Tag: Kuantan

  • Dua beranak maut,enam cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan

    Dua beranak maut,enam cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan

    HASRAT dua beranak untuk pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM28 Jalan Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga, dekat Marang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata kemalangan pada 6.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, maut di lokasi kejadian akibat cedera di kepala manakala anaknya, Syuhada Hafiya, 7, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

    Beliau berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Taman Hidayah dekat sini.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dipandu mangsa (Subhi Sayuti) dari arah Kuala Lumpur memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) SsangYong Rexton dinaiki enam sekeluarga berusia lima hingga 37 tahun.

    “Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Alza berpusing dan impak pelanggaran menyebabkan pemandunya maut manakala pemandu serta semua penumpang SUV SsangYong Rexton mengalami kecederaan dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Zain berkata terdapat sebuah kereta Perodua Kenari yang berada di belakang kereta Perodua Alza, namun pemandunya seorang lelaki berusia 28 tahun sempat mengelak dan kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. – BERNAMA

  • Bekalan telur ayam masih belum stabil

    Bekalan telur ayam masih belum stabil

    BEKALAN telur ayam di Pahang didapati masih belum stabil dan tidak menentu sekali gus merunsingkan orang ramai.

    Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Sungai Lembing, Indera Mahkota, Kota SAS, Balok, Sungai Soi dan Batu 6 di Kuantan, mendapati bekalan telur ayam terutama 30 biji untuk satu papan masih sukar diperoleh.

    Malah kebanyakan pasar raya didapati menjual telur ayam jenis Omega 30 biji satu papan pada harga antara RM17.90 hingga RM20, manakala saiz telur, A, B, C dan D, dijual 10 biji untuk satu bekas.

    Peniaga, Mohd Sukhri Mat Yaki,38, berkata, masalah bekalan telur itu masih berlaku.

    “Pengguna terutama peniaga kecil seperti kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan, malah terpaksa mencari dari kedai ke kedai untuk mendapatkannya,” katanya kepada Harian Metro di Balok dekat sini, hari ini.

    Suri rumah, Siti Noor Hasmah Tahir, 40, berkata, penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak tiga bulan lalu.

    Katanya, ada peniaga kedai runcit hanya menjual 10 biji sahaja kepada setiap pelanggan.

    “Memang susah untuk mendapatkan kuantiti telur 30 biji satu papan di sini,” katanya yang menetap di Sungai Lembing.

    Peniaga kedai runcit Pasar Besar Kuantan, G Padmi, 64, pula berkata, dia memperoleh jumlah bekalan yang semakin berkurangan daripada pembekal.

    “Turun sahaja daripada lori, pembeli sudah tunggu. Dalam tempoh satu atau dua jam, telur sudah habis terjual.

    “Pembekal pula hanya datang dua kali seminggu dan bekalan telur diagihkan berdasarkan permintaan peniaga. Memang tidak mencukupi,” katanya yang sudah berniaga hampir 40 tahun lalu.

  • Mahu kongsi rezeki, 500 kilogram ikan diagih percuma

    Mahu kongsi rezeki, 500 kilogram ikan diagih percuma

    INGIN berkongsi rezeki, sebuah syarikat penapis air mengagihkan 500 kilogram (kg) ikan secara percuma kepada penduduk di sekitar daerah Kuantan, petang semalam.

    Program Amal 1Rumah 1Kg Ikan itu adalah inisiatif syarikat Hijrah Water Sdn Bhd (Hijrah Water) dan diadakan di pekarangan pusat servis kereta DC Inspiring, dekat Batu Tiga, Jalan Kuantan–Gambang, di sini.

    Pengerusi Hijrah Water, Mohamad M Said, berkata program itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat berkenaan.

    “Tahun ini, syarikat memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk melaksanakan program CSR di seluruh negara termasuk mengagihkan barangan keperluan secara percuma kepada orang ramai.

    Dalam pada itu, Pengarah Urusan DC Inspiring, Awaludin Abdullah, berkata kerjasama antara syarikatnya dan Hijrah Water untuk menjayakan program itu adalah bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan melakukan kerja CSR.

    “Saya harap ini adalah permulaan dan selepas ini lebih ramai (usahawan) akan menganjurkan program seumpama ini untuk membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi ketika ini.

    “Kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan program CSR pada masa akan datang,” katanya, lapor BH Online.

  • [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    GELAGAT seekor buaya besar naik ke atas jalan Kampung Seri Damai di Kuantan, Pahang yang dinaiki air hingga mengganggu kenderaan penduduk menggunakan laluan itu berjaya dirakam semalam.

    Video kejadian berdurasi 29 saat itu mula tular hari ini selepas dimuatnaik di media sosial oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan di akaun Facebook beliau.

    Menurut Rafiq, kejadian itu berlaku Isnin lalu di laluan jalan Air Hitam berhampiran Jalan Kuantan-Pekan.

    Katanya, video buaya itu diperoleh daripada salah seorang penduduk yang terserempak dengan reptilia berkenaan pada pukul 9 malam.

    Difahamkan, buaya bersaiz besar itu berasal dari Sungai Belat berhampiran namun ia tidak mengganggu penduduk.

    Jelas beliau, kejadian buaya berada di atas jalan sering berlaku apabila hujan lebat melimpahi jalan kerana di situ memang kawasan habitat buaya.

    Namun ini adalah kali pertama kejadian itu dapat rakam dan tular.

    Video itu setakat ini telah mendapat lebih 3,000 tontonan

    Rafiq menambah, bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif di Simpang Sri Damai bersebelahan Taman Mas.

    Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak bermain air di kawasan tersebut.

  • Pesawat TUDM, IAF terbang rendah di Kuantan

    Pesawat TUDM, IAF terbang rendah di Kuantan

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan eksesais bersama Indian Air Force (IAF) iaitu Eksesais Udara Shakti 2022 (EX US22) selama enam hari bermula semalam melibatkan ruang udara Kuantan dan kawasan sekitar. 

    TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pesawat TUDM dan IAF akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan sepanjang eksesais itu berlangsung. 

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat TUDM dan IAF terbang rendah di sepanjang tempoh eksesais,” menurut kenyataan itu. 

    TUDM selaku tuan rumah eksesais itu juga memaklumkan eksesais dengan konsep Field Training Exercise (FTX) dan Subject Matter Expert Exchange (SMEE) itu memperkukuhkan hubungan profesional antara dua angkatan udara Malaysia dan India. 

    Eksesais itu juga akan meningkatkan kebolehoperasian dalam melaksanakan latihan bersama di peringkat taktikal, membina dan mengukuhkan hubungan ketenteraan dua hala, perkongsian kemahiran serta pengalaman.- BERNAMA 

  • Lelaki ditemukan lemas di Sungai Kuantan

    Lelaki ditemukan lemas di Sungai Kuantan

    SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Padang, di sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Anuar Hassan berkata mayat Azam Zahari Mat Nawi, 42, ditemukan pada kira-kira 8.50 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), lima meter dari lokasi dia dikatakan memancing bersama rakannya.

    Anuar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.11 malam tadi sebelum tujuh anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dibantu unit PPDA Kuantan digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

    “Operasi yang diteruskan hari ini selepas ditangguhkan semalam berjaya menemukan mangsa (Azam Zahari) pada kedalaman tiga meter sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata mangsa menetap di Kampung Padang dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan penduduk kampung itu ditamatkan kira-kira 11 pagi tadi, katanya.