Tag: layak

  • 59,230 mohon FSA2 KWSP, hanya 27,705 layak

    59,230 mohon FSA2 KWSP, hanya 27,705 layak

    LEBIH 31,500 permohonan untuk mendapatkan pembiayaan peribadi melalui Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disahkan tidak layak.

    Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, dengan punca utama disebabkan pemohon berusia di bawah 40 tahun.

    Mengulas lanjut, katanya, seramai 59,230 orang memohon FSA2 setakat semalam seelpas ia mula dibuka pada 7 April dengan hanya 27,705 sahaja daripada jumlah itu yang layak.

    “Mereka yang tidak layak itu kerana umur mereka di bawah 40 tahun, kerana kita dah maklumkan bahawa hanya yang berumur 40 ke atas yang layak,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Akauntan Negara (JANM) di sini hari ini.

    FSA2 adalah kemudahan bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan, yang mana setakat ini dua bank mengambil bahagian iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

    FSA2 membabitkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

    Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

    Ahmad berkata, meskipun kerajaan tegas tidak membenarkan pengeluaran KWSP walaupun ada cadangan ia diberikan kepada ahli yang benar-benar terdesak, pengeluaran bagaimanapun dibenarkan bagi tujuan perumahan, pendidikan, kesihatan, pelan perlindungan tertentu seperti sakit kronik dan sebahagian kos haji RM3,000.

    “Kita tak kata apabila kita tak benarkan, maka tak boleh keluar KWSP. KWSP masih lagi boleh dikeluarkan.

    “Ada lima perkara yang boleh dikeluarkan untuk Akaun 2 KWSP. Akaun 1 memang tidak dibenarkan untuk pengeluaran kerana ia adalah khas untuk tujuan persaraan,” katanya.

    Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebelum ini dilaporkan berkata adalah lebih mudah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP berbanding menggunakannya sebagai sandaran permohonan pinjaman.

    Sementara itu, Ahmad berkata, setakat 31 Disember lalu, jumlah aset dan liabiliti yang telah diakaunkan di Sistem Bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan Persekutuan adalah RM2.85 trilion.

    Beliau berkata, JANM ketika ini masih meneliti dan mencari aset-aset kerajaan Persekutuan dalam bentuk pelaburan, harta dan pelbagai bentuk lain.

    “Tahun ini kemungkinan kita dapat RM30 bilion aset lagi untuk diakaunkan,” katanya dan menambah majoriti aset itu berada di dalam negara. – BERNAMA

  • Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    LEBIH 235,000 atau 20 peratus penduduk Pahang yang masih belum mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 walaupun layak untuk menerimanya, dinasihatkan mendaftar segera bagi membolehkan negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

    Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata suntikan vaksin adalah salah satu ikhtiar bagi mengawal COVID-19, dan sehingga hari ini lebih 50 peratus golongan dewasa di Pahang sudah menerima dua dos vaksin. 

    “Pahang hari ini merekodkan sebanyak 839 kes baharu, angka yang agak tinggi, namun jika kita lihat trend kumulatif mingguan dan purata seminggu kes harian, kita dapati ada menunjukkan penurunan. 

    “Trend penurunan ini pertama kali dilihat dalam tempoh sembilan minggu dan berlaku seiring dengan peningkatan liputan vaksinasi di Pahang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

    Pahang sebelum ini menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduknya menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober iaitu sebelum musim tengkujuh bermula.- BERNAMA