Tag: laporan

  • COVID-19: Tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

    COVID-19: Tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

    KERAJAAN tidak perlu terburu-buru untuk menerima kedatangan pengembara dari China terutamanya pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran.

    Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kerajaan perlu terlebih dahulu melihat kepada perkembangan semasa berkaitan jangkitan wabak itu bagi mengelakkan kemasukkan varian yang belum pernah ditemukan dan seterusnya memudaratkan negara.

    “Kemungkinan untuk varian baharu masuk dalam negara adalah tinggi, tambahan lagi kita menghampiri musim perayaan (Tahun Baharu Cina) jadi susah untuk kita kawal pergerakan.

    “Jadi, kerisauannya adalah jika mereka bawa kes-kes itu ke Malaysia bersama-sama dengan varian baharu yang kita tak kenal pasti lagi,” katanya kepada Bernama. 

    China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes COVID-19 di negara itu baru-baru ini.

    Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat belum timbul keperluan mengadakan sekatan kepada pelancong dari negara tembok besar itu, namun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama syarikat penerbangan perlu mengadakan pengawasan yang ketat. 

    “Pertimbangkan langkah ketat kemasukan pengembara dari China dan jangan leka, bagi yang ingin masuk (ke Malaysia) perlu lengkap vaksinasi dan lakukan ujian COVID-19 seeloknya ujian PCR,” katanya.

    Dr Zainal turut menyarankan agar kerajaan meningkatkan kadar penerimaan dos penggalak bagi vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak itu. 

    Menurutnya kadar liputan bagi dos penggalak pertama dan kedua yang masih rendah dalam negara mampu mendatangkan risiko, iaitu mengambil kira kemungkinan tahap imunisasi masyarakat yang semakin menurun. 

    Berdasarkan data laman web KKMNOW setakat 12 tengah hari tadi sejumlah 16,278,669 atau 49.8 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama, manakala cuma 629,215 atau 1.9 peratus dari populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua. 

    Dalam masa sama, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Micheil berkata negara tidak seharusnya melarang pergerakan mana-mana pengembara terutamanya pelancong dari luar negara.

    Katanya kerajaan melalui agensi di bawah KKM serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mengambil tindakan bersiap siaga dalam memastikan industri perhotelan dan pelancongan  selamat serta terjamin.

    Jurucakap Malaysia Airlines ketika dihubungi menyatakan komitmen syarikat penerbangan itu untuk kekal patuh pada syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan penguat kuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang terpelihara. 

    Sementara itu, pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya Prof Dr Moy Foong Ming berkata orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan sedia ada seperti memakai pelitup muka terutamanya di kawasan yang sesak dan pengudaraan kurang baik, memastikan status vaksinasi sentiasa dikemas kini dan mengekalkan gaya hidup sihat supaya mempunyai imuniti tubuh yang baik.

    “Orang ramai juga boleh mengamalkan TRIIS (ujian, lapor, asing, maklum, cari) jika ada simptom seperti selesema,” katanya. – BERNAMA 

  • Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    TAHAP keselamatan negara adalah terjamin, dan rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada dakwaan wujudnya agensi perisikan luar yang aktif di negara ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata beliau masih menunggu laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dakwaan agensi perisikan luar yang ada kaitan dalam kes penculikan warga Palestin di Malaysia.

    “Isu ejen Mossad saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Begitu juga warga Israel (yang masuk ke Malaysia menggunakan passport lain) saya tunggu laporan.

    “Saya akan jumpa Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) dan MKN serta semua agensi berkaitan untuk saya dapatkan laporan,” katanya kepada media selepas perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

    Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa akhbar berkenaan.

    Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Ditanya mengenai pembahagian kerusi UMNO bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

    “Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon-calon daripada UMNO. Pengerusi Perhubungan Negeri dah pun bentangkan pandangan mereka pada minggu lepas jadi kita akan buat penilaian,” katanya. – BERNAMA

  • Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

    Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

    KERTAS siasatan yang telah diperkemaskan, berhubung dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara Isnin ini untuk arahan selanjutnya. 

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata Polis Diraja Malaysia PDRM juga telah selesai mengambil keterangan Thomas.

    “Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri, dan arahan oleh Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam bukunya.

    Ismail Sabri berkata berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA

  • Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    POLIS Negeri Sembilan mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang penceramah bebas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata laporan dibuat dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 17 tahun pada bulan ini di Seremban.

    “Pada masa ini, siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Bukit Aman, untuk dikemukakan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Justeru, Ruslan berkata orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menimbukan kegusaran kepada masyarakat.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes itu pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

    Hasil siasatan mendapati penceramah berusia 40-an itu, mengenali empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

    Susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 4 petang pada Khamis dan kemudian direman selama enam hari sehingga 14 Sept ini bagi membantu siasatan.- BERNAMA

  • Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    POLIS Melaka menerima 48 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM700,000 dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Ogos lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata penipuan berkenaan melibatkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp.

    Beliau berkata suspek penipuan juga menggunakan nama syarikat terkenal seperti Lazada dan Shopee bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

    “Modus operandi penipuan berkenaan ialah suspek menawarkan kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan, menaikkan ‘rating’ perniagaan dan membantu mempromosikan peniaga secara dalam talian.

    “Mangsa akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata selain itu, sindiket juga menawarkan kerja sebagai ejen pembelian yang berperanan membuat pembelian barangan dan mangsa akan diberi komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

    Katanya kebanyakan mangsa mula menyedari diperdaya oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima.

    Sundra Rajan berkata kes terbaru dilaporkan melibatkan seorang eksekutif perniagaan yang mengalami kerugian sebanyak RM8,000 akibat terpedaya dengan tawaran komisen sebanyak lapan peratus sebagai ejen pembelian barang di Facebook.

    Beliau berkata wanita berusia 23 tahun yang tinggal di Ayer Keroh di sini telah membuat pembayaran berkenaan sebagai modal pembelian ke akaun yang diberikan suspek membabitkan transaksi sebanyak lima kali sejak 10 Ogos lepas.

    “Menerusi tawaran kerja itu, mangsa berperanan menaikkan ‘rating’ peniaga kecil dengan membuat pembelian barang syarikat itu untuk mendapatkan komisen sebanyak lapan peratus namun sehingga laporan dibuat pada 13 Ogos lepas, mangsa masih belum menerima semula wang modal pembelian dan komisen yang dijanjikan,” katanya.

    Beliau berkata sehubungan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 13 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Katanya orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial atau laman sesawang dan semak nombor telefon serta nombor akaun yang diragui di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA