Tag: KPT

  • Pelepasan 5 hari penuntut IPT pulang mengundi

    Pelepasan 5 hari penuntut IPT pulang mengundi

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju supaya semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari kepada semua pelajarnya untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Husaini Omar berkata, pelepasan itu diberikan kepada penuntut bermula 17 hingga 21 November ini.

    “Berlandaskan kepada semangat serta penguatkuasaan Undi18, pihak KPT bersetuju supaya semua IPT memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi.

    “Tarikh pelepasan adalah dari 17 hingga 21 November 2022 bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke atau dari lokasi mengundi.

    “Semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh berkenaan hendaklah ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain,” katanya dalam surat edaran bertarikh 21 Oktober lalu, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Prof Husaini ketika dihubungi mengesahkan edaran surat berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

    Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

    Berkuat kuasa 15 Disember lalu, Undi18 sudah diwartakan dan individu yang berusia 18 tahun akan didaftarkan secara automatik sebagai daftar pemilih.

    Berdasarkan data, 1.14 juta pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU-15.

  • KPT rancang tubuh universiti khas untuk wanita

    KPT rancang tubuh universiti khas untuk wanita

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) merancang untuk menubuhkan sebuah universiti khas untuk wanita, yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam hab pendidikan tinggi antarabangsa.

    Menterinya Datuk Seri Noraini Ahmad berkata ketika ini bilangan mahasiswi di institut pendidikan tinggi awam ialah lebih 350,000 iaitu 61 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar, manakala lebih 530,000 iaitu 53 peratus pelajar wanita memasuki institut pengajian tinggi swasta.

    “Malaysia kini mempunyai 131,000 pelajar antarabangsa dan kami menyasarkan 250,000 orang kemasukan pelajar antarabangsa menjelang 2025. Peningkatan ini termasuk penambahan besar badan pelajar yang terdiri daripada wanita.

    “KPT menyambut baik sebarang cadangan untuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang akan memberi faedah bersama,” katanya semasa berucap dalam satu sesi membina jaringan hubungan di sini hari ini. 

    Noraini berkata hanya terdapat satu universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 teratas QS World University Rankings (WUR) 2023 dan empat daripada lima universiti penyelidikan tempatan tersenarai dalam kedudukan 200 teratas carta tersebut.

    “Secara keseluruhannya, 24 universiti kita telah menunjukkan peningkatan ranking, menjadikan tahun ini antara yang paling berjaya dalam pendidikan tinggi berdasarkan ranking. Jika kita menubuhkan universiti untuk wanita, saya percaya kami boleh membantu universiti itu untuk turut berjaya dalam QS WUR,” katanya.

    Noraini berkata KPT komited dalam memperkukuh kerjasama dan mengurangkan halangan dalam perkhidmatan pendidikan bersama rakan antabangsanya.

    “Kami percaya pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan meningkatkan persaingan sekali gus menambah baik kualiti dalam kalangan lulusan universiti.

    “Kami juga menyasarkan sistem pendidikan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dan masyarakat,” katanya dan menambah selari dengan objektif itu, institut pendidikan tinggi telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA).

    Beliau berkata tahun ini, beliau berpeluang untuk menyaksikan pemeteraian 12 MoU dan satu MoA di India, Qatar, United Kingdom, Romania, Turkiye, dan Kanada. 

    “Kerjasama ini diadakan bagi memudahkan kolaborasi penyelidikan dan aktiviti inovasi, program mobiliti pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar bersama dan banyak lagi,” katanya.

    Noraini berkata usaha lain yang dijalankan kementerian itu ialah penubuhan program luar negeri oleh universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia yang melaksanakan program itu di Turkiye dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal memulakan programnya di Qatar bulan depan.

    “UKM akan turut membuka kampus cawangannya di Doha pada 2025, menjadikan ia universiti awam pertama yang mempunyai kampus fizikal di luar negara.

    “Selain itu, perbincangan sedang dijalankan mengenai penubuhan Kerusi Pengajian Melayu di Jawaharlal Nehru University di India dan di Pusat Pengajian Orang Timur dan Afrika di University of London,” katanya. – BERNAMA

  • Keputusan permohonan lulusan STPM ke UA diketahui hari ini

    Keputusan permohonan lulusan STPM ke UA diketahui hari ini

    KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) sesi 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setarafnya diumumkan secara dalam talian mulai 12 tengah hari ini hingga 25 Sept ini, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

    KPT memaklumkan semakan status permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://jpt.utm.myhttp://jpt.uum.edu.myhttps://jpt.unimas.myhttp://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.

    Menurut kenyataan KPT itu, setiap pemohon yang berjaya boleh mencetak pengesahan setuju terima dan tawaran serta surat tawaran mulai esok hingga 25 Sept.

    “Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA kepada pemohon yang berjaya mulai esok setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan,” menurut kenyataan KPT tersebut.

    Bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline Rayuan di http://upu.moe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai hari ini hingga sehingga 25 Sept.

    “Tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad.

    “Sebarang permohonan pertukaran program serta universiti adalah tidak dibenarkan, manakala dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi BKPA JPT di talian 03-8870 8200 atau e-mel kepada [email protected] atau melayari media sosial Facebook (KEMASUKAN BPKP JPT), Instagram (@KEMASUKANBkpa), sistem maklum balas https://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas/ serta UPUChat http://upu-chat.ml/UPUChat/UPU_DaftarMasuk.- BERNAMA