SEORANG ahli Parlimen, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) menuntut janji kerajaan untuk mencari jalan menyelesaikan peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat.
“Jika kita ingat sewaktu peringkat awal YB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi perdana menteri, beliau menyebut memberi tempoh dua minggu untuk sediakan kertas kerja bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.
“Sekarang dah lebih berminggu-minggu dan kita tidak melihat apakah satu pendekatan yang tuntas dalam menangani isu ini,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, lapor Free Malaysia Today.
Radzi turut menegur gabungan Pakatan Harapan (PH) diketuai Anwar kerana memberi tanggapan semasa tempoh berkempen untuk PRU15 bahawa isu kos sara hidup “mudah diselesaikan”.
“Jadi mengapakah sampai hari ini, tidak ada sebarang tindakan yang menyeluruh diambil berkaitan hal ini?” soalnya.
Pada 27 Nov lalu, Anwar berkata beliau memberi tempoh dua minggu kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk menganalisis dan membincangkan subsidi disasarkan untuk rakyat.
Anwar berkata, keutamaan adalah untuk meringankan beban rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah memandangkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup
Menurutnya, sebaik sahaja Jemaah Menteri dibentuk, menteri berkaitan akan berbincang berkenaan data yang didapati bersama pegawai mereka dan agensi bawah bidang kuasa sebelum membentangkan keputusan kepada Kabinet.
Sebagai maklum balas, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata, dua minggu yang diberikan Anwar bertujuan untuk pengumpulan data, bukan menyelesaikan isu itu, yang memerlukan usaha berterusan.
“Saya rasa itu untuk mengumpulkan data, bukan untuk menyelesaikan masalah itu secara berterusan. Itu kena jelas,” katanya.
KEBELAKANGAN ini heboh orang bercakap dan memperkatakan mengenai Menu Rahmah.
Ada mengatakan program yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 31 Januari lalu itu lebih kepada pendekatan popular Kerajaan Perpaduan.
Sedangkan ia dikatakan masih gagal menterjemahkan masalah sebenar dihadapi oleh rakyat di negara ini ketika berhadapan dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan mereka.
Sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.
Ini kerana isu utama rakyat ialah berkaitan kenaikan harga barangan termasuk bahan mentah di pasaran yang semakin meningkat dan gagal di kawal kerajaan.
Ramai yang bertanya sampai bilakah isu harga ayam, daging, telur, ikan dan sayur-sayuran akan selesai?
Dan bagaimanakah pula usaha dan ikhtiar kerajaan dan kementerian terbabit dalam menyelesaikan masalah tersebut?
Berdasarkan itulah, sebaik sahaja program Menu Rahmah dilancarkan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada peringkat awalnya ramai golongan peniaga kurang bersetuju kerana mereka mendakwa hanya meraih keuntungan yang sedikit.
Selain itu, ada juga peniaga mempersoalkan kenapa kerajaan meminta peniaga makanan menurunkan harga sebaliknya kenaikan harga bahan mentah di pasaran dikatakan amat membebankan.
Bayangkan kalau kenaikan harga daging import sekarang mencecah kepada RM35 sekilogram, ayam.(RM10), ikan kembong (RM15), ikan selayang (RM10), tomato (RM10), harga cili merah (RM15), kubis (RM20), tomato, timun dan terung (RM10).
Ini tidak termasuk bekalan minyak masak dan telur ayam yang bukan setakat mengalami harga tidak menentu, tetapi bekalannya seringkali terputus di pasaran terutama pada musim perayaan.
Justeru para peniaga meminta kerajaan sepatutnya bertindak lebih agresif dalam mengawal harga bahan-bahan mentah terbabit dalam pasaran.
Selain itu, mereka juga mahukan tindakan tegas perlu diambil ke atas peniaga yang menjual barangan melebihi harga ditetapkan.
Bagi pengguna, ada yang berpendapat, antara Menu Rahmah dengan Nasi Bajet atau Nasi Ayam Bajet, mereka lebih suka memilih hidangan yang dijual secara bungkus dengan harga murah termasuk dari segi kualiti dan kuantiti khususnya di warung-warung dan gerai-gerai tepi jalan.
Apa yang penulis perhatikan sebelum program Menu Rahmah ini wujud, sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.
Sebagai contoh, harga nasi bajet dan nasi ayam bajet hanya berharga antara RM4 dan RM4.50, mee celup masih ada peniaga menjual dengan harga RM2.
Penulis juga mendapati Warung Kak Lah di Losong Kuala Terengganu masih menjual Teh dengan harga RM1 dan kuih untuk sarapan berharga di bawah RM1.
Restoran Sri Mambu di Kampung Ru Muda, Marang pula menjual air milo berharga RM1 dan nasi berlauk ayam goreng dan telur di bawah harga RM4.
Begitu juga dengan kedai Roti Canai Pian di Pasar Marang yang masih menjual air milo dan roti canai dengan harga RM1.
Dalam soal ini, apa yang penulis ingin perkatakan ialah mengenai sikap peniaga itu sendiri, bukan soal untung sedikit atau tidak untung langsung.
Ada peniaga yang menjual air milo sehingga RM3 secawan, roti canai (RM1.50) dan nasi ayam (RM6).
Maka itu, penulis berpendapat selagi kerajaan gagal mengawal kenaikan harga bahan mentah, kita tidak dapat menjangkakan sampai bilakah lebih 15,000 peniaga di bawah program Menu Rahmah ini dapat bertahan bagi menawarkan harga makan tengah hari dan malam serendah harga RM5.
Adakah ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau sekadar mencari formula pendekatan popular?
KERAJAAN gabungan PH-BN yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup walaupun telah memberi jaminan tempoh dua minggu untuk kementerian terbabit menyelesaikannya pada 27 November lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, hari ini sudah empat minggu berlalu namun kos sara hidup masih terus naik dan telur masih sukar didapati di pasaran.
“Harga makanan harian makin naik. Tapi tidak ada satu pun langkah konkrit yang kerajaan telah mulakan.
“Nampaknya janji dua minggu ini sama macam janji harga minyak turun dalam 24 jam.
“Sampai hari ini belum habis ‘mencerakinkan’ solusi. Tersengih bertutur bahasa berbunga-bunga untuk tunjuk hebat, tapi hanya wayang untuk menutup kelemahan tak tahu nak buat apa untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BeritaBersatu.
Pada 27 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.
Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang akan dibentangkan kepada kabinet barunya selepas ia dibentuk kelak.
“Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat, terutama rakyat yang susah. Tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar.
“Jika tidak, seperti harga minyak umpamanya, subsidi itu dimanfaatkan oleh rakyat dan golongan kaya.
“Jadi saya berikan mereka (majlis tindakan) tempoh dua minggu untuk cerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya itu untuk meringankan beban rakyat yang miskin.
“Tentunya golongan yang kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat (dengan subsidi),” kata Anwar pada sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu Malaysia berkata, semua ini membuktikan bahawa PH-BN tidak ada idea untuk menyelesaikan isu rakyat, sebaliknya sibuk berlakon wayang sahaja.
“Semua ini membuktikan bahawa PH-BN tak ada idea. Ini adalah kerajaan menyelamatkan diri sendiri dan memenuhi cita-cita peribadi, sebab itu PH-BN tiada idea bagaimana menyelamatkan rakyat.
“Fokus PH-BN ialah kepada perebutan jawatan, perlantikan GLC, dan berlakon wayang sahaja. Nasib rakyat bukan agenda utama PH-BN,” katanya.