Tag: Kulim

  • Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut

    Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita maut di depan rumahnya setelah dilanggar suami sendiri, dipercaya secara tidak sengaja di Taman Selasih, Kulim, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian kira-kira pukul 7 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 59 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari keretanya untuk mengambil barang yang tertinggal dalam rumah.

    “Ketika itu suami mangsa berusia 60-an yang sedang mengundur tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri kenderaan tersebut.

    “Kenderaan tersebut kemudiannya turut melanggar sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah tersebut,” katanya.

    Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke jabatan forensik Hspital Kulim untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jala 1987,” katanya.

  • Lelaki, wanita maut kereta bertembung lori

    Lelaki, wanita maut kereta bertembung lori

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kulim menuju ke Mahang, Kedah pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.40 pagi.

    Katanya, pemandu kereta yang maut itu merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun manakala identiti penumpang wanita yang turut meninggal dunia masih belum dikenal pasti.

    “Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang manakala lori itu pula datang dari arah bertentangan.

    “Ketika tiba di selekoh berhampiran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), kereta Proton Wira tersebut termasuk ke laluan bertentangan mengakibatkannya terlanggar bucu depan sebelah kanan lori berkenaan,” katanya.

    Difahamkan pemandu kereta itu tidak memiliki lesen memandu manakala pemandu lori berusia 43 tahun itu pula mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah.

    Tambahnya, pemandu dan penumpang kereta itu cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan.

    “Pemandu lori itu turut diambil keterangan untuk siasatan lanjut. Setakat ini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pekerja pasar raya cedera ditetak

    Pekerja pasar raya cedera ditetak

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki cedera di tangan, kepala dan kaki akibat ditetak dengan senjata tajam oleh dua suspek tidak dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kulim malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu berlaku ketika mangsa yang dipercayai berseorangan di kawasan tempat meletak kenderaan pasar raya terbabit didatangi dua lelaki sebelum tiba-tiba dia ditetak.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian terbabit sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

    “Mangsa yang berlumuran darah akibat kecederaan yang dialaminya kemudian dibawa ke wad kecemasan Hospital Kulim dengan ambulans.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pekerja di pasar raya tersebut berusia lingkungan 50-an dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya hari ini.

    Mohd. Redzuan berkata, mangsa yang berada dalam keadaan stabil kini masih ditempatkan di wad hospital berkenaan untuk menerima rawatan lanjut.

    Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian serta sedang memburu kedua-dua suspek terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tetak itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 013-435 8399.