Tag: kru filem

  • 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung diselamatkan

    30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung diselamatkan

    SEBANYAK 30 kru penggambaran yang dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung di Gopeng berjaya diselamatkan dan dibawa keluar petang ini.

    Bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.10 petang yang memaklumkan ada orang awam terperangkap di belakang Gua Tempurung berikutan peningkatan paras air.

    Menurutnya, keseluruhan kru berkenaan berjumlah 80 orang dan 30 yang terperangkap adalah warga tempatan serta Singapura.

    “Pihak Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu dan operasi menyelamat dijalankan bersama,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut Mohd Yusri berkata, beliau bersama sepasukan anggota Task Force dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu melawat tempat kejadian di kawasan belakang Gua Tempurung.

    Katanya, siasatan awal mendapati insiden bermula susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang.

    “Semua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter.

    “Mangsa terbabit adalah kru penggambaran filem ‘Bursting Point’ membabitkan syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura yang menjalankan penggambaran,” katanya.

    Kejadian itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap operasi menyelamat berjalan lancar dan dipermudahkan.

  • Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    SEKURANG-kurangnya 30 individu dilaporkan terperangkap dalam Gua Tempurung dekat Kampung Gunung Mesah dekat Gopeng selepas laluan keluar gua itu dinaiki air disebabkan hujan lebat, hari ini.

    Maklumat awal memaklumkan, kesemua mereka merupakan kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan itu.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan air naik mendadak di laluan keluar gua berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 3 petang.

    “Pihak bomba telah dimaklumkan akan kejadian itu dan pasukan itu bersama polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng pada pukul 4.04 petang.

    BERITA LANJUT MENYUSUL