Tag: KPLB

  • KPLB capai sasaran laksana sebahagian besar projek dirancang – Mahdzir

    KPLB capai sasaran laksana sebahagian besar projek dirancang – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai sasaran melaksanakan sebahagian besar projek pembangunan yang dirancang tahun ini.

    Namun pada masa yang sama Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan anggota pentadbiran dan kakitangan KPLB terus bekerja keras melaksanakan tugasan yang masih ada.

    “Saya berdoa semoga kita semua diberi kekuatan bagi melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

    “Saya percaya banyak pencapaian program dan projek KPLB yang telah mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga kini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulan Ogos KPLB di Ibu Pejabat kementerian itu di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan pengurusan tertinggi serta warga kerja pelbagai peringkat KPLB.

    Mahdzir dalam pada itu menegaskan, mana-mana program dan projek KPLB yang masih belum mencapai garis masa yang ditetapkan, langkah mengatasinya perlu dilakukan segera.

    “Saya percaya bahawa, setiap apa yang kita lakukan adalah bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan negara amnya,” katanya.
     
    Dalam ucapan itu juga, Mahdzir turut mengingatkan warga kerja KPLB untuk lebih berhati-hati dengan sebaran berita palsu di media sosial yang boleh memecah-belahkan rakyat.

    “Sehingga ke hari ini masih wujud unsur-unsur negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini yang boleh menggugat ketenteraman dan kesepakatan antara kita, terutamanya dalam era media sosial yang tiada sempadan dan terdedah kepada anasir jahat dan berita palsu.
     
    “Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, maka kita wajar menolak fahaman sempit yang boleh memecah belahkan masyarakat, dan tetap berpegang kepada prinsip bertolak-ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” tambah beliau.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

  • Kes buli di MRSM: KPLB serah polis siasat

    Kes buli di MRSM: KPLB serah polis siasat

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya kepada polis menyiasat kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku termasuk kes buli.

    Katanya, beliau akan meneliti laporan lengkap berkenaan siasatan kes itu dan apabila siap kelak akan diserahkan kepada pihak polis dan setakat ini enggan memberi sebarang komen

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar yang terbabit boleh dibuang sekolah.

    “Sebagai contoh, insiden yang berlaku di MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pelajar yang disahkan terbabit buli oleh lembaga disiplin dibuang sekolah,” katanya

    Sebelum itu, tular di Facebook berhubung kes seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di sebuah MRSM di Kuantan, Pahang sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.

    Wanita terbabit mendakwa beliau sudah membuat laporan polis berhubung kes itu.

    Berdasarkan kes yang tular, wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.

  • Kerjasama KPLB dan K-KOMM tingkat capaian internet Tabika Kemas

    Kerjasama KPLB dan K-KOMM tingkat capaian internet Tabika Kemas

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap dapat menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi meningkatkan digitalisasi dan capaian Internet di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun perkara itu di bawah bidang kuasa K-KOMM, kolaborasi antara kedua-dua kementerian akan lebih efektif dalam usaha meningkatkan keupayaan Internet di Tabika Kemas.

    Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di kawasan pedalaman sebagai usaha memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak di negara ini.

    “Dengan inisiatif ini, proses memahami dunia digital akan menjadi lebih mudah kerana kanak-kanak diberi pendedahan awal,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama kakitangan Kemas Pulau Pinang hari ini.

    Mahdzir berkata tahun ini KPLB menyasarkan untuk menyediakan kemudahan Internet dan komputer di 700 Tabika Kemas seluruh negara.

    Katanya transformasi ke arah digital itu akhirnya akan meliputi semua 11,000 Tabika Kemas seluruh negara. – BERNAMA

  • 80,884 Orang Asli terima suntikan vaksin Covid-19

    80,884 Orang Asli terima suntikan vaksin Covid-19

    SEBANYAK 56.1 peratus atau 80,884 daripada 144,180 Orang Asli yang layak divaksinasi di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

    Beliau berkata jumlah kumulatif pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara sehingga semalam adalah 128,548 dos, merangkumi mereka yang menerima satu dos, lengkap dua dos dan dos tunggal vaksin jenis CanSino.

    Menurutnya, tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor mencatatkan kadar terendah vaksinasi bagi golongan tersebut, dengan jumlah yang belum menerima vaksin di ketiga-tiga negeri itu dianggarkan 16,127 orang.

    “Bagi negeri-negeri yang rendah ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan vaksin CanSino iaitu satu dos bagi tujuan mempercepatkan kadar vaksinasi memandangkan lokaliti masyarakat Orang Asli terletak di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Abdul Rahman berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) sentiasa bekerjasama dengan KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan golongan itu divaksinasi segera.

    “Keutamaan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli menerusi Program Jangkauan Luar (outreach) menjadi komitmen KPLB dan JAKOA memandangkan masyarakat ini tinggal di pedalaman serta mempunyai kesukaran dari segi perhubungan dan akses logistik untuk ke pusat vaksinasi yang disediakan kerajaan di bandar atau pekan terdekat,” katanya.

    Abdul Rahman berkata penggunaan secara optimum aset-aset kerajaan seperti helikopter dan bot ke kawasan pedalaman diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi masyarakat tersebut. – BERNAMA