Tag: KSN

  • Menteri Kabinet masih berfungsi seperti biasa dalam kerajaan sementara – KSN

    Menteri Kabinet masih berfungsi seperti biasa dalam kerajaan sementara – KSN

    KABINET yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan hari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Bagaimanapun, beliau berkata Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

    “Menteri dan timbalan menteri berfungsi seperti biasa dalam kerajaan ‘caretaker’ cuma tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar dan polisi baharu,” katanya ketika diminta memberi pandangan mengenai fungsi Kabinet ekoran pembubaran Parlimen.

    Mohd Zuki berkata Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

    Beliau berkata keadaan ketika ini berbeza dengan pentadbiran terdahulu apabila Perdana Menteri meletak dan melepaskan jawatan pada 2020 dan 2021.

    Mohd Zuki berkata ketika itu apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Kabinet mereka secara serta-merta terbubar.

    Namun, katanya dalam keadaan sekarang, hanya Parlimen sahaja yang dibubarkan.

    “Jemaah Menteri masih lagi boleh bermesyuarat terutama apabila berlaku bencana dan sebagainya,” katanya.

    Perdana Menteri petang tadi dalam perutusan khasnya mengumumkan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).- BERNAMA

  • Kontrak KSN disambung dua tahun lagi

    Kontrak KSN disambung dua tahun lagi

    TAN Sri Mohd Zuki Ali dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 11 Ogos hingga 10 Ogos 2024, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan hari ini.

    Pelantikan semula Mohd Zuki sebagai KSN diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perakuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

    “Pelantikan semula Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan,” menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

    Mohd Zuki, 60, dilantik sebagai KSN sejak 31 Dis 2019 dan merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

    Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

    Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.- BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

    Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini.

    Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

    Menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik dalam Facebook hari ini, Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

    “Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” demikianmenurut kenyataan Istana Negara tersebut.

    Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

    Dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati.

    Allahyarham juga adalah pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.