Tag: Kota Tinggi

  • Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    JALAN Kota Tinggi-Mersing di Kilometer 60 di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan, bermula 12 tengah hari tadi, kerana dinaiki air.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata justeru orang ramai dinasihatkan untuk melalui jalan alternatif menerusi Tenggaroh.

    “Setakat ini, hanya satu sahaja jalan utama iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing yang ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan.

    “Jalan itu dinaiki air dengan jarak kira-kira 40 meter, jadi orang ramai diminta menggunakan jalan menerusi Tenggaroh sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini, hari ini.

    Selain itu, jalan lain yang ditutup untuk kenderaan ringan adalah Mawai Lama (Rumah Burung), Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gembut), Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA) dan Jalan Lok Heng-Sungai Mas (Sungai Semalok).

    Hussin berkata pihaknya juga giat mengadakan rondaan termasuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk sekitar seperti pekerja ladang sawit di Ladang Ibzi Punggai, di sini, yang terputus bekalan makanan berikutan jalan dinaiki air.

    Beliau berkata mesyuarat penyelarasan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia, sentiasa dijalankan bagi memastikan tugas dan peranan dapat diselaraskan tanpa pertindihan tugas. – BERNAMA

  • Lelaki Singapura dipercayai sesat daki Hutan Simpan Panti Timur

    Lelaki Singapura dipercayai sesat daki Hutan Simpan Panti Timur

    SEORANG lelaki warganegara Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan pada 3.26 petang.

    Beliau berkata lelaki warga tempatan itu yang juga rakan mangsa, memaklumkan dia telah terputus hubungan dengan Jason Ren Jie, yang berusia 30-an, semasa mendaki bersamanya di hutan berkenaan.

    “Mereka mula mendaki lebih kurang pukul 11.30 pagi. Pengadu berkata dia terpisah dengan mangsa kira-kira 1 tengah hari apabila mangsa dan pengadu berpisah di satu lokasi ketika mendaki.

    “Pengadu berjalan dahulu manakala mangsa menunggu di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    Susulan itu, katanya sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat. 

    Operasi mencari dan menyelamat ini turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi), katanya.

    “Setakat pukul 11:30 malam tadi, mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi akan disambung semula hari ini,” katanya.

    Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi dan memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang.- BERNAMA

  • Jenazah empat beranak maut kemalangan selamat dikebumikan

    Jenazah empat beranak maut kemalangan selamat dikebumikan

    JENAZAH empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Semanggar Dalam di Kota Tinggi semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja petang ini.

    Pasangan suami isteri, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta anak mereka Nurfatihah Jannah berusia sembilan bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 5.30 patang.

    Jenazah seorang lagi anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, tiba lebih awal kira-kira 3.40 petang untuk dikebumikan secara berasingan di tanah perkuburan sama mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan disahkan positif COVID-19.

    Terdahulu, jenazah Mohamad Suti, isteri dan anak perempuannya itu dibawa ke Masjid Jamek al-Sharif, Felda Pasir Raja sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.

    Ketiga-tiga jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira satu kilometer dari masjid untuk disemadikan dalam suasana pilu serta penuh hiba, dan hujan renyai.

    KEMALANGAN-KEBUMI 2 (AKHIR) KOTA TINGGI

    Pasangan itu meninggalkan seorang cahaya mata Nur Suzila berusia lapan tahun yang kini di bawah jagaan ibu Siti Jamaliah, iaitu Rosni Sintingan, 53.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dilaporkan berkata kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila Mohamad Suti yang membawa tiga lagi mangsa, gagal mengawal motosikal yang dinaiki mereka semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

    Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.- BERNAMA

  • Berpantang maut sebelum ajal

    Berpantang maut sebelum ajal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BERPANTANG maut sebelum ajal!

    Itu yang berlaku terhadap seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan apabila kereta Proton Persona dipandu terbabas ke dalam sungai di Jalan Telujuk, Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi pagi ini.

    Semasa kejadian wanita berkenaan, Nurul Ain Shamira Shherif, 22, dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasar Borong Song Seng di sini.

    Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.37 pagi dan seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi.

    “Mangsa hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian tangan dan kaki. Mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

    “Pihak bomba mengangkat mangsa menggunakan stretcher dan tali untuk dibawa ke atas jalan raya. Mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan dari Air Tawar 2 di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi yang melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) tamat pada pukul 8.18 pagi.

    habis.