Tag: lapor polis

  • PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

    Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

    Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

    “Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

    “Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

    Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

    Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

    “LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

    “Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

    Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

  • HIMPIT: Pemuda Pas Terengganu lapor polis berita mengelirukan

    HIMPIT: Pemuda Pas Terengganu lapor polis berita mengelirukan

    DEWAN Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) membuat laporan polis berhubung satu kenyataan berita yang menimbulkan persepsi buruk terhadap penganjuran Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT).

    Jelas Ketua Penerangan DPPNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin, laporan itu dibuat bagi memberi penegasan terhadap pihak yang menunggang isu terbabit.

    “Laporan polis ini dibuat berkenaan tindakan yang tidak sepatutnya dibuat oleh akhbar Harian Metro yang mengeluarkan berita Program HIMPIT dengan gambar yang boleh disalah ertikan sebagai aktiviti keganasan.

    “Saya juga ingin sampaikan rasa simpati kepada polis apabila menambah kes sebegini, namun kami ingin tegaskan bahawa tiada unsur keganasan dan gambar itu tidak sepatutnya diletakkan oleh akhbar terbabit.

    “Ibarat seolah-olah ada usaha mengaitkan kami (DPPNT) dengan penganjuran yang jauh dengan tujuan asal HIMPIT itu sendiri,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh.

    Mengulas lanjut, Irsyad berkata, DPPNT menyerahkan kepada pihak polis bagi menangani kes tersebut.

    “Kami tuntut dilakukan permohonan maaf secara terbuka, sebagaimana gambar itu disiarkan secara terbuka,” tambahnya, lapor Harakahdaily.

    Kes terbabit dirujuk berdasarkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • PH diri khemah depan pusat undi, ejen BN lapor polis

    PH diri khemah depan pusat undi, ejen BN lapor polis

    SEORANG ejen kepada calon Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis mendakwa Pakatan Harapan (PH) melanggar undang-undang berkempen selepas mendirikan beberapa khemah di luar pusat pengundian di Parlimen Bayan Baru.

    Soh Yeh Hong, selaku ejen calon BN Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung, berkata, PH melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan mendirikan khemah itu pada hari pengundian.

    Ejen calon BN bagi Bayan Baru, Soh Yeh Hong, menunjukkan laporan polis dibuatnya.

    Dalam kenyataan, Soh berkata, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat PH kerana melanggar peraturan di “banyak” pusat pengundian di Parlimen itu.

    Soh turut mengemukakan rakaman video sebagai bukti menurut Free Free Malaysia Today.

    Mengikut undang-undang, semua parti perlu menghentikan kempen, tidak mendirikan khemah atau memakai sebarang baju atau apa-apa yang mempunyai lambang parti, kira-kira 50m dari pusat pengundian.

    Mereka yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

  • Tular dokumen didakwa keputusan kes Rosmah, pejabat ketua pendaftar mahkamah lapor polis

    Tular dokumen didakwa keputusan kes Rosmah, pejabat ketua pendaftar mahkamah lapor polis

    PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita berkaitan dokumen didakwa keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.

    Memetik laporan Berita Harian, ia merujuk laporan bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022’ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.

    Laporan itu mendakwa dokumen berkenaan adalah kertas keputusan penghakiman kes rasuah Rosmah, membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang tular di media sosial.

    Keputusan berhubung kes terbabit dijadual dibacakan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 September ini.

    Pejabat berkenaan menegaskan, perbuatan itu sebagai tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

    “Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat berkenaan laporan-laporan portal itu,” menurut kenyataan berkenaan.

    Menurut pejabat berkenaan, Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.

    Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan meminta pihak berkaitan membuat laporan mengenai dokumen terbabit bagi membolehkan polis memulakan siasatan lanjut mengenai perkara terbabit.

    Ini kes kedua selepas dokumen didakwa penghakiman kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd turut tular sebelum keputusan rasmi dibacakan di Mahkamah Persekutuan, 23 Ogos lalu.

    Susulan itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menjelaskan dokumen didakwa kertas keputusan kehakiman berkaitan kes rayuan Najib adalah draf yang belum dimuktamadkan, sebaliknya berupa draf kerja penghakiman diubah suai.

    Pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.