Tag: Kubang Pasu

  • Dakwa hak dinafikan, Pengerusi Tetap UMNO Kubang Pasu letak jawatan

    Dakwa hak dinafikan, Pengerusi Tetap UMNO Kubang Pasu letak jawatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGERUSI Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu di Kedah, Zulkifli Md. Isa mengumumkan peletakkan jawatan kerana mendakwa haknya dinafikan setelah berdepan pelbagai cabaran bagi memastikan perjalanan pemilihan bahagian itu berlangsung secara adil dan saksama, Sabtu lalu.

    Katanya, beliau cuba untuk melaksanakan beberapa perkara bagi memastikan pemilihan yang adil namun langsung tidak dipedulikan.

    Selain itu beliau mendakwa, berlaku beberapa perkara yang dilihat tidak sepatutnya terjadi dalam pemilihan tersebut.

    “Mula-mula saya cuba menetapkan agar pengundian dilakukan menggunakan pen merah supaya unsur-unsur penipuan undi awal dapat dielak namun pihak-pihak tertentu hanya mengucapkan terima kasih dan memaklumkan yang undian menggunakan pen warna apa pun akan diterima.

    “Selain itu saya juga hairan melihat peti undi yang biasanya diletakkan di depan perwakilan dan jawatankuasa, tetapi diletakkan di belakang perwakilan. Saya tegur pihak berkaitan agar ambil tindakan berkaitan perkara itu tetapi tiada apa-apa yang dilakukan.

    “Sudahnya apabila pengundian berjalan, ada pula penyokong serta ejen calon tertentu mengganggu perwakilan ketika mengundi dengan saya sendiri ditanya siapa yang saya undi,” katanya.

    Dalam pemilihan kali ini, Zulkifli menang tanpa bertanding jawatan pengerusi tetap bahagian itu setelah tiada mana-mana pihak yang mencabarnya.

    Sebelum ini beliau merupakan timbalan pengerusi tetap di bahagian itu.

    Zulkifli menambah, beliau juga terkejut apabila melihat ‘cai’pihak tertentu diletakkan di tempat mengundi sedangkan ‘cai’-‘cai’ yang diletakkan di tempat duduk perwakilan, diarahkan agar dibuang oleh pihak tertentu di awal mesyuarat.

    Beliau turut mendakwa ‘ditipu’ apabila ada individu menyampaikan kepadanya kononnya jawatankuasa pemilihan UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak membenarkan sebarang sesi pengenalan calon dibuat kepada perwakilan sebelum pengundian berlangsung.

    “Hanya selepas itu apabila saya berjumpa dengan individu terlibat dengan jawatankuasa pemilihan tersebut, barulah saya dimaklumkan bahawa arahan itu tidak wujud.

    “Rupa-rupanya daripada 191 Bahagian UMNO di Malaysia ini, cuma UMNO Bahagian Kubang Pasu saja tidak buat pengenalan calon dan individu berkenaan mengggunakan nama baik jawatankuasa pemilihan UMNO untuk menipu saya,” katanya.

    Oleh itu katanya, beliau terasa seperti dipergunakan dan hanya bertindak sebagai boneka menyebabkannya bertegas mengambil keputusan meletak jawatan walaupun dipujuk pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Bahagian itu, Datuk Seri Johari Baharom agar terus menjalankan tanggungjawab itu.

    “Saya tak pertikaikan siapa yang menang dan siapa kalah. Tetapi rasa tak puas hati kerana ada pihak tertentu cuba menggunakan kedudukan mereka untuk memastikan kemenangan satu-satu pihak dan menafikan hak pihak lain termasuk saya sendiri sebagai pengerusi tetap bagi memastikan pemilihan berlaku dengan adil.

    “Setakat ini saya sudah memberitahu Ketua UMNO Bahagian, Datuk Aminuddin Omar mengenai peletakan jawatan ini dan beliau mengambil maklum mengenainya. Malam ini insya Allah saya akan emailkan surat ini kepada UMNO negeri dan Pusat untuk pemakluman mereka,” katanya.

  • Guru lemas ketika mahu lepaskan jala ikan tersangkut di dasar sungai

    Guru lemas ketika mahu lepaskan jala ikan tersangkut di dasar sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG guru yang maut akibat lemas ketika menjala ikan di Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah semalam dipercayai turun ke sungai bagi melepaskan jalanya yang tersangkut di dasar sungai.

    Ketua Polis Daeah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu turut dilihat oleh rakannya yang berada hanya kira-kira 10 meter daripada lokasi mangsa, Khairul Azuar Mohd. Saud, 41 dilaporkan lemas.

    Menurutnya, rakan mangsa itu mendakwa sempat melihat Khairul Azuar terkapai-kapai sambil meminta tolong selepas turun ke sungai sebelum hilang ke dasar.

    “Rakan mangsa itu cuba menghampiri Khairul Azuar namun ketika itu, mangsa sudah pun tenggelam. Usaha lelaki itu meraba ke dasar untuk mencari Khairul Azuar turut gagal menemukannya kerana keadaan air yang keruh dan kedalaman sungai mencecah lebih dua meter.

    “Berikutan itu rakan mangsa terus meminta bantuan orang ramai di kawasan berhampiran. Mangsa kemudiannya ditemukan dan dibawa ke darat oleh pihak bomba dengan kerjasama penduduk kampung,” katanya.

    Difahamkan mangsa bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Paya Kemunting, Jitra.

    Warta Rakyat semalam melaporkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa ketika dia turun menjala ikan dengan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.59 petang.

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, temu bual bersama isteri mangsa memaklumkan, suaminya itu sememangnya gemar menjala dan memancing ikan namun tidak terlalu pandai berenang.

    “Keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat lemas dan pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tidak terdapat kesan mahu pun unsur jenayah,” katanya.

  • 35 ketulan mampat ganja bernilai RM142,000 disorok di bengkel kenderaan

    35 ketulan mampat ganja bernilai RM142,000 disorok di bengkel kenderaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 35 ketulan mampat ganja ditemukan dalam serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah bengkel dekat Pekan Changlun, Kubang Pasu pada Ahad lalu.

    Pengarah Kastam Negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, kesemua dadah tersebut ditemukan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

    Katanya, nilai keseluruhan kesemua dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM142,000.

    “Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan rapi dijalankan selama dua minggu.

    “Susulan itu, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 50-an ditahan dan direman hinngga 9 Disember depan bagi membantu siasatan manakala kenderaan tersebut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, dadah tersebut disyaki disorokkan dalam kenderaan di bengkel tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.

    “Orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak terlibat dengan kegiatan sedemikian. Penyeludupan tidak hanya merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

    Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam di nombor 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat di semua negeri.

    “Pihak JKDM memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.