Tag: KPWKM

  • Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengarahkan sebuah taska tutup sementara selepas tular dakwaan seorang ibu mengatakan anaknya berusia setahun dianiaya.

    Menerusi satu kenyataan KPWKM berkata, hasil siasatan pada 29 Mac lalu mendapati pusat yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Taska 1984.

    “Pengusaha diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan segera dan dalam proses penutupan sementara untuk tujuan menyediakan persekitaran selamat serta meningkatkan kualiti pengasuhan.

    “Dalam isu keselamatan kanak-kanak, kita melalui JKM merujuk Akta Kanak-kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Beberapa hari lalu, seorang wanita menggunakan akaun Facebook El Ameerah berkata, dia dimaklumkan guru bahawa anaknya digigit seorang kanak-kanak sehingga cedera di bahagian telinga, pipi dan tangan.

    Lebih mengejutkan, katanya, dia diberitahu anaknya bersama kanak-kanak lain berusia satu hingga dua tahun ditempatkan dalam bilik “isolasi” ketika bayi lebih kecil sedang tidur.

    Namun, pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anaknya diletakkan dalam bilik kosong tanpa alas itu sejak pagi bersama empat kanak-kanak lain.

    Tanpa mendedahkan nama taska itu, wanita terbabit berikrar akan berjuang membela anaknya dengan mengambil tindakan undang-undang.

    KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM bekerjasama dengan polis bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya dalam kes terbabit.

  • KPWKM sasar kaunselor berdaftar kepada nisbah 1:500

    KPWKM sasar kaunselor berdaftar kepada nisbah 1:500

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan sasaran untuk mencapai nisbah seorang kaunselor berdaftar bagi 500 penduduk, kata Menterinya Datuk Seri Rina Harun.

    Menurut beliau, dalam beberapa tahun ini keperluan kepada perkhidmatan kaunseling begitu mendesak.

    “Dalam tempoh dua tahun negara menghadapi pandemik COVID-19 ini dan kemudiannya pasca COVID-19, kita lihat banyak isu dan kes yang melalui perkhidmatan kaunseling dapat menyelamatkan nyawa seseorang,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan di sini hari ini.

    Beliau berkata setakat 31 Ogos lepas, jumlah kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor ialah seramai 10,136 orang atau seorang kaunselor berdaftar bagi 3,327 penduduk.

    “Kita tidak meletakkan sasaran berapa tempoh atau tahun untuk kita mencapai nisbah satu kaunselor bagi 500 penduduk, kerana kita sedar setiap tahun jumlah penduduk bertambah, namun kita percaya ia boleh dicapai,” katanya.

    Rina berkata antara inisiatif yang akan dilaksanakan KPWKM ialah menambah baik proses pendaftaran kaunselor melalui penerimaan permohonan dan melaksanakan sesi pengesahan kelayakan kaunselor secara dalam talian.

     “Selain daftar melalui dalam talian, kita juga akan turun padang untuk mudahkan kaunselor ini buat pendaftaran menerusi program yang kita anjurkan.

    “Kita dapati ada antara mereka ini yang bila dah habis belajar, tak semuanya jadi kaunselor berdaftar kerana mungkin mereka kerja di bahagian yang tak melibatkan kaunseling jadi sebab itu dia tak daftar sebagai kaunselor,” katanya.

    Menurut Rina, kira-kira 60 peratus daripada jumlah kaunselor yang berdaftar berada dalam perkhidmatan awam, perguruan dan akademik seperti di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. – BERNAMA

  • KPWKM sasar sejuta ahli Skuad WAJA hujung tahun ini – Rina

    KPWKM sasar sejuta ahli Skuad WAJA hujung tahun ini – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta ahli Keluarga Malaysia menyertai Skuad WAJA atau wanita antijenayah menjelang hujung tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Semarak Skuad WAJA Kebangsaan 2022 di sini hari ini, Rina berkata skuad itu kini disertai 326,500 orang melibatkan penyertaan 252,139 golongan wanita dan 74,361 lelaki.

    “Dengan sasaran ini, sekali gus kita (KPWKM) mahu hapuskan semua bentuk penderaan, keganasan atau penindasan terhadap kaum wanita. Wanita perlu disayangi dan dilindungi bukannya disakiti.

    “Walaupun pada awalnya Skuad WAJA kita buka penyertaan kepada golongan wanita, tapi kerana ada permintaan dari golongan lelaki, maka kita buka penyertaan (kepada golongan lelaki) dan sehingga kini ada lebih 15 peratus penyertaan golongan lelaki dalam Skuad WAJA. Alhamdulillah dalam tempoh setahun ini, penyertaan amat memberangsangkan,” katanya.

    Skuad WAJA merupakan skuad sukarelawan di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang dilancarkan pada Oktober 2021, berperanan sebagai ejen serta mata dan telinga kerajaan dalam komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah. Skuad itu juga berperanan menyediakan bantuan awal kepada mangsa yang berhadapan dengan situasi keganasan atau penindasan.

    Pada majlis sama, Rina turut melancarkan Modul Skuad WAJA 2.0: Inspirasi Sukarelawan yang ditambah baik dari modul yang diguna pakai sebelum ini dengan penambahan aspek psikospiritual.

    Katanya, modul tersebut telah dibangunkan JPW dengan kerjasama ahli akademik, pakar perubatan dan psikiatri dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.

    “Pembentukan modul baharu ini bertujuan mempersiapkan ahli Skuad WAJA dalam mengatasi masalah berkaitan kecemasan dan bencana khususnya sewaktu menyantuni komuniti yang memerlukan pendekatan spiritual atau agama. Ia menumpukan kepada terapi pendekatan kerohanian untuk menangani tekanan, membina ketahanan diri serta sihat mental dan emosi,” katanya.

    Berkongsi jumlah individu yang telah disantuni Skuad WAJA, Rina berkata sehingga 31 Ogos lepas seramai 72,694 individu telah mendapat manfaat melalui program psikososial 4K (keseimbangan, kemahiran, kewangan dan kepimpinan) yang dianjurkan skuad terbabit.

    Beliau menyifatkan jumlah itu sebagai suatu pencapaian membanggakan bagi skuad yang baharu setahun ditubuhkan dengan memberi impak positif kepada golongan memerlukan selain meningkatkan semangat kepimpinan dalam komuniti.

    Dalam perkembangan lain, Rina berkata Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang diluluskan di Parlimen pada 20 Julai lepas akan diwartakan tidak lama lagi.

    RUU AGS 2021 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan Tribunal bagi anti gangguan seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.- BERNAMA

  • Tiada kajian mengenai cuti haid pada masa ini – KPWKM

    Tiada kajian mengenai cuti haid pada masa ini – KPWKM

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak pernah dan tidak akan membuat kajian mengenai cuti haid buat masa ini.

    KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebaliknya kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan pengurusan haid dalam kalangan remaja perempuan bagi menambah baik pelaksanaan program Pendidikan SERI (Social Empowerment of Reproductive Health Initiatives).

    Kenyataan itu susulan beberapa laporan media mengenai jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff kepada soalan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berhubung cuti haid dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu. – BERNAMA