Tag: ladang

  • Gajah pecahkan tingkap dapur, ambil makanan pekerja ladang

    Gajah pecahkan tingkap dapur, ambil makanan pekerja ladang

    TIGA pekerja ladang berdepan detik cemas apabila seekor gajah liar bergading bertindak merosakkan dan memecahkan tingkap kaca bahagian dapur rumah mereka di Aring 8, di Gua Musang pada 4 pagi Ahad lepas.

    Penyelia ladang Mohd Khairul Faiza Muhammad Din berkata kejadian terbaharu itu merupakan serangan kedua dihadapi mereka selepas kali pertama berlaku pada Rabu lepas (4 Jan).

    “Kali pertama mamalia tersebut muncul juga pada 4 pagi, membuatkan saya bersama dua lagi rakan serumah terkejut melihat belalai gajah masuk ke dalam bahagian dapur menerusi cermin tingkap yang telah pecah.

    “Pada Ahad lepas,  gajah terbabit muncul lagi dan mengambil makanan seperti garam, minyak serta mi segera yang berada berhampiran kawasan sinki dapur di hadapan tingkap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

    Menurut Mohd Khairul Faiza kehadiran mamalia tersebut dalam kawasan rumah amat mengejut serta membimbangkan.

    “Selama enam tahun bekerja di sini, ini kali pertama rumah kami diserang gajah. Keadaan ini amat merisaukan apabila gajah mula datang mencari makanan di rumah.

    “Belum sempat kami menggantikan cermin yang rosak, gajah terbabit datang kembali mengambil makanan dan membuat kerosakan yang sama,” katanya. 

    Menurut Mohd Khairul Faiza mereka telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan sewajarnya. -BERNAMA 

  • FELCRA Berhad dapat kebenaran bawa masuk 5,000 pekerja asing

    FELCRA Berhad dapat kebenaran bawa masuk 5,000 pekerja asing

    FELCRA Berhad telah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di ladang sawit dan getah miliknya.

    Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Berhad Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata kemasukan pekerja itu dijangka akan memulihkan semula hasil pengeluaran FELCRA yang sebelum ini terjejas ekoran kekurangan tenaga kerja ketika pandemik COVID-19.

    “FELCRA tidak rugi malah catat keuntungan yang banyak tetapi ketika pandemik COVID-19 lalu, ramai pekerja asing pulang ke negara asal mereka dan bila hendak masuk bekerja semula di Malaysia, prosedur kemasukan sedikit sukar.

    “Bila tiada pekerja untuk bekerja di ladang-ladang FELCRA, hasil akan berkurangan. Sebab itu, kami minta kerajaan untuk bekalkan pekerja dan telah mendapat kebenaran untuk membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing tetapi proses kemasukan itu agak lambat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa FELCRA Berhad mengalami kerugian RM3 bilion dalam tempoh sebulan.

    Ghazali berkata pihaknya yakin dengan kelulusan daripada kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing itu ia akan dapat mengatasi masalah yang sedang dihadapi FELCRA sekali gus dapat meningkatkan semula hasil pengeluarannya.

    Terdahulu, beliau merasmikan Program Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia yang disertai 120 peserta yang terdiri daripada peniaga kecil dan pelajar.

    Ghazali berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peniaga kecil terutama dari kawasan luar bandar untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan menerusi teknologi digital bagi membantu meningkatkan hasil jualan produk mereka.

    “Peniaga kecil ini maklumkan mereka boleh memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan dan mungkin apabila mereka mula menjual produk secara dalam talian dan platform digital pendapatan mereka boleh bertambah,” katanya. – BERNAMA