Tag: KTMB

  • Kereta api tak berhenti di Kuala Gris, KTMB gantung tugas kakitangan

    Kereta api tak berhenti di Kuala Gris, KTMB gantung tugas kakitangan

    KERETAPI Tanah Melayu (KTMB) Berhad menggantung tugas kakitangan yang terlibat dalam kejadian tren Shuttle Timuran No 51 tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai pagi tadi.

    KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya berlaku kecuaian oleh kakitangan terbabit dalam insiden itu.

    “KTMB mengesahkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada pukul 4.05 pagi tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada 7.08 pagi.

    “KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian lebih-lebih lagi melibatkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini,” menurut kenyataan itu.

    Justeru, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terlibat dan kesal dengan kejadian yang berlaku.

    “Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

    Terdahulu, media melaporkan kira-kira 100 pelajar SMK Dabong tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan apabila tren yang menjadi pengangkutan mereka untuk ke sekolah itu tidak berhenti di stesen terbabit. – BERNAMA

  • KTMB penuhi hasrat remaja terlantar naik kereta api

    KTMB penuhi hasrat remaja terlantar naik kereta api

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Setiap kali melihat kereta api melalui landasan di depan rumahnya, hati seorang remaja perempuan, Aziana Shaari, 17, sentiasa bergejolak untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam pengangkutan awam itu sambil menikmati keindahan di sepanjang perjalanannya.

    Namun keterbatasan yang ada pada dirinya menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendam sejak sekian lama. Sementelah dirinya hanya mampu terlantar di katil akibat tulang belakang yang hancur kerana dihempap dinding konkrit ketika berusia sembilan tahun, ibu Aziana sendiri, Fatimah Hashim, 49 merasakan seolah-olah impian tersebut hampir mustahil untuk dilaksanakan.

    Namun hari ini impian tersebut akhirnya tercapai apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif menyediakan sebuah tren khas bagi menunaikan hasrat remaja tersebut untuk menikmati perjalanan dari Stesen Sungai Petani ke Butterworth sebelum berpatah balik ke Sungai Petani.

    Menurut Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir, inisiatif tersebut dibuat sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam memenuhi impian remaja berkenaan.

    “Sebelum ini kami memang memikirkan untuk membawa Aziana menaiki kereta api menggunakan kerusi roda namun apabila pertimbangan dibuat, langkah itu dilihat agak menyukarkan buat Aziana,” katanya.

    “Justeru pihak pengurusan bersetuju menyediakan tren khas agar Aziana dapat menaikinya bersekali dengan katil yang boleh ditolak,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas turut serta mengiringi perjalanan Aziana bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB, Mohd. Rani Hisham Shamsuddin, hari ini.

    Selain menunaikan hasrat remaja itu, KTMB turut menyampaikan sumbangan berupa pek susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan remaja itu.

    Layanan diterima Aziana nyata cukup istimewa apabila tren tersebut turut berenti sebentar di lokasi kediamannya di Bakar Bata, di mana kalangan penduduk kampung turut berdiri berhampiran landasan bagi melambai kepadanya.

    Sementara itu, Aziana ketika ditemui pemberita nyata tidak mampu banyak bercakap bagi menyatakan perasaannya diberi peluang merasai pengalaman istimewa tersebut selain mengungkapkan rasa seronok.

    Manakala Fatimah yang merupakan seorang ibu tunggal pula tidak henti-henti menyatakan rasa terima kasih kepada KTMB serta semua pihak yang terlibat untuk menunaikan impian anak bongsunya itu.

    “Impian Aziana untuk menaiki kereta api ini sudah dinyatakan sejak dia mula-mula sakit lagi. Namun melihat kepada keadaannya, memang susah untuk saya tunaikan hasratnya.

    “Apa yang boleh saya lakukan hanya menolaknya ke bawah pokok di depan rumah dan menanti kereta api lalu untuk dia melihat kenderaan awam itu. Namun hari ini saya amat gembira kerana impiannya menjadi kenyataan,” katanya.

    Selain tulang belakang yang hancur, kemalangan melibatkan dinding konkrit itu turut menyebabkan buah pinggang Aziana rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai rasa dari paras pinggang hingga kaki.

    Fatimah boleh dihubungi di talian 014-3148891 atau bagi yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0230-0290-0058-8382 (Fatimah Hashim).

  • Sajat lolos guna gerabak keretapi: KTMB jalankan siasatan dalaman

    Sajat lolos guna gerabak keretapi: KTMB jalankan siasatan dalaman

    KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menjalankan siasatan dalaman mengenai tindakan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang dikatakan meloloskan diri ke Thailand menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar, Perlis.

    KTMB dalam reaksinya terhadap laporan muka hadapan sebuah akhbar hari ini berkata, fasiliti dan terminal kargo KTMB dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Menurutnya, kontena kargo yang dibawa ke Thailand pula adalah milik syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.

    “KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena berkenaan sama ada kontena kosong atau bermuatan,” katanya dalam satu kenyataan itu, hari ini.

    KTMB memberitahu, setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang diteliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara sempadan.

    Ujarnya, proses itu membabitkan pemeriksaan dokumentasi dan fizikal ke atas gerabak serta barangan.

    “KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara itu,” katanya lagi.

    Harian Metro hari ini melaporkan, misteri ‘kehilangan’ usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

    Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

    Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

    Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan, bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

    Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar Perlis, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

    Nur Sajat kemudian dibawa lelaki kedua itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya itu sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.