” kata Wray. -BERNAMA

  • 9 lelaki bersenjata rampas MV Asphalt Princess, arah berlayar ke Iran

    9 lelaki bersenjata rampas MV Asphalt Princess, arah berlayar ke Iran

    MV Asphalt Princess dirampas di Teluk Oman, diarah berlayar ke Iran

    SEBUAH kapal yang berdaftar di Panama telah dirampas oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Teluk Oman, semalam dan diarahkan agar berlayar ke Iran, kata Lloyds List Maritime Intelligence.

    BBC melaporkan, kapal tangki bitumen MV Asphalt Princess itu sedang menghala ke laluan sesak di Selat Hormuz.

    Namun masih tidak jelas siapa yang merampas kapal itu tetapi penganalisis mendakwa ia didalangi tentera Iran.

    Pengawal Revolusi Iran pada masa sama menolak laporan tersebut sebagai dalih untuk “tindakan bermusuhan” terhadap Teheran.

    Kejadian itu berlaku kurang dari seminggu setelah sebuah kapal tangki minyak yang dikendalikan oleh sebuah syarikat milik Israel diserang sebuah dron di perairan Oman, membunuh dua pengawal keselamatan, seorang rakyat Britain dan seorang rakyat Romania.

    Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Israel menyalahkan Iran berhubung serangan itu, dakwaan yang dinafikan Teheran.

    Koresponden Keselamatan BBC, Frank Gardner berkata, MV Asphalt Princess dimiliki syarikat yang berpangkalan di Dubai yang mana satu kapalnya dirampas dua tahun lalu oleh pengawal revolusi Iran.

    Katanya, mengikut laporan, kira-kira sembilan lelaki bersenjata menaiki MV Asphalt Princess ketika ia menghampiri pintu masuk ke Selat Hormuz, yang merupakan satu daripada laluan maritim penting bekalan minyak dunia.

    Terdahulu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) menasihatkan kapal dekat Fujairah di Teluk Oman untuk berhati-hati.

    Sementara itu, Jurucakap Pejabat Luar Negara UK berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan kejadian membabitkan sebuah kapal di perairan UAE.

    White House selain itu menyifatkan laporan itu “sangat mengganggu”.

    UKMTO pada mulanya telah memberi amaran kepada kapal mengenai kejadian sebelum menyatakan “kemungkinan rampasan” beberapa jam kemudian.

    Terdahulu pada pagi semalam, empat kapal tangki minyak melaporkan bahawa mereka “tidak berada di bawah arahan”, yang bermaksud sebuah kapal telah kehilangan kuasa dan tidak dapat mengemudi. Salah satu kapal kemudian mula bergerak, lapor agensi berita AP.

    Sebuah pesawat peronda laut Tentera Udara Oman dilihat terbang di atas laut pada masa yang sama, menurut data dari FlightRadar24.com.

    Kementerian Luar Iran menyatakan laporan yang melibatkan beberapa kapal pada hari Selasa “mencurigakan” dan memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk “mewujudkan suasana palsu” terhadap Teheran.