Tag: lelaki

  • 7 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan Penang FC – Kedah FC

    7 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan Penang FC – Kedah FC

    SERAMAI tujuh lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun ditahan polis Pulau Pinang susulan insiden pergaduhan selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC dan Kedah FC berdekatan Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua lelaki yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak itu ditahan malam tadi.

    Terdahulu, menurut beliau, polis menerima maklumat berhubung kejadian rusuhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu pada pukul 11.20 malam yang berlaku berdekatan sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya.

    Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium sebaik Sahaja perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir.

    “Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari ibu pejabat daerah (IPD) Timur Laut tiba di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

    “Seramai tujuh lelaki tempatan telah ditahan oleh pasukan D7 Bahagaian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, polis turut merampas dua biji batu, dua biji kon dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut.

    Ekoran kejadian itu juga, ujar beliau, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong Kedah FC turut pecah ditumbuk salah seorang suspek.

    “Selain itu, dua suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

    “Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mereka juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya.

    Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan kesemua yang ditahan direman selama dua hari sehingga esok.

    Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

    Awal hari ini, video kejadian itu yang memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Penang FC dan Kedah FC tular di laman sosial media.

    Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.

    Pada perlawanan semalam juga, pengadil turut membatalkan gol kedua oleh Kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti yang menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah.

    Situasi tegang berlanjutan apabila pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op pula dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

  • Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja di negara ini menerusi satu operasi di Temerloh, Pahang, hari ini.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, suspek berusia 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

    Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membuat hantaran itu menerusi akaun Facebook ‘Raja Hairun’.

    “Permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di lokap berpusat Kuala Lumpur, esok.

    “Siasatan kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Noorsiah menasihatkan orang ramai agar menghormati institusi beraja negara.

    Katanya, ini kerana ia sudah dijamin oleh Perlembagaan demi menjaga kestabilan negara, bangsa dan negara.

    “Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan menghina dan memperlekehkan institusi beraja akan dikenakan tindakan tegas,” tambahnya.

  • Lelaki bujang intai isteri orang dalam rumah ditahan

    Lelaki bujang intai isteri orang dalam rumah ditahan

    TINDAKAN seorang lelaki bujang berusia 30-an yang didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang ketika berada di dalam rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam membawa padah selepas dia ditahan polis.

    Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu ditahan sepasukan polis Daerah Barat Daya di kawasan kampung berkenaan yang menerima laporan kejadian terbabit daripada suami mangsa.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan, hasil soal siasat mendapati perbuatan tersebut dikesan telah dilakukan beberapa kali oleh suspek.

    “Suspek kini direman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” demikian menurut kenyataan itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

    Difahamkan, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu negatif sebarang pengambilan dadah.

  • Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    POLIS sedang mengesan lima individu disyaki memukul seorang lelaki sehingga mati di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada adik perempuan mangsa pada 5.29 petang.

    Beliau berkata adik perempuan mangsa mengetahui perkara itu melalui panggilan telefon teman wanita abangnya yang memberitahu abangnya dipukul lima lelaki di dalam kondominium yang disewanya sebelum dibawa keluar ke lokasi lain.

    “Pengadu (adik perempuan mangsa) menerima panggilan telefon pada 7.15 pagi dan pada 11.30 pagi suspek utama telah menghubunginya memaklumkan abangnya berada di bahagian kecemasan Hospital Cyberjaya.

    “Pengadu kemudian pergi ke Hospital Cyberjaya dan dimaklumkan bahawa abangnya telah meninggal dunia akibat kecederaan teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anbalagan berkata mangsa yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan di mata, hidung dan pendarahan di kedua-dua belah telinga serta punca kematian adalah akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

    “Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan dipercayai akibat dendam dan cemburu oleh seorang daripada suspek terhadap mangsa. Polis sedang mengesan kesemua suspek yang merupakan rakan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya. – BERNAMA

  • 4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi tidak bekerja.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Feb lepas, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang di sini, telah didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

    “Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta terbabit manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

    “Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek telah meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan kesemua suspek pada tengah hari Ahad dan awal pagi tadi serta merampas sebuah Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian.

    Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai telah dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia serta beberapa peralatan lain. 

    “Kesemua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

    Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu. – BERNAMA

  • Lelaki dianugerah RM240,000 atas pemenjaraan tak sah

    Lelaki dianugerah RM240,000 atas pemenjaraan tak sah

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh menganugerahkan seorang lelaki RM240,000 sebagai ganti rugi selama 106 hari selepas penahanan dan pemenjaraannya atas dakwaan mengedar dadah didapati menyalahi undang-undang.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Bhupindar Singh berkata, Iekmal Hisham Harun membuktikan kesnya terhadap kerajaan berdasarkan imbangan kebarangkalian, dengan bekas inspektor polis Siti Nor Fauziah Setapa bertanggungjawab atas perbuatannya itu.

    Jumlah itu termasuk RM30,000 sebagai ganti rugi teladan. Iekmal turut dianugerahkan RM25,000 sebagai kos.

    Walaupun dinamakan sebagai defendan pertama, Siti, yang disabitkan kesalahan memalsukan dokumen dan kemudian dipecat daripada pasukan pada 14 April 2020, tidak membantah saman itu.

    Iekmal turut menamakan ketua polis Perak, ketua polis negara dan kerajaan sebagai defendan.

    Menurut penghakiman yang dikeluarkan minggu lalu, Iekmal ditahan pada 9 Nov 2016 kerana memiliki 36.5g heroin.

    Siti yang kemudian bertugas di IPD di Manjung, Perak, ditugaskan sebagai pegawai penyiasat kes berkenaan.

    Iekmal direman dan kemudian didakwa mengedar dadah. Memandangkan ia merupakan kesalahan tidak boleh diikat jamin, dia ditahan di penjara Tapah.

    Pada 23 Feb 2017, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membuat laporan polis mendakwa tandatangannya dipalsukan dalam kertas siasatan, yang juga mengandungi maklumat palsu.

    Pada 7 Mac 2017, Iekmal didakwa atas tiga pertuduhan memiliki dadah. Dia dibebaskan dari penjara pada 12 Dis 2017.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Iekmal meminta ganti rugi bagi pemenjaraan yang didakwanya menyalahi undang-undang antara 21 Nov 2016 dan 7 Mac 2017.

    Beliau juga berkata, Siti menjalankan tugas awamnya secara salah dan dia menanggung penderitaan akibat tindakan itu.

    Bhupindar berkata, kerajaan tidak mencabar pemalsuan tandatangan How dan dua lagi pegawai polis oleh Siti.

    “Perbuatan itu juga dilakukan oleh Siti ketika menjalankan tugas rasminya. Saya tidak boleh menerima hujah tindakan itu di luar skop tugasnya,” katanya dalam penghakiman setebal 40 muka surat.

    Oleh itu, hakim berkata, defendan lain harus bertanggungjawab atas perbuatan dan kelakuannya.

    Bhupindar berkata, Iekmal perlu diberi pampasan atas kehilangan kebebasannya. Bagaimanapun, beliau menolak tuntutan ganti rugi RM3 juta atas alasan plaintif tidak sepatutnya meraih keuntungan.

    Iekmal dianugerahkan RM2,000 sehari untuk 106 hari penahanan yang menyalahi undang-undang.

    Bhupindar berkata, beliau menganugerahkan RM30,000 sebagai ganti rugi teladan kerana Siti gagal menegakkan kedaulatan undang-undang.

  • Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    REMAJA lelaki yang hilang selepas mandi-manda bersama dua rakannya di sungai Parit Haji Anuar, Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, dekat Muar, Rabu lepas, ditemukan lemas pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat Muhammad Nur Hakim Zulkarnain, 19, ditemukan di tebing sungai tersebut, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

    “Pada 10.30 pagi, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai mangsa di tebing sungai itu dalam keadaan lengkap berpakaian. 

    “Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat ditamatkan pada 12 tengah hari tadi manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Rabu lepas, Muhammad Nur Hakim, bersama dua rakan lelakinya berusia 20 dan 21 tahun dipercayai terjun dari jambatan di sungai berkenaan untuk mandi-manda.

    Sejurus terjun, mangsa kemudiannya timbul dan menggapai tangan meminta bantuan namun gagal diselamatkan kerana arus sungai terlalu deras. – BERNAMA

  • Cabul kanak-kanak, lelaki etnik Rohingya dicekup polis

    Cabul kanak-kanak, lelaki etnik Rohingya dicekup polis

    POLIS menahan seorang lelaki etnik Rohingya selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga jirannya, di Semabok, Melaka, 28 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 35 tahun yang juga buruh binaan ditahan sepasukan polis selepas menerima laporan yang dibuat bapa mangsa.

    Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 8.30 malam, pada 26 Disember dan mangsa berusia 12 tahun hanya menceritakan kejadian itu kepada bapanya pada keesokan pagi.

    “Mangsa mendakwa ketika sedang bermain bola di hadapan rumah, dia ditarik oleh suspek dan mencabulnya beberapa kali, tetapi kejadian tidak disedari oleh adik lelakinya yang turut berada di lokasi kejadian.

    “Menurut bapa mangsa, anak keduanya itu pada awalnya takut menceritakan kejadian itu kepadanya,” katanya ketika dihubungi.

    Christopher memberitahu, siasatan dijalankan mendapati suspek turut mengeluarkan kata-kata lucah kepada adik mangsa mengenai fizikal tubuh kakaknya itu.

    “Malah mangsa turut mendakwa, sebelum kejadian suspek pernah menegur dia dan adiknya yang ketika itu ingin ke rumah nenek mereka yang tinggal tidak jauh dari situ,” katanya.

    Sementara itu, Christopher berkata, suspek kini direman sehingga 9 Januari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki ditahan tularkan semula mesej provokasi kaum

    Lelaki ditahan tularkan semula mesej provokasi kaum

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penularan semula satu imej tangkap layar komen berbaur perkauman melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, semalam.

    Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin, komen provokasi tersebut dimuat naik pada Ogos 2019 oleh pemilik akaun Facebook ‘Nazrul Nazari’ sebelum ia ditularkan semula.

    “Ekoran daripada itu, seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan pada April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

    “Dia juga didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noorsiah dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan semula komen itu secara provokasi kerana perbuatan terbabit boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di negara ini.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu sengaja mendatangkan khianat awam melalui isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

  • 3 lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

    3 lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

    TIGA lelaki warga tempatan ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang kelmarin dipercayai anggota sindiket memproses dan menjual air ketum.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan di sini hari ini memakluman, dalam serbuan itu polis turut merampas sebanyak 105 kilogram (kg) daun ketum bersama suspek yang berusia antara 22 hingga 26 tahun berkenaan.

    Katanya, suspek menjadikan bahagian belakang rumah itu sebagai tempat memproses air ketum dan ketika serbuan, terdapat empat buah periuk besar sedang digunakan untuk memasak daun ketum untuk dijadikan air ketum.

    Selain daun ketum, tamnahnya, polis turut merampas ratusan bungkusan air ketum yang telah siap diproses iaitu 1,545 liter, peralatan memasak, tong gas dan pelbagai lagi yang kesemuanya bernilai RM16,500.

    “Sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak beberapa bulan lalu dan mereka mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

    “Sindiket itu dipercayai mempunyai rangkaian mereka yang berperanan menjual air ketum kepada pembeli terutama pelanggan tetap,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

    Tambahnya, polis kini giat mengesan rangkaian sindiket itu dan tiga lelaki yang ditahan kini direman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, kenyataan tersebut turut memaklumkan seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana disyaki along yang menyimbah cat di premis perniagaan.

    “Suspek ditahan di Sungai Petani, Kedah dan kes disiasat di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427(324) Kanun Keseksaan,” katanya.