Tag: Kota Kinabalu

  • Cekik isteri sampai mati di bilik sewa

    Cekik isteri sampai mati di bilik sewa

    SEORANG suami dipercayai tergamak membunuh isterinya dengan mencekik mangsa dalam kejadian di bilik sewa mereka di Jalan Pantai, Kota Kinabalu, hari ini.

    Kejadian kira-kira 5 pagi itu disedari jiran pasangan tersebut yang terkejut apabila terdengar pertengkaran sebelum suami mangsa mengetuk pintu jiran dan meminta mereka keluar dari bangunan berkenaan.

    Jiran mangsa kemudian menghubungi polis pada 8 pagi sebelum mayat wanita itu ditemui manakala suaminya berusia 30-an turut ditemui terbaring dengan kesan kelar dan luka.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, siasatan awal mendapti mangsa tinggal bersama suaminya di dalam bilik sewa berkenaan.

    Katanya, mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya berikutan terdapat kesan lebam pada lehernya, dipercayai dicekik, selain kesan luka pada dahinya.

    “Kita percaya kes ini lebih kepada konflik rumah tangga antara mangsa dan suaminya kerana sebelum kejadian, jiran mangsa terdengar pertengkaran antara kedua-dua mereka.

    “Pasangan terbabit ditemui dalam keadaan terbaring dan jiran sedikit lewat menghubungi pihak polis kerana ketika kejadian, telefon bimbitnya tidak mempunyai kredit,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati suami mangsa adalah pekerja restoran manakala isterinya seorang suri rumah.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung motif sebenar kejadian masih dijalankan.

    “Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

  • Anggota polis URB putus kaki rempuh Jeep dipandu lelaki disyaki mabuk

    Anggota polis URB putus kaki rempuh Jeep dipandu lelaki disyaki mabuk

    SEORANG anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Lintas, berhadapan City Mall, di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Mangsa berpangkat Koperal berusia 35 tahun itu bertugas di bahagian URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira pukul 9.30 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berdasarkan saksi kejadian, pemandu kenderaan jenis Jeep dikatakan dilihat membuat pusingan U di tempat yang salah.

    Beliau berkata, saksi kejadian telah membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu namun kenderaan itu telah masuk ke laluan sebelah.

    “Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan Jeep berkenaan.

    “Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena pada besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mohd Zaidi berkata, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

    “Pemandu kereta Jeep tidak cedera dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu Jeep diambil di HQE II dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk dianalisa kandungan alkohol dan dadah dalam darahnya,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, kenderaan Jeep itu turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menurut laporan Berita Harian.

  • Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    SEORANG peluncur udara (paraglider) maut selepas terhempas pada cerun konkrit akibat diterbangkan angin sejurus mendarat dan menurunkan rakan peluncur (penumpang) yang terbang bersamanya, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, di Kota Kinabalu.

    Mangsa lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.

    Sebaik penumpang diturunkan, mangsa yang belum sempat menanggalkan tali payung luncur udara dibadannya tiba-tiba ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Toyota Vios terjunam dalam pusat beli-belah

    Toyota Vios terjunam dalam pusat beli-belah

    DUA individu berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar tembok di tingkat tiga sebelum terjunam ke tingkat dua di sebuah kompleks beli-belah di Asia City, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun hanya cedera ringan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pukul 10.56 pagi.

    Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi berkenaan .

    “Laporan memaklumkan terdapat sebuah Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.

    “Terdapat dua mangsa terbabit dan keluar sendiri dari kereta berkenaan serta mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain dan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.

    “Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada 11.59 pagi,” katanya, lapor Harian Metro.