Tag: krisis politik

  • Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN hilang kepercayaan terhadap KM

    Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN hilang kepercayaan terhadap KM

    KERAJAAN negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

    “Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan kami hilang kepercayaan kepaa kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan kerajaan negeri Melaka hari ini.

    “Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan hari ini, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini untuk ditubuhkan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dengan penarikan sokongan empat ADUN terbabit, Sulaiman hanya mempunyai sokongan daripada baki 13 ADUN yang lain di Melaka, manakala Pakatan Harapan (PH) di negeri itu menguasai 11 kerusi;

    Secara keseluruhan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi sekali gus menjadikan Sulaiman tidak lagi beroleh majoriti mudah untuk terus mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

  • Krisis politik Melaka: Anwar nafi mohon menghadap Tun Ali

    Krisis politik Melaka: Anwar nafi mohon menghadap Tun Ali

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau memohon untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, berhubung spekulasi yang mendakwa kerajaan Melaka bakal tumbang.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau juga tidak menerima sebarang maklumat terperinci mengenai situasi sebenar yang berlaku di negeri itu, termasuk ada gerakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dikatakan tidak menyokong kerajaan negeri ketika ini.

    “Ada laporan media yang menyatakan saya akan menghadap TYT (Tuan Yang Terutama), tetapi saya tidak…belum ada permohonan untuk saya menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka.

    “Orang ramai memaklumkan tetapi tiada yang konkrit (kukuh), saya hanya mengetahui melalui laporan, setahu saya tiada konkrit,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke pantai Teluk Kemang di sini, hari ini.

    Sejak semalam, spekulasi mengenai kepimpinan kerajaan Melaka yang diterajui UMNO didakwa bakal tumbang bertiup kencang, susulan empat ADUN kerajaan dikatakan melompat ke Pakatan Harapan (PH). – BERNAMA

  • Siapa cukup SD boleh jumpa pucuk pimpinan

    Siapa cukup SD boleh jumpa pucuk pimpinan

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta pihak yang didakwa memiliki bilangan akuan bersumpah (SD) yang boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu untuk berjumpa dengan pucuk pimpinan.

    Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu menyifatkan kemelut yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini sebagai perkara biasa dalam dunia politik.

    Malah ujar beliau, desas-desus itu langsung tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri yang masih memiliki 17 kerusi antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bebas.

    “Siapa hendak jadi ketua menteri datanglah, boleh jumpa pihak kepimpinan, itu sahaja. Kalau SD sudah cukup 20 ke sekalipun, silakan.

    “Saya lebih fikir masalah rakyat, saya tidak mahu bercakap soal politik kerana rakyat akan menilai dan menghukum kita apabila tiba masanya. Sampai masa nanti kita berperanglah dalam Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Kemelut politik di Melaka kembali diperkatakan selepas sekurang-kurangnya empat ADUN dikaitkan akan menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan UMNO termasuk dua daripadanya wakil rakyat parti itu sendiri.

    Empat pemimpin yang disebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

    Bagaimanapun, Norhizam yang sebelum ini Timbalan Pengerusi DAP Melaka menafikan laporan berkenaan.

    Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri masih memimpin dan menguruskan Melaka seperti biasa.

    “Ini adalah perkara biasa dalam dunia politik ataupun kancah politik. Tetapi apapun selagi saya terus diberi mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan Melaka ini, saya akan berjalan seperti biasa, dan apabila diminta turun, saya akan turun lah.

    “Sama ada usaha untuk menggugat perjalanan kerajaan negeri itu terarah kepada kebaikan atau untuk kepentingan, saya tidak peduli. Dalam dunia politik itu normal,” katanya.

  • Rafiq nafi terlibat krisis politik Melaka, sokong Sulaiman

    Rafiq nafi terlibat krisis politik Melaka, sokong Sulaiman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menafikan beliau terlibat dengan pergolakan politik di Melaka.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk menyokong Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    “Saya ada terbaca berita-berita di media arus perdana dan media sosial tentang desas-desus pergolakan politik yang berlaku di Negeri Melaka ketika ini.

    “Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Melaka ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Spekulasi politik negeri Melaka kembali bertiup selepas terdapat dakwaan sekurang-kurangnya empat ADUN di negeri itu bakal menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan UMNO.

    Meskipun nama Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak dikaitkan kali ini, namun beliau pemimpin kedua yang tampil menafikan perkara itu selepas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Dua daripada pemimpin UMNO turut dikatakan terlibat dalam gerakan itu, namun tiada pengesahan mana-mana pihak dibuat setakat ini.

    Justeru, Mohd. Rafiq berpendapat, segala fokus ketika ini harus tertumpu kepada usaha pemulihan negara dan Melaka terutama bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Saya berharap, segala kemelut politik yang dicetuskan dapat dihentikan dengan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Melaka,” tegasnya.