Tag: Larut

  • Bukan sekadar bangkang, PN akan tegur kerajaan untuk rakyat – Hamzah

    Bukan sekadar bangkang, PN akan tegur kerajaan untuk rakyat – Hamzah

    PENGALAMAN sebagai kerajaan sebelum ini akan digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang di Parlimen sebaik mungkin termasuk menegur kerajaan jika ada perkara yang dilaksanakan tidak menguntungkan rakyat.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pengalaman itu juga boleh membantu mereka menyampaikan pandangan kepada pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita (PN) ada pengalaman, kita akan tegur dan sampaikan bila ada perkara yang tidak baik,” kata Ahli Parlimen Larut itu selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini hari ini.

    Mengenai keputusan PN untuk menamakan beliau sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah berkata beliau menerimanya sebagai amanat dan tanggungjawab besar.

    “Bukan sekadar membangkang tapi sebagai kumpulan yang berwibawa bagi memastikan kerajaan bekerja dengan baik,” katanya.

    Mesyuarat Jawatankuasa PN baru-baru ini bersetuju melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Dis serta merupakan sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • Hamzah dakwa ‘rombongan’ 5 bas masuk Larut bantu jentera BN

    Hamzah dakwa ‘rombongan’ 5 bas masuk Larut bantu jentera BN

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat lima bas dibawa masuk dari luar daerah itu untuk membantu menguatkan lagi jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam misi menumbangkan beliau di kerusi itu.

    Menyifatkan tindakan itu sebagai “terdesak”, Hamzah berkata, perkara itu disampaikan kepadanya oleh jentera PN di lapangan. Bagaimanapun, tidak timbul sebarang ketegangan kerana “rombongan” itu akhirnya pulang.

    “Kadang-kadang orang jauh ni dah sampai sini, baru dia tahu asal usul kita, kemudian mereka balik. Jadi tak timbul masalah tetapi cubaan (untuk berkempen) itu ada,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama.

    “Tetapi tak mengapalah, orang nak kempen datang dari mana-mana pun tak apa. Cuma saya nak katakan bahawa Umno ini terdesak sehingga bawa orang luar untuk berkempen mengalahkan saya di sini,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Bagaimanapun, calon BN Shafiq Fhadly Mahmud ketika dihubungi menafikan dakwaan itu dan menyifatkan kenyataan Hamzah itu sengaja direka-reka kerana sedar beliau “di ambang kekalahan”.

    “Tuduhan itu tidak benar sebab semua jentera kita bekerja keras di tempat masing-masing. Kita mempunyai kekuatan jentera yang sangat besar di sini berbanding di pihak sebelah sana yang kita nampak sendiri tidak mempunyai jentera untuk bekerja dan mereka gentar dengan kita.

    “Sebab itu macam-macam cerita sekarang ini nak melemahkan kekuatan jentera kita. Saya percaya apabila pihak lawan cuba menggunakan taktik hasutan dan fitnah seperti ini bermakna mereka sedang gentar dan berada di ambang kekalahan,” katanya kepada FMT.

    Tambahnya, tindakan Hamzah itu juga dipercayai untuk cuba menutup tindakan beliau sendiri yang mengadakan perjumpaan besar-besaran bersama kakitangan awam dan anggota Rela dalam tempoh berkempen.

    “Difahamkan, hari ini ada perjumpaan dengan Rela untuk satu negeri Perak di sini (Selama)… malah sebelum ini ada perjumpaan dengan kakitangan awam lain saya rasa itu yang perlu dijawabnya sebenarnya,” kata Shafiq

    Hamzah, yang dalam misi mempertahankan kerusi Parlimen Larut yang disandangnya sejak 2008, berdepan saingan empat penjuru termasuk Syafiq, Zolkarnain Abidin (PH), dan Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang).

    Pada PRU14, Hamzah menang kerusi tersebut atas tiket BN selepas mengalahkan calon PAS Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.

    Hamzah kemudiannya meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada 2019.