Tag: Kuala Terengganu

  • Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    WARGA emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

    Tertuduh yang berusia 67 tahun dan bekerja sebagai kontraktor membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2 petang hingga 7 malam pada Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan.

    Berita Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala diwakili tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Kemenangan PN realisasi Kuala Terengganu bandaraya berteknologi tinggi

    Kemenangan PN realisasi Kuala Terengganu bandaraya berteknologi tinggi

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, satu undi untuk gabungan politik itu merupakan satu langkah ke arah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Bersih dan Stabil (BEST).

    Menurutnya, usaha ke arah itu telah dilakukan pada penggal lepas dan akan diteruskan lagi apabila mendapat mandat rakyat.

    “Untuk itu pengundi perlu memberi saya sekali lagi peluang bagi meneruskan kerja yang masih berbaki demi kesejahteraan kita bersama.

    “Jangan lupa undi bagi P036 Kuala Terengganu untuk calon PN yang diwakili Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

    Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau berusaha untuk menjadikan Kuala Terengganu sebuah bandaraya yang dinamik, berdaya saing dan berteknologi tinggi.

    Bagaimanapun kata beliau usaha itu hanya akan menjadi kenyataan dengan sokongan padu semua pengundi di Parlimen Kuala Terengganu.

    “Ini adalah agenda utama saya yang jelas memerlukan sokongan daripada anda semua, rakyat Kuala Terengganu. Saya sedia menawarkan khidmat bakti,” ujarnya.

    Sementara itu pada majlis lain isterinya Datin Dr Nur Diana Ahmad Takri turut membantu kempen Ahmad Amzad dengan keluar masuk kampung.

    Semalam beliau menghadiri program penyampaian i-Bantuan OKU, ibu tunggal dan pencen rakyat yang diadakan di Dewan Sivik Pasir Panjang.

    Ahmad Amzad berkata, sistem i-Bantuan merupakan inisiatif kerajaan Terengganu sejak Pas mengambil alih tampuk pemerintahan untuk meringankan beban rakyat.

    Oleh itu katanya orang ramai hendaklah merujuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk mengetahui semua bantuan yang disediakan kerajaan.

    “Langkah itu dirintis kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah penduduk. Semoga Allah angkat semua kesusahan rakyat kita, dan menjadikan negeri kita maju, berkat dan sejahtera,” tambahnya, lapor Harakahdaily.

    i-Bantuan Terengganu diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu golongan OKU, ibu tunggal serta warga emas melalui Bantuan Ibu Tunggal, Bantuan OKU dan Pencen Rakyat bagi meringankan bebanan penduduk miskin.

  • Jangan sebar maklumat peribadi wanita bersama makcik OKU

    Jangan sebar maklumat peribadi wanita bersama makcik OKU

    SEORANG wanita yang video mengenainya tular selepas dilihat bersama warga emas orang kurang upaya (OKU) menaiki motosikal roda tiga dalam cuaca panas terik di Kuala Terengganu, memohon agar semua pihak menghentikan penyebaran maklumat peribadinya.

    Wanita berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Hijrah Soleh itu, berkata dia berasa tidak selesa apabila terlalu ramai menghubunginya untuk menzahirkan simpati dan mahu memberi pelbagai bantuan selepas video serta butiran peribadinya tular di media sosial sejak Sabtu lepas.

    “Alhamdulillah, rakyat Malaysia memang sangat prihatin dan ia terbukti apabila saya ‘dihujani’ terlalu banyak panggilan serta mesej yang mahu menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.

    “Namun, dengan rendah hati saya ingin tegaskan bahawa hasil jualan saya masih mampu menampung perbelanjaan dan keperluan hidup setakat ini. Saya lebih gembira jika bantuan tersebut diberikan kepada golongan lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Video tersebut dirakam di Jambatan Angkat di sini, tanpa pengetahuannya dan tersebar di media sosial menyebabkan warganet tersentuh hati menyaksikan warga emas OKU tersebut yang terpaksa berbaring di bahagian tempat meletak barangan motosikal roda tiga tersebut.

    Hijrah Soleh berkata, pelbagai kenyataan tidak tepat dibuat oleh warganet di bahagian komen media sosial tersebut, seperti warga emas OKU itu adalah ibunya yang baru pulang mendapatkan rawatan di hospital, menyebabkan lebih ramai bersimpati dan mahu menghulur bantuan.

    Wanita tersebut menjelaskan bahawa warga emas OKU itu bukanlah ibu kandungnya sebaliknya ibu saudara yang tinggal bersamanya untuk sementara waktu.

    “Saya sangat hargai keprihatinan semua pihak, namun cukuplah sekadar itu, jangan kongsikan lagi maklumat saya seperti nombor telefon dan alamat. Jika mahu membantu, saya lebih suka ia dilakukan dengan cara menyokong perniagaan saya,” katanya yang menjual aiskrim potong dan produk kesihatan di sekitar bandar ini. – BERNAMA