Tag: Kubur

  • Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, Jalan Tun Abang Haji Openg di Sibu, diceroboh dan dirosakkan disyaki dilakukan seorang lelaki kurang siuman semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal mendapati batu nisan pada 11 kubur berkenaan dicabut kemudian dipercayai dihempas sehingga pecah dan patah manakala empat daripadanya mengalami kerosakan pada jubin lot kubur dipercayai akibat dihempas batu nisan.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1.58 tengah hari di Balai Polis Pusat Sibu semalam dan siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

    “Tiada sebarang senjata atau peralatan mencurigakan dijumpai di tempat kejadian. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

    Zulkipli turut menasihatkan masyarakat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada polis atau tampil ke balai-balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Hakimi Abd. Azid (01131873715).

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • 25 kubur diancam tanah runtuh hingga nampak kain kafan jenazah

    25 kubur diancam tanah runtuh hingga nampak kain kafan jenazah

    SEKURANG-kurangnya 25 kubur umat Islam di sebuah tapak perkuburan umum (TPU) di Kota Bandung Indonesia diancam tanah runtuh sehingga menampakkan kain kafan jenazah.

    Lapor Kompas.com, foto kejadian di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung itu mula tular di media sosial sejak semalam.

    Pemilik akaun Twitter bernama @txtdaribandung dalam ciapannya berkata:”Runtuh akibat hujan lebat di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung. Ada beberapa kain kafan yang terlihat”.

    Setakat hari ini, ciapan tersebut diulang kicau sebanyak 9,558 kali dan disukai lebih 46,200 pengguna Twitter lain.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Cipta Karya, Bina Konstruksi dan Tata Ruang Kota Bandung, Bambang Suhari mengesahkan kejadian itu.

    “Betul di wilayah TPU Sirnaraga RT 04 RW 07, Kecamatan Cicendo, Bandung,” kata Bambang kepada Kompas.com, hari ini.

    Menurutnya, tanah runtuh di kawasan perkuburan tersebut diakibatkan hujan lebat yang berlaku sebelum itu.

    Katanya, terdapat 25 kubur yang terjejas dengan 10 daripadanya rosak akibat runtuhan tembok penahan tebing TPU berkenaan.

    “Dari 10 kubur yang rosak itu, ada tujuh yang kita rancang akan dipindahkan iaitu lima makam kanak-kanak dan dua kubur dewasa.

    “Pemindahan kubur sudah diselaraskan dan telah mendapat persetujuan dari waris,” katanya.

    Beliau menambah, masih ada tiga kubur rosak yang perlu diperbaiki, namun tidak perlu dipindahkan.

    Namun katanya, tidak ada jenazah yang jatuh dan dihanyutkan arus sungai berhampiran.