Tag: kosmetik

  • KKM batal notifikasi enam produk kosmetik kandungi racun berjadual

    KKM batal notifikasi enam produk kosmetik kandungi racun berjadual

    BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi enam produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk berkenaan ialah Flashhskinzz Moist Sunscreen, Serene Treatment Cream, Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin dan Karisma Preventing Day Cream, yang masing-masing mengandungi merkuri.

    Selain itu, dua lagi produk kosmetik yang terlibat ialah SL Two Kunyit yang mengandungi merkuri dan Betamethasone 17- Valerate dan SL Two Sarang Burung (Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate).

    Beliau berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau janin.

    Bagi produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate, Dr Noor Hisham berkata produk itu ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

    “Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

    Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat, katanya.

    Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

    “Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

    Dr Noor Hisham menyarankan orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – BERNAMA

  • Peniaga kosmetik maut, isteri dan dua anak cedera

    Peniaga kosmetik maut, isteri dan dua anak cedera

    Oleh Mohd Lazim Endut

    SEORANG peniaga kosmetik maut, manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 11, Jalan Gaung-Kuala Ping dekat Kampung Matang, Kuala Berang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, mangsa, Muhammad Marhafizan Muhammad, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara isterinya yang berusia 29 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia dua dan 10 tahun yang turut berada dalam kenderaan itu mengalami cedera.

    Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Jabi, Besut tiba-tiba hilang kawalan sewaktu melalui satu selekoh lalu berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

    Pada sama, sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang pesara berusia 57 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kenderaan mangsa, lalu kenderaan mereka bertembung, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun, pesara tersebut bersama anak perempuan berumur 18 tahun hanya mengalami cedera ringan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang mengalami cedera pula dirawat di hospital sama,” katanya.

    Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

    Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

    Oleh:Bernama

    Produk kosmetik Skin Revolution – Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.

    Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Norhaliza A Halim dalam kenyataan hari ini berkata notifikasi produk itu telah dibatalkan sekali gus tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

    “Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

    “Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” katanya.

    Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana perkara itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

    “Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

    Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam untuk segera menghentikan penggunaan produk itu dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

    Orang awam turut digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store.- BERNAMA