Tag: Kulai

  • Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    DUA tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, hari ini sedang giat diburu polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow , tahanan itu dikenali sebagai Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36.

    Kedua-dua tahanan itu katanya membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukuljam 8 pagi, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

    “Kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke Penjara Ledang, dua tertuduh telah membuka gari dan pintu belakang van sebelum melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Beng Yeow, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa kesemua tertuduh ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan pada jam 11.20 pagi.

    “Operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dengan bantuan unit pengesan anjing K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    “Selain itu, Op Tutup turut dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi bilik gerakan di talian 07-6637222,” katanya.

  • Polis tahan dua lelaki disyaki mabuk halang bas

    Polis tahan dua lelaki disyaki mabuk halang bas

    POLIS hari ini menahan dua lelaki yang dirakam bertindak samseng dengan menahan sebuah bas henti-henti dalam satu kejadian di Kulai, semalam.

    Lelaki tempatan berusia 32 dan 42 tahun itu ditahan pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow, suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada pemandu bas terbabit kira-kira pukul 10 pagi.

    Jelasnya, kejadian berlaku pada pukul 8.15 pagi semalam, ketika pemandu bas henti-henti yang berusia 31 tahun sedang memandu di Taman Puteri, Kulai.

    “Pemandu bas melihat sebuah kereta BMW berwarna hitam telah berhenti di tengah jalan dan seakan-akan memberi jalan kepadanya yang ketika itu sedang memandu bas untuk keluar dari jalan berkenaan.

    “Bas yang dipandu mangsa kemudian telah ditahan suspek dan suspek juga memarahi mangsa dengan menghentak beberapa kali dinding bas menggunakan tangannya.

    “Seorang lagi rakannya datang menghampiri mangsa dengan memegang cermin sisi di bahagian kanan pemandu dan cuba merosakkannya namun mangsa sempat bergerak lalu meneruskan perjalanan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, pemandu bas terbabit percaya kedua-dua suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk.

    Katanya, suspek kemudian mengekori mangsa dari arah belakang dari terminal bas Kulai sehinggalah sampai ke Jalan Batu 21 Kulai Besar, di sini.

    “Suspek masih bertindak mengulangi perkara sama, namun mangsa berdiam diri di dalam bas bimbang keselamatan terancam,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman esok, bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

    Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi satu minit 19 saat memaparkan sebuah kereta BMW memotong sebuah bas henti-henti secara tiba-tiba.

    Rakaman juga memaparkan, seorang lelaki keluar dari kenderaan yang berhenti di tengah jalan sebelum datang mengetuk pintu bas, manakala seorang lagi datang ke bahagian tepi sambnil memarahi pemandu bas terbabit.

  • Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

    Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

    PEMANDU bas maut manakala lapan penumpang cedera selepas terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Kulai, malam tadi.

    Mangsa, Ismail Tapah, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu bas, kereta dan lori.

    Katanya, dalam kemalangan terbabit, selain warga emas yang maut, lapan penumpang bas cedera ringan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang bergerak terus menghala ke arah utara terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi pembahagi jalan.

    “Kemudian, bas dipandu mangsa yang datang dari arah sama menghala ke utara, tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan dari belakang.

    “Akibat pelanggaran itu, bas terbabas ke longkang di kiri jalan sebelum kereta pula terlanggar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, pemandu lori dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya, kenderaan yang terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali, berkata 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam.

    Katanya, setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dan meninggal dunia dari bas berkenaan.

    “Mereka yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 12.42 tengah malam,” katanya.

  • Lebih 100 penduduk terjejas ribut ‘badai’ Kulai

    Lebih 100 penduduk terjejas ribut ‘badai’ Kulai

    LEBIH 100 penduduk terjejas di Felda Bukit Permai dan kawasan sekitar Kulai, Johor akibat ribut bersama hujan dan angin kencang, awal pagi tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kejadian yang berlaku antara 8 hingga 9 pagi itu melibatkan 19 rumah dan tiga premis kedai.

    “Kita kenal pasti sebanyak 17 rumah dan tiga kedai rosak akibat pokok tumbang dan bumbung terbang dan rosak di kawasan Felda ini.

    “… terdapat dua rumah terjejas, masing-masing satu di Kampung Sungai Besoi dan Kampung Sri Muar yang terletak berdekatan di sini hari ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permai kepada pemberita di Felda itu, hari ini.

    Mohd Jafni berkata ini merupakan kejadian ribut kali ketiga dan terburuk di kawasan Felda berkenaan selepas Mac dan April lepas, memandangkan lokasinya yang terletak di laluan angin.

    Beliau berkata buat masa ini semua keluarga yang terjejas akan dibantu menerusi Tabung Bencana Felda, selain bantuan kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta bantuan segera RM500 dan bakul makanan daripada pejabat Dewan Undangan Negeri Bukit Permai.

    “Kebiasaannya bantuan daripada MAINJ lebih kurang RM1,000 untuk setiap keluarga,” katanya dan menambah kerajaan negeri juga akan melihat kepada bantuan tambahan seperti keperluan persekolahan anak-anak. – BERNAMA

  • Nahas 2 rentung: Nana Mahazan kongsi rakaman video, doakan mangsa

    Nahas 2 rentung: Nana Mahazan kongsi rakaman video, doakan mangsa

    PENGACARA Nana Mahazan sempat merakamkan kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, sebelum simpang Sedenak, Kulai, Johor, malam tadi.

    Nana menerusi perkongsian TikTok menyatakan, dia ketika kejadian dalam perjalanan menuju utara bersama rakannya dan terkejut melihat sebuah kenderaan dipercayai lori, dijilat api dalam nahas itu.

    “Ya Allah… Astaghfirullahalazim. Berlanggarkah? Ada lori… Macam mana kereta hendak lalu?

    “Ya Allah, semua kerata tidak bergerak,” kata Nana seperti yang didengar dalam rakaman video itu.

    Bekas peserta musim pertama program realiti (AF) Akademi Fantasia ini menulis:”Lebuh raya menghala Johor Bahru sebelum Sedenak. Astaghfirullahalazim…. Semoga semua terbabit selamat,” katanya sambil disertakan emoji sedih.

    Sebelum itu, video kejadian tersebut berdurasi satu minit 37 saat yang menunjukkan jeritan pilu seorang lelaki yang menyatakan dia tidak akan meninggalkan isterinya yang terperangkap dalam sebuah kereta marak terbakar.

    Lelaki itu dirakam ditenangkan oleh pengguna jalan raya lain dan dibawa ke kawasan lebih jauh berikutan api marak.

    Menurut polis, kemalangan yang mengakibatkan dua individu rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, di Kulai disyaki berlaku apabila sebuah lori dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru menukar ke lorong kiri kerana kesesakan lebuh raya.