Tag: langgar lampu isyarat

  • [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    PADAH langgar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal cedera parah dirempuh sebuah kereta di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada Jumaat.

    Kejadian pada pukul 1.43 petang itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk menerima rawatan.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha.

    Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun dalam perjalanan menuju ke Mount Austin, di sini.

    “Setibanya di tempat kejadian, lelaki itu meneruskan perjalanan setelah lampu isyarat telah bertukar hijau, namun tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang oleh seorang lelaki dari simpang kanan.

    “Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan yang disyaki tidak mengikut isyarat lalu lintas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Langgar lampu merah kesalahan paling tinggi-JPJ Negeri Sembilan

    Langgar lampu merah kesalahan paling tinggi-JPJ Negeri Sembilan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mencatatkan 38 kes dalam Ops Merah dalam operasi yang dijalankan sejak 8 hingga 12 Oktober lalu.

    Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan, kesalahan langgar lampu merah adalah paling tinggi direkodkan sepanjang operasi itu melibatkan penunggang motosikal khidmat penghantaran barangan dan makanan (p-hailing).

    “Berdasarkan risikan dan aduan, kebanyakan penunggang motosikal p-hailing ini melanggar lampu isyarat merah dengan alasan nak kejar ‘trip’ tempahan pelanggan.

    “Malah kita dapati ada juga yang teruskan perjalanan ketika lampu isyarat kuning sedangkan kita perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk berhenti,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat advokasi kepada p-hailing di Nilai, semalam.

    Menurutnya, kesalahan lain yang dikesan ialah tidak mematuhi isyarat jalan yang lain dan kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar.

    Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 560 kenderaan telah diperiksa sepanjang Ops Merah dengan pelbagai kesalahan lain termasuk kesalahan pelesenan pemandu sebanyak 17 kes, kesalahan teknikal (10) dan kesalahan pelesenan kenderaan (8).

    JPJ akan terus melaksanakan advokasi secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal p-hailing, katanya.

    Sepanjang Januari hingga September lalu katanya, sebanyak 33 program advokasi telah dijalankan dengan turun padang ke lokasi utama penunggang motosikal p-hailing di Seremban dan Nilai secara bersemuka.

    “Tindakan penguatkuasaan merupakan langkah terakhir yang akan diambil bagi mendisiplinkan mereka yang melakukan kesalahan secara berterusan supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.