Tag: lawatan

  • Lawatan Anwar ke Arab Saudi agak pelik, kata badan pemikir

    Lawatan Anwar ke Arab Saudi agak pelik, kata badan pemikir

    LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi bulan lalu yang mana beliau tidak disambut oleh pemimpin tertinggi negara itu amat pelik.

    Ketua Pegawai Eksekutif Institut Iris Syed Ahmad Israa Syed Ibrahim berkata, ini kerana Malaysia dan Arab Saudi setelah sekian lama mempunyai hubungan bilateral yang baik dan melaksanakan pelbagai siri pertemuan signifikan sebelum ini.

    Syed Ahmad sehubungan itu berkata, Anwar sebagai seorang ketua negara, sepatutnya disambut oleh ketua negara yang dilawati dan bukannya mana-mana pegawai tidak setaraf dengan status beliau.

    “Ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi PM pada 2019, Mazlee Malik, menteri pendidikan ketika itu pun dapat berjumpa dengan Raja Salman untuk berbincang mengenai hubungan antara Malaysia dan Saudi dalam pendidikan.

    “Malaysia dan Arab Saudi ada banyak hubungan strategik seperti dalam isu minyak, pengurusan haji dan sebagainya.

    “Tetapi apabila Anwar pergi, nampaknya perkara yang dibincangkan adalah perkara yang tidak strategik dan tak dapat pun berjumpa dengan Raja Arab Saudi,” katanya menurut MalaysiaNow.

    Lawatan perdana menteri ke Arab Saudi antara 22 hingga 24 Mac lalu menimbulkan persoalan apabila beliau tidak bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman yang juga merangkap perdana menteri negara itu.

    Bagaimanapun Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi dalam satu kenyataan kemudian menjelaskan kerajaan Arab Saudi meminta lawatan tersebut dilanjutkan supaya pertemuan antara dua pemimpin negara itu dapat dilaksanakan.

    Kenyataan itu turut menyatakan permintaan tersebut terpaksa ditolak memandangkan Anwar perlu menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selain dijadual berkunjung ke Kemboja dan China.

    Institut Iris merupakan badan pemikir yang menghimpunkan peneliti-peneliti dalam bidang hubungan antarabangsa.

    Bagaimanapun, Syed Ahmad berkata, walaupun lawatan Anwar ke negara lain selepas Arab Saudi dianggap berjaya, beliau masih perlu memberi penjelasan penuh kerana kunjungan itu mewakili rakyat Malaysia secara menyeluruh.

    “Apabila perkara itu berlaku, memang bermakna ada masalah, jadi perlu ada penjelasan yang baik.

    “Ini bahagian yang ramai keliru, tetapi saya rasa beliau akan elak daripada menjelaskan perkara ini”

    “Tak mungkin Wisma Putra tidak tahu jadual pergerakan pemimpin negara yang dikunjungi kerana ia adalah protokol dan tanggungjawab mereka mengetahui segala butiran sebelum PM mencecah bumi sana,” kata Syed Ahmad.

    Syed Ahmad bagaimanapun berpandangan bahawa lawatan ke Arab Saudi itu merupakan kehendak Anwar sendiri.

  • PMO perlu jelaskan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

    PMO perlu jelaskan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

    SEORANG Ahli Parlimen meminta Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberikan penjelasan mengenai objektif, persiapan, penyusunan dan keseluruhan kos lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini.

    Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, apa yang menjadi kepentingan adalah penjelasan mengenai pencapaian yang terhasil daripada lawatan bersejarah tersebut.

    Menurut beliau, secara umumnya, terdapat tiga bentuk lawatan ke luar negara, iaitu lawatan rasmi, lawatan perniagaan dan lawatan umrah yang mempunyai objektif, sambutan dan aturan tersendiri.

    Kata Mohd Syahir, bagi sesebuah lawatan rasmi, objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin, sambutannya penuh protokol, kemuncaknya kunjungan hormat ketua negara atau rakan sejawat dan disambut di istana atau pusat pentadbiran negara.

    “Memetik laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2023, ‘Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam’.

    “Namun kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Mohd Syahir menjelaskan, bagi sesebuah lawatan perniagaan pula objektifnya adalah untuk meningkatkan hubungan dagang antara dua negara.

    “Laporan menyatakan pertemuan dengan komuniti perniagaan berjaya diaturkan di Jeddah dan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani walaupun tidak disaksikan bersama oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, ataupun Menteri Kewangan Arab Saudi.

    “Manakala bagi sesebuah lawatan umrah, objektifnya adalah untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.

    “Alhamdulillah, PMX berjaya menunaikan umrah dengan sebaiknya, diiringi isteri, Menteri Luar dan Menteri Komunikasi Malaysia. Semoga beroleh umrah yang mabrur,” katanya.

  • Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London bagi lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) bermula hari ini.

    Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

    Ketibaan  Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

    Dalam lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

    Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

    Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. 

    Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

    Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

    Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA