Tag: Kuching

  • Polis buru suspek samun bersenjata pisau di Jalan Nanas, Kuching

    Polis buru suspek samun bersenjata pisau di Jalan Nanas, Kuching

    POLIS kini memburu seorang lelaki samun bersenjata pisau di sebuah kedai runcit dekat Jalan Nanas, Kuching, 3 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian samun itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM900.

    “Pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching dan Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai diminta memberi maklumat bagi membantu mengesan suspek.

    Sejak semalam tular rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan aksi suspek melakukan jenayah samun.

    Suspek dilihat merangkul leher mangsa sambil mengacu sebilah pisau lalu menyuruh mangsa mengeluarkan wang tunai yang terdapat di dalam mesin tunai.

    Suspek kemudian melarikan diri selepas mangsa menyerahkan wang.

  • Pemandu mabuk sebabkan kematian rakan

    Pemandu mabuk sebabkan kematian rakan

    SEORANG lelaki terbunuh selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum terlanggar pokok di Jalan Stutong berdekatan bulatan menghala ke Taman BDC, Kuching, awal pagi tadi.

    Mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang bahagian depan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Kenari dinaiki tiga lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu hilang kawalan sebelum terbabas.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Merbin berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Umum Sarawak esok.

    Katanya, pemandu akan disiasat mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

    “Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000,” tambahnya.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada pukul 2.58 pagi.

    “Setibanya di lokasi didapati pemandu dan penumpang bahagian belakang yang mengalami kecederaan sudah dikeluarkan oleh orang awam manakala penumpang yang duduk di bahagian depan tersepit.

    “Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Remaja perempuan 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia ditahan

    Remaja perempuan 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia ditahan

    POLIS menahan dua orang ‘bookie’pertaruhan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 dan ejen nombor loteri haram dalam serbuan di Matang Jaya, dekat Kuching, petang semalam.

    Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun antara bookie ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan ke sebuah kedai makan, kira-kira pukul 3.45 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, suspek disyaki menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen nombor loteri tanpa lesen.

    Katanya, suspek turut mengaku melakukan kesalahan tersebut.

    “Polis turut merampas dua unit telefon, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang tunai berjumlah RM420,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Abang Zainal Abidin berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dalam serbuan kedua di sebuah gerai buah-buahan pada pukul 4.45 petang.

    Katanya, suspek juga dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen jual nombor loteri tanpa lesen.

    “Polis merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM540,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.