Tag: Laut China Selatan

  • Laut China Selatan: Muhyiddin anggap kenyataan Anwar cuai, tidak bertanggungjawab

    Laut China Selatan: Muhyiddin anggap kenyataan Anwar cuai, tidak bertanggungjawab

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia sedia berunding dengan China jika Beijing merasakan sebuah kawasan di Laut China Selatan yang sedang dibangunkan oleh Petronas sebagai hak mereka adalah cuai.

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini:

    Dalam sidang Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana PETRONAS telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”. Beliau menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.”


    Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri. Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.


    Pada hakikatnya, kawasan cari gali PETRONAS yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.


    Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara. Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara. Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing.


    Keduanya, Perdana Menteri juga membuat kenyataan berikut di Dewan Rakyat:


    “…tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.”


    Dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa, Perdana Menteri sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.


    Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.


    Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.


    Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali. Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN.

    TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

    Pengerusi Perikatan Nasional

    6 April 2023

  • Tiada kompromi jika ada ancaman di Laut China Selatan

    Tiada kompromi jika ada ancaman di Laut China Selatan

    MALAYSIA tidak akan berkompromi dengan mana-mana negara sekiranya terdapat ancaman di Laut China Selatan, demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkannya beberapa kali dalam perjumpaan bersama wakil-wakil negara dan forum antarabangsa semasa memegang portfolio Menteri Pertahanan.

    “Kita katakan kita tidak akan berkompromi dari segi kedaulatan kita,” katanya.

    Ismail Sabri berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

    Menyentuh dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara, iaitu antara sembilan fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata keselamatan merupakan isu yang amat penting kerana pembangunan negara akan terbantut sekiranya berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak selamat.

    “Sememangnya kerajaan menumpukan perhatian kepada keselamatan dan pertahanan sejak dari dahulu.

    “Bajet kita pun tahun lepas bertambah berbanding dengan yang lepas-lepas kerana kedaulatan negara tak boleh dikompromi dengan sesiapa sekali pun,” katanya.

    Ismail Sabri turut menyifatkan Op Benteng, yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia dan dibantu 11 agensi lain, sebagai berjaya dalam menyekat kemasukan pendatang tanpa izin yang mungkin membawa virus COVID-19 ke negara ini.

    Beliau berkata usaha itu diperkukuh dengan penambahan 19 pos kawalan sempadan serta pembinaan kem baharu terutama di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

  • Malaysia tegaskan Laut China Selatan mesti kekal sebagai perairan aman dan stabil

    Malaysia tegaskan Laut China Selatan mesti kekal sebagai perairan aman dan stabil

    Oleh: Bernama

    MALAYSIA telah menegaskan kepentingan kerjasama serantau bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai perairan aman dan stabil.

    Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu adalah antara isu yang ditekankan beliau pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN – Amerika Syarikat (AMM-AS) yang berlangsung secara maya pagi ini.

    AMM-AS merupakan antara siri mesyuarat semasa berlangsungnya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 (AMM) dengan Hishammuddin mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat maya itu dari Putrajaya,

    “Semua pihak mesti terus bekerjasama untuk pastikan Laut China Selatan mesti kekal sebagai perairan aman dan stabil.

    “Malaysia tegas, kestabilan serantau amat penting bagi setiap negara apatah lagi di era pandemik yang serba mencabar ini,” kata beliau dalam catatan terkini di laman Facebooknya hari ini.

    Mesyuarat itu dihadiri menteri-menteri luar ASEAN dan Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

    Hishammuddin berkata Malaysia juga menekankan pada isu jenayah rentas sempadan dan ia bukan masalah yang boleh diselesaikan sendiri oleh mana-mana pihak.

    “Ia perlukan kerjasama bersepadu antara negara. Dalam konteks ini, ASEAN-AS mesti terus berkongsi tekad untuk menanganinya secara lebih efektif,” kata beliau.

    Menyentuh mengenai isu Palestin-Israel, katanya, komuniti antarabangsa mesti terus melaksanakan pendekatan serius bagi mencari penyelesaian berpanjangan dalam isu Palestin-Israel.

    “Di pihak Malaysia, sokongan terhadap Palestin tidak akan berganjak dan Malaysia akan terus membantu terutama dari sudut kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza,” kata Hishammuddin.

    Antara mesyuarat yang disertai Hishammuddin adalah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22); Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ); Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23; dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29.

    Lain-lain mesyuarat ialah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–ROK; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN-China; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Jepun; dan Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Australia. – BERNAMA