Tag: lebuh raya

  • Aidilfitri: Tol percuma 4 hari di 33 lebuh raya, cuti umum tambahan

    Aidilfitri: Tol percuma 4 hari di 33 lebuh raya, cuti umum tambahan

    PERDANA Menteri hari ini mengumumkan pengecualian tol selama empat hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tol dikecualikan dari 19 April hingga 21 April (Rabu hingga Jumaat), dan pada 24 April (Isnin depan).

    “Pengecualian itu meliputi 33 lebuh raya dan semua kelas kenderaan,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Anwar pada masa sama turut mengumumkan hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk menyambut Aidilfitri.

    “Sekiranya 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April, maka kerajaan menetapkan Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan.

    “Bagaimanapun, sekiranya 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka kerajaan menetapkan Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan,” katanya.

    Sebelum ini, cuti umum untuk Aidilfitri ditetapkan sementara pada Sabtu, 22 April.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    RIBUAN telur ayam pecah dan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori membawa muatan itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 242.6 Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah utara dekat Rembau, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

    “Ia mengakibatkan lori itu terbalik dan muatan telur dibawanya bertaburan di atas jalan.

    “Pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, kesesakan lalu lintas bagi arah utara berpanjangan dalam tempoh kira-kira dua jam bagi tujuan pembersihan lokasi kemalangan.

  • 2 cedera bas ekspres bawa 30 penumpang terbalik

    2 cedera bas ekspres bawa 30 penumpang terbalik

    SEORANG wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. – BERNAMA

  • PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    ALIRAN trafik di lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan ekoran pertambahan bilangan kenderaan yang bergerak menuju ke destinasi pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan ketara petang tadi dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) hala utara iaitu dari Sungai Buloh ke Rawang iaitu sepanjang 10 kilometer (km), Tanjung Malim ke Behrang, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Juru Auto City ke Perai.

    Laluan menghala ke Pantai Timur pula dilaporkan sesak bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah sejauh 19 km, Bukit Tinggi ke Lentang, dan keadaan trafik sama turut dilaporkan berlaku selepas Bentong Timur ke Karak.

    Laluan menghala ke selatan iaitu dari Nilai ke Bandar Ainsdale pula trafik dilaporkan perlahan kerana berlakunya kemalangan di KM 269.0, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Jalan Duta dan Sungai Besi menghala keluar dari ibu negara mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat menyebabkan trafik bergerak perlahan.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter melalui www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 Nov bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. – BERNAMA

    aliran trafik, sesak, perlahan, PRU15, lebuh raya

  • 2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 Nov ini.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata TTA itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya itu, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

    Beliau berkata pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh raya bermula 16 hingga 18 Nov sebelum 10 pagi manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.

    Menurut Zakaria, bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur bermula 20 hingga 21 Nov pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

    “Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

    “Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zakaria berkata persediaan itu merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

    Beliau berkata PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 hingga 21 Nov kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

    “PLUS juga menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik bagi mempercepat kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya,” katanya.

    Menurut Zakaria, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol serta 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik bagi memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan dan PLUS mengucapkan semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

    Jadual TTA boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App di Google Play Store atau App Store selain di laman web www.plus.com.my serta Twitter PLUSTrafik. – BERNAMA

  • Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Sungai Petani, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua motosikal tersebut ditunggang secara laju dalam jarak dekat sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

    “Kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan terbabas ke tengah-tengah laluan lebuh raya dengan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Tamabhnya, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya seorang daripada hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di zon hijau manakalah seorang lagi turut mengalami kecederaan parah menyebabkannya dimasukkan ke zon kuning.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik HSAH untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lebih banyak konsesi lebuh raya akan distruktur semula – Fadillah

    Lebih banyak konsesi lebuh raya akan distruktur semula – Fadillah

    LEBIH banyak syarikat konsesi lebuh raya akan terlibat dengan rundingan penstrukturan semula bagi mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan kerajaan.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan mengalu-alukan syarikat swasta mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya lain bagi tujuan tersebut.

    “Kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, yang mana syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus melunaskan hutang kewangannya, ini satu kelegaan kepada rakyat.

    “…akan ada rundingan penstrukturan yang melibatkan konsesi lebuh raya lain selepas ini,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat konsesi iaitu Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

    Selain itu, ia juga melibatkan syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara – Puchong (LDP).

    Susulan pengambilalihan 100 peratus syarikat swasta, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) ke atas keempat-empat syarikat konsesi itu, kadar tol yang dikendalikan di bawah kesemua syarikat tersebut tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

    Penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Jan 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

    Fadillah bagaimanapun berkata, tarikh pengambilalihan itu berkuat kuasa masih belum dimuktamadkan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, penstrukturan juga akan melibatkan pelanjutan tempoh konsesi bagi tiga syarikat tersebut kecuali SMART yang akan dipendekkan tempoh konsesinya.

    “Namun lanjutan tempoh konsesi ini bukanlah hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada bilangan trafik serta pantauan pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Fadillah berkata, melalui kaedah penstrukturan semula itu, tiada lagi pemegang saham berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pulangan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk seperti dividen.

    Beliau berkata, kerajaan juga tidak boleh mengabaikan obligasi dalam perjanjian konsesi sedia ada kerana ia akan memberi imej negatif kepada pelabur sehingga menyebabkan kekurangan minat mereka untuk melabur di negara ini.

    “Ini selaras dengan Dasar Penswastaan…syarikat swasta masih lagi bertanggungjawab mengendalikan operasi dan menyenggara lebuh raya berkenaan,” katanya sambil menambah ALR juga perlu menyerap semua kakitangan sedia ada di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkenaan.

    Beliau berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi pengambilalihan tersebut serta tidak memberi sebarang jaminan untuk pembiayaan oleh ALR bagi cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi itu.

    Kerajaan juga tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi dengan penstrukturan semula KESAS, LDP, SPRINT dan SMART, katanya. – BERNAMA