Tag: KPDNHEP

  • KPDNHEP patahkan cubaan seludup 17,000 kg minyak masak

    KPDNHEP patahkan cubaan seludup 17,000 kg minyak masak

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup keluar 17,000 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran selepas menahan sebuah lori di sebuah stor di Kampung Belukar, Pasir Mas, dekat sini, semalam.

    Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata rampasan dilakukan pihaknya bersama Pasukan Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am menerusi serbuan yang dilakukan pada 12.30 tengah hari.

    Beliau berkata operasi itu dilaksanakan hasil daripada maklumat risikan daripada Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya ke atas sebuah premis pemborong dan pembungkus minyak masak di Melaka.

    “Pasukan telah mengenal pasti sebuah lori yang mencurigakan dan disyaki digunakan oleh sindiket untuk mengangkut minyak masak bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi. Hasil maklumat mendapati lori berkenaan digunakan untuk mengangkut minyak masak ke Kelantan.

    “Pemeriksaan oleh pasukan serbuan telah menemukan 17,000 kg minyak masak paket bersubsidi satu kilogram berada di dalam lori dan sejumlahnya telah dipindahkan ke dalam stor tersebut. Hasil siasatan awal, stor tersebut disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan dan transit sebelum pihak sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

    Shamsul Nizam berkata modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembekal di Melaka dan sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lesen daripada syarikat lain.

    “Berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak ini sepatutnya dihantar ke sebuah pemborong di Melaka namun didapati ia telah diseleweng dan dibawa masuk ke Kelantan dan dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya.

    Beliau berkata selain rampasan minyak, anggotanya turut menahan dua lelaki yang dikenal pasti pemandu dan kelindan lori tersebut bagi membantu siasatan.

    “Siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik premis dan suspek utama yang terlibat dalam kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.- BERNAMA

  • KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

    KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

    Oleh: Bernama

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memantau penjualan pelitup muka tiruan termasuk secara dalam talian bagi memastikan tidak berleluasa di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata langkah itu perlu bagi membendung penjualan pelitup muka tiruan yang boleh membahayakan pemakainya kerana boleh terdedah terhadap penularan COVID-19.

    “Orang ramai boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas meninjau program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Hua di Tanjung Piandang di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai pendedahan penjualan pelitup muka tiruan berkualiti rendah di pasaran.

    Abdul Yunus berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai penjualan pelitup muka tiruan di negeri ini.

    Difahamkan, pelitup muka berkualiti rendah itu mengakibatkan pengguna mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan menyebabkan wajah ditumbuhi jerawat selepas menggunakannya.

    Sementara itu, mengenai program MOVAK berkenaan, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau berkata seramai 300 warga emas, orang kurang upaya serta anggota bomba sukarela menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata program yang dimulakan sejak awal bulan ini di kawasan Bota dan dijangka berakhir hujung bulan ini bertujuan menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membolehkan 80 peratus rakyat negara ini divaksinasi.- BERNAMA

  • Pengguna disaran beli kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan MDA

    Pengguna disaran beli kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan MDA

    Oleh: Bernama

    ORANG ramai yang berhasrat membeli kit ujian kendiri COVID-19 disaran supaya membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ terlebih dahulu bagi mendapatkan senarai syarikat dan produk yang telah diluluskan oleh MDA bagi pengedaran dan penjualan kit berkenaan.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membuat saranan itu berkata baru-baru ini pihaknya telah menyiasat aduan seorang pengguna yang membeli kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM60 seunit di sebuah farmasi di Terengganu, dan siasatan mendapati bekalan kit itu diambil dari sebuah farmasi di Pahang.

    Dalam satu kenyataan di sini KPDNHEP berkata farmasi di Pahang yang membekalkan kit berkenaan didapati bukanlah salah satu dari enam syarikat yang mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk mengedar dan menjual kit itu kepada orang awam.

    Menurutnya pemeriksaan di farmasi di Terengganu pula mendapati peniaga berkenaan mematuhi peraturan tanda harga ke atas barangan itu bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan harga yang dipaparkan, kerana hingga kini kit ujian kendiri COVID-19 belum disenaraikan dalam barangan kawalan.

    “KPDNHEP akan mengemukakan dapatan siasatan ini kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu MDA untuk tindakan selanjutnya memandangkan perkara ini bukan di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.- BERNAMA

  • KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG bersubsidi

    KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG bersubsidi

    SATU kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi berjaya ditumpaskan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di sekitar bandar Seremban serta Port Dickson, semalam.

    Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, sebanyak enam lelaki termasuk empat warga asing ditahan dalam operasi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM147,940 itu.

    Menurutnya, dalam serbuan di sebuah stor, pasukan KPDNHEP menemukan 126 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) yang berisi dan kosong untuk kegunaan industri, 136 tong LPG 14 kg berisi dan kosong untuk kegunaan domestik dan 1,500 kartrij butana cecair berisi dan kosong.

    “Modus operandi sindiket itu ialah membawa tong yang berisi LPG domestik 14kg bersubsidi daripada pemborong di sekitar Klang dan Beranang ke stor berkenaan, dan memindahkan gas bersubsidi itu ke tong 50 kg (kegunaan industri) serta tin gas untuk kegunaan dapur mudah alih 230 gram.

    “Sebuah lori kargo am had muatan lima tan yang pada masa itu dipenuhi dengan tong gas LPG 14kg, serta peralatan-peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik ais bagi tujuan aktiviti pemindahan disita dalam operasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azman berkata, dua orang lelaki tempatan dan empat lelaki warganegara Myanmar berumur 20 hingga 30 tahun yang berada di premis itu ditahan bagi membantu siasatan.

    Ujarnya, nilai rampasan serta sitaan dianggarkan bernilai RM147,940.

    “Operasi itu dilaksanakan hasil risikan selama tiga minggu dan premis berkenaan didapati telah beroperasi sejak dua bulan yang lepas.

    “Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat, ia boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta,” tambahnya.