Tag: lawatan rasmi PM

  • Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Usul pembangkang ditolak

    Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Usul pembangkang ditolak

    USUL berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat telah ditolak, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun soalan yang sepatutnya ditanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) ditolak, pembangkang telah menyediakan usul tergempar.

    “Seperti yang telah dicabar Pengarah JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff), saya hadir ke sesi PMQT pagi ini.

    “Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi Tambun ke Arab Saudi telah ditolak. Sayang peluang yang patut diterangkan dilepaskan begitu saja.

    “Tetapi saya sudah sediakan ‘backup plan’ semalam iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, pembangkang akan mengemukakan usul berkenaan bagi meminta penjelasan tujuan lawatan Anwar yang didakwa satu tamparan hebat ke atas Malaysia.

    Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, rakyat perlu tahu perkara hasil lawatan itu.

    “Pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos perbelanjaan lawatan tersebut,” katanya.

  • Anwar hanya jumpa pegawai pangkat rendah di Arab Saudi – Tun M

    Anwar hanya jumpa pegawai pangkat rendah di Arab Saudi – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi hanya disambut pegawai berpangkat rendah, satu situasi yang sangat berbeza untuk pemimpin-pemimpin negara ketika membuat lawatan rasmi ke negara luar.

    Menurut bekas perdana menteri itu, ketika menyandang jawatan tersebut sebelum ini tidak ada satu negara pun yang gagal menyambut kedatangannya dan delegasi dari Malaysia.

    Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak memahami mengapa kedua-dua pemerintah Arab itu enggan untuk berjumpa dengan Anwar.

    “Mungkin mereka ada satu pandangan yang kita tak tahulah yang menyebabkan mereka tak mahu jumpa Anwar.

    “(Tapi) yang jumpa Anwar pun pegawai yang amat rendah,” katanya, hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Sebelum ini media melaporkan lawatan rasmi tiga hari Anwar ke Arab Saudi berakhir tanpa sebarang pertemuan dengan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan putera mahkota Mohammed.

    Ketika ditanya sama ada beliau tahu dalang di sebalik penutupan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), dengan nama pemimpin yang disebut di sebalik usaha tersebut ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Mahathir tidak mengulas lanjut.

    Menurutnya, beliau hanya mengetahui berita tentang KSCIP dihentikan operasi tetapi tidak tahu siapa dalang di sebalik tindakan itu.

    “Saya tak tau berkenaan dengan penutupan pusat ini. Yang saya tahu, baru-baru ini dilaporkan bahawa pusat itu ditutup.

    “Siapa yang tutup, saya tak tau,” katanya merujuk kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang ditutup pada 2018.

    KSCIP mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 30 Mei 2017 selepas dicadangkan oleh Raja Arab Saudi yang berperanan sebagai badan untuk mengekang fahaman pelampau dan militan.

    Pada tahun 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, Mohamad mengumumkan operasi KSCIP yang beroperasi di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta.

    Beliau berkata fungsi badan itu diserap Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), sebuah institusi di bawah Kementerian Pertahanan.

    Penubuhan KSCIP dikritik PH terutama pimpinan Amanah.

    Mereka mempertikaikan kelayakan Arab Saudi mewujudkan pusat seperti itu memandangkan doktrin rasmi negara itu menjadi ilham kepada fahaman IS.

  • UMNO masih dengan perangai lama

    UMNO masih dengan perangai lama

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETIAUSAHA Politik Menteri Besar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Baling pada lusa telah menampakkan betapa UMNO masih dengan perangai lama.

    Beliau telah membangkitkan beberapa perkara terutamanya melibatkan lokasi kehadiran Perdana Menteri, yang didakwa seolah-lah tidak menghormati beberapa pihak termasuk kerajaan negeri selaku tuan rumah.

    Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

    Pada 1 Sept 2022 akan datang, YAB PM dijadualkan turun mai lawatan rasmi ke Kedah. Salah satu tempat lawatan ialah di Baling. PM nak melawat lokasi tragedi banjir puing di Iboi, dan menyantuni mangsa banjir. Mungkin juga ada majlis penyerahan bantuan.

    Disebabkan program ini adalah program rasmi kerajaan, maka tuan rumah kepada majlis ini ialah Pejabat Daerah Baling, bersama beberapa agensi-agensi Kerajaan Negeri Kedah dan agensi Kerajaan Persekutuan. Jawatankuasa Pelaksana ini diketuai oleh Tuan DO Baling. Depa buat mesyuarat. Tempat program dicadangkan di premis kerajaan, iaitu Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling.

    Setelah perancangan dibuat dan gerak kerja disusun, tiba-tiba, ada ‘arahan dan tekanan’ supaya program rasmi ini dibuat di PREMIS BN. Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling yang dipaparkan di dalam Kad Jemputan ini adalah premis parti, premis BN. Bukan premis kerajaan. Orang nombor 1 negara mai, hangpa bawak pi ‘stor’ sahaja. Amat biadap dan memalukan.

    Walaupun Tuan DO Baling menegur dan berunding supaya program ini dilaksanakan di premis kerajaan, namun BN tetap berkeras mahu program ini dilaksanakan di premis miliknya, premis BN. Teguran dan rundingan Tuan DO Baling tidak diendahkan mereka.

    Tuan DO Baling adalah wakil rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Suaranya di dalam program ini adalah suara rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Bila suara Tuan DO Baling tidak diendahkan, maknanya UMNO BN TAK HORMAT Pegawai Kerajaan Negeri Kedah. UMNO BN TAK HORMAT Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah.

    Mangsa-mangsa yang dijemput hadir ke majlis ini terdiri daripada pelbagai latar belakang fahaman politik. Bahkan mungkin juga bukan penyokong mana-mana parti politik. Namun, mereka terpaksa hadir ke premis politik kerana hendak memenuhi kehendak rakus politik kuno dan lapuk pihak tertentu. Maknanya, UMNO BN tak hormat mangsa banjir.

    Ada logo UMNO dalam kad jemputan rasmi program kerajaan. Ni program kerajaan. Bukan program parti politik. Kad ini dipercayai diedarkan kepada semua tetamu-tetamu. UMNO BN tak hormat tetamu.

    Difahamkan, semua Guru Besar dan Pengetua sekolah-sekolah dalam daerah Baling juga dikerahkan untuk hadir. Guru-guru dan murid-murid juga dikerahkan hadir. Kalau hadir ke premis kerajaan, tak mengapa. Tapi dikerahkan hadir ke premis parti.

    UMNO BN TAK HORMAT GURU, TAK HORMAT MURID SEKOLAH

    Semua sikap-sikap di atas adalah perangai lama UMNO BN ketika berkuasa sebelum ini. Nampaknya sekarang mereka sudah kembali kepada perangai lama, perangai politiking melampau yang amat memualkan dan dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat.

    Kerana perangai ini, pengundi pernah menghukum UMNO BN dalam PRU14. UMNO BN dilihat insaf masa tiada kuasa. Tapi itu semua hanya sementara. Bila dah berkuasa, UMNO BN ulang balik perangai lama. Tak hormat pegawai kerajaan.

    PH juga buat perangai yang sama masa ada kuasa, tak hormat pegawai kerajaan. Arah buat itu ini untuk penuhi agenda politik kepartian. Pegawai kerajaan meluat dan benci dengan PH. Mereka amat gembira bila PH jatuh.

    PRU kali ni, pengundi tak perlu fikir panjang. Tak perlu hormat orang yang tak hormat kita. Benamkan sahaja UMNO BN DAP PH dalam tanah.