Tag: langkah Kinabalu

  • ‘Langkah Kinabalu’: Kabinet Sabah dirombak, Bung dijangka jadi ‘korban’

    ‘Langkah Kinabalu’: Kabinet Sabah dirombak, Bung dijangka jadi ‘korban’

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dijangka merombak Jemaah Menterinya selepas cubaan menggulingkan pentadbiran GRS semalam gagal menjadi kenyataan.

    Timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang dikaitkan dengan cubaan itu yang digelar ‘Langkah Kinabalu’ dijangka menjadi korban dalam rombakan berkenaan.

    Free Malaysia Today memetik sumber yang dekat dengan Hajiji berkata, ada kemungkinan ketua UMNO Sabah itu digugurkan, bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Jafry Ariffin.

    Namun katanya, tidak semua pemimpin BN Sabah akan digugurkan.

    “Hal ini dibincangkan semalam. Bukan bercerai dengan BN Sabah. Hajiji hanya mahu pastikan kerajaan terus berfungsi,” kata sumber itu.

    Sumber itu juga memberitahu bahawa, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu akan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan Sabah ke dalam Jemaah Menteri.

    Terdahulu, dilaporkan tujuh ADUN UMNO Sabah termasuk timbalan Bung, Yakub Khan, bertemu Hajiji semalam.

    “Selain tujuh orang itu, sekurang-kurangnya tiga ADUN Warisan pun ada bertemu Hajiji,” kata sumber itu, yang enggan berkongsi butiran perbincangan itu.

    Adalah difahamkan bahawa Hajiji akan bertemu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, hari ini. STAR mempunyai enam wakil rakyat.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata partinya membuat keputusan untuk tunggu dan lihat.

    Himpunan para ADUN UMNO Sabah di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu semalam mencetuskan khabar angin tentang suatu kerjasama dengan Warisan untuk menyingkir Hajiji.

    Presiden Warisan, Shafie Apdal, membatalkan sidang media pada 4.30 petang selepas dua jam tertangguh.

    Terdahulu, ADUN GRS dan Pakatan Harapan mengikrar sokongan kepada Hajiji.

  • ‘Langkah Kinabalu’: Cubaan jatuhkan Hajiji gagal

    ‘Langkah Kinabalu’: Cubaan jatuhkan Hajiji gagal

    USAHA menukar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini, gagal.

    Cubaan yang digelar ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN).

    Difahamkan petang tadi, dua sidang media berasingan dari Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijadual berlangsung.

    Bagaimanapun, kedua-dua sidang media dibatalkan tanpa perincian lanjut.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber berkata, UMNO Sabah terbahagi kepada dua puak, susulan cubaan itu.

    Katanya, tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) pula tidak bersetuju dengan cubaan menukar Ketua Menteri.

    Spekulasi bermula malam tadi selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaan membuktikan keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

    Kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun itu menyebut tindakan berkenaan berikutan dakwaan pihak tertentu memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

    Kerajaan baharu itu dikatakan diwujudkan menerusi kerjasama dan BN dengan Seri Mohd Shafie dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri.

    Pagi tadi, spekulasi turut tersebar kononnya Mohd Shafie dan beberapa pemimpin UMNO serta PH Sabah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dipercayai ada kaitan dengan pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri.

    Mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila WARISAN menjemput media menghadiri sidang media Mohd Shafie pada pukul 4.30 petang tadi, manakala Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar dikatakan mengadakan perjumpaan bersama semua pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah dan turut mengadakan sidang media.

    Bagaimanapun, pada pukul 6.50 petang tadi, WARISAN memaklumkan sidang Mohd Shafie ditangguhkan, manakala Bung Moktar pula terus meninggalkan Bangunan UMNO Sabah, selepas selesai mesyuarat pada pukul 6.30 petang tadi.

    Bung Moktar yang sempat disapa pemberita hanya mengatakan tiada apa-apa yang berlaku, selain hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin UMNO negeri.

    “Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ (perjumpaan) saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya ketika meninggalkan Bangunan UMNO Sabah bersama pemimpin UMNO negeri yang lain.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid, berkata pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi perjumpaan biasa bagi membincangkan hal parti di negeri ini.

    “Bung Moktar juga tidak akan hadir pada sidang media bersama WARISAN seperti dikhabarkan pihak tertentu. Selepas mesyuarat, beliau terus balik.

    “Ketika mesyuarat, semua pemimpin UMNO Sabah ada bersama dan tiada yang menyertai perjumpaan dengan WARISAN,” katanya.

    Ketika ini kerajaan Sabah ditunjangi GRS bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, selain turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.

    GRS yang merangkumi bekas ADUN BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN, termasuk tiga ADUN Dilantik.

    BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN Dilantik, manakala PH mempunyai tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, diikuti dua PKR dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

    Selain itu, tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji.