Tag: kuala selangor

  • Rasuah: SPRM buat siasatan forensik terhadap akaun UiTM Holdings

    Rasuah: SPRM buat siasatan forensik terhadap akaun UiTM Holdings

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membuat siasatan forensik terhadap akaun Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings bagi mengesan kesalahan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa membabitkan dakwaan kerugian dialami universiti itu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya mendapat kerjasama baik daripada UiTM dan telah menerima dokumen berkaitan.

    “Setakat ini kita dapat dokumen-dokumen yang diperlukan, jadi pihak siasatan (pegawai penyiasat) perlu kaji atau membuat siasatan forensik akaun terhadap akaun UiTM sebab perkara itu sudah berlaku. 

    “Kita perlu melihat bagaimana ia (kerugian) berlaku. Mungkin kehilangan disebabkan projek-projek tertentu, campur-campur, ia (kerugian) menjadi makin tinggi (nilainya),” katanya selepas majlis perasmian cawangan baharu SPRM di sini hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan UiTM melalui sayap pelaburannya mengalami kerugian terkumpul sebelum cukai sehingga RM157.04 juta selama empat tahun berturut-turut dan RM157.8 juta dalam tempoh 10 tahun.

    Azam berkata siasatan dilakukan terhadap universiti itu sejak dua tahun lepas adalah berdasarkan aduan diterima pihaknya dan sedang mengesan jika berlaku sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM.

    “Kadang-kadang apabila berlaku ketidakpatuhan dalam sesuatu badan, contohnya perolehan dan sebagainya… yang penting pegawai menyiasat (SPRM), mereka hendak melihat ada atau tidak elemen salah guna kuasa atau rasuah di situ,” katanya.

    Mengulas mengenai cawangan baharu SPRM di sini, beliau berkata usaha itu bagi memperluaskan perkhidmatan pihaknya sekali gus memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan suruhanjaya tersebut.

    “Perpindahan pengoperasian SPRM cawangan Klang ke sini adalah menjadi keperluan memandangkan pembangunan pesat di daerah Kuala Selangor selain kedudukan strategik yang berada di jajaran Pantai Barat Negeri Selangor,” katanya.

    Pejabat tersebut terletak di Plaza Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sini berkeluasan 6,170 kaki persegi dilengkapi dengan bilik mesyuarat, bilik kebal, bilik temu bual bervideo (VIR), bilik merakam kenyataan dan sebagainya selain menempatkan 16 warga kerja.

    Orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi SPRM cawangan Kuala Selangor di talian 03-32814855 atau 03-32814865 dan faks 03-32814830. – BERNAMA

  • Padah serang pemandu ambulans, tiga lelaki ditahan

    Padah serang pemandu ambulans, tiga lelaki ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki selepas dipercayai menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita di sebuah pasar raya, di Kuala Selangor, semalam.

    Tiga lelaki dipercayai menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita di sebuah pasar raya, di Kuala Selangor, semalam

    Ketiga-tiga suspek berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan di sekitar Kuala Selangor pada pukul 11 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Ramli Kasa, penahanan dibuat susulan laporan dibuat seorang Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.

    Katanya, pada pukul 8.40 semalam, pengadu menerima panggilan berhubung seorang wanita yang cedera di sebuah pasar raya.

    “Pada pukul 9 malam, pengadu tiba di lokasi dan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke ambulans, didapati ada pihak yang menyerang pemandu ambulans,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

    “Punca kecederaan wanita dan punca kejadian masih dalam siasatan. Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 32 saat memaparkan petugas kesihatan yang dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera.