Tag: larangan

  • Tiada pekeliling larang Sanusi hadir acara kerajaan Persekutuan

    Tiada pekeliling larang Sanusi hadir acara kerajaan Persekutuan

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat surat rasmi atau pekeliling yang melarang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri sebarang acara rasmi kerajaan Persekutuan.

    “Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk beliau (tidak boleh) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan Persekutuan melainkan jika arahan itu dikeluarkan pada beliau secara peribadi, saya tidak mengetahui mengenai perkara itu.

    “Tiada (surat atau pekeliling). Kalau dakwaan itu benar, mungkin Menteri Besar Kedah boleh menyebarkan arahan atau pekeliling untuk (yang menyebut) melarang beliau menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di sini, hari ini, ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri mengenai perkara itu.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi, menerusi Facebook rasminya mendakwa beliau telah dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada 23 hingga 27 Mei ini. – BERNAMA

  • Kempen tanam 100 juta pokok perlu disusuli larangan penebangan hutan

    Kempen tanam 100 juta pokok perlu disusuli larangan penebangan hutan

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP)  mengalu-alukan Kempen Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025 oleh kerajaan sebagai langkah menghijaukan negara namun berharap kerajaan tidak memberikannya kepada mana-mana syarikat swasta untuk dikendalikan.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kempen itu seharusnya mengupayakan orang ramai untuk terlibat dalam menanam pokok di bawah penyeliaan Jabatan Perhutanan kerana boleh menjimatkan wang di samping mencapai objektif kempen.

    Dalam masa tegas beliau, kempen menghijaukan negara dengan usaha penanaman pokok sahaja tidak cukup jika penebangan hutan dibenarkan untuk diteruskan berlanjutan.

    “Kempen ini akan hanya dilihat semata-mata untuk menutup keburukan bagi Malaysia yang memperoleh pengiktirafan “mempunyai kadar kehilangan hutan tertinggi” antara 10 negara di seluruh dunia yang mengurangkan liputan hutan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu tambah Mohideen, kempen tersebut seharusnya menerima pakai pendekatan serampang dua mata iaitu meningkatkan penanaman pokok daripada spesies yang betul serta mencegah penebangan hutan.

    Katanya, langkah itu akan membantu orang ramai mempelajari untuk menghargai dan mengambil pemilikan pokok dalam komuniti.

    Jelasnya, untuk menangani punca utama penebangan hutan juga kerajaan mesti memastikan negeri masing-masing bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti penebangan hutan sama ada secara sah atau haram yang dijalankan.

    Ujarnya, objektif penanaman pokok akan gagal jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menyahwartakan hutan simpan atau membenarkan pokok ditebang dengan pemantauan yang sedikit. 

    “Pada masa ini di bawah Akta Perhutanan Negara, sebarang hasil daripada Kawasan Hutan Kekal atau tanah negeri lain dianggap harta negeri tetapi hasil mungkin hanya boleh dikeluarkan dengan lesen yang betul.

    “Oleh itu, ia berada di bawah bidang kuasa negeri dan satu cara bagi kerajaan Persekutuan untuk mengawal penebangan hutan ialah dengan menetapkan syarat mengenai bantuan Persekutuan kepada negeri berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, undang-undang berkaitan perhutanan dan alam sekitar juga perlu diperketatkan yang mana mesti memastikan terdapat semak dan imbang untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.

    Ini kerana tegas beliau, Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri hanyalah penjaga aset tanah dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.