Tag: Korea Selatan

  • Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki warganegara Korea Selatan cedera di bahagian tulang belakang dan beberapa anggota badan setelah terjatuh dari puncak air terjun Telaga Tujuh, dekat Gunung Mat Chincang dekat Langkawi, tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Jarak daripada kaki Gunung Mat Chincang ke puncak tersebut dianggarkan 90 meter dan mengambil masa sejam untuk didaki. Setibanya di lokasi, didapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan serviks.

    “Pihak bomba terlebih dulu memberi rawatan awal kepada mangsa dikenali sebagai Hyun Seung, 52, di lokasi. Dia kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

  • Duat maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

    Duat maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

    DUA orang ditemui mati, manakala 10 lagi hilang selepas Taufan Hinnamnor melanda Korea Selatan, menurut ibu pejabat pusat bencana dan keselamatan kebangsaan pada Selasa.

    Taufan Hinnamnor merupakan taufan yang ke-11 melanda negara itu pada tahun ini, dan kebanyakan mangsa dilaporkan berasal dari tenggara, lapor Xinhua.

    Seorang wanita berusia 70-an ditemui mati di Pohang, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu kota Seoul, selepas dia dipercayai dihanyutkan air deras.

    Sementara itu, lapan orang dilaporkan hilang selepas cuba mengalihkan kenderaan mereka di tempat letak kereta bawah tanah di Pohang.

    Seorang lagi wanita berusia 80-an dijumpai mati tertimbus dalam runtuhan di Gyeongju, kira-kira 280 km tenggara Seoul.

    Di Ulsan, kira-kira 310 km tenggara Seoul, seorang lelaki berusia 25 tahun hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.

    Setakat ini, lapan bangunan komersial dan 71 kediaman dinaiki air di seluruh negara, manakala empat rumah musnah. 

    Lapan kejadian tanah runtuh dilaporkan setakat ini, dan lebih 200 kemudahan awam rosak. 

    Lima bot nelayan karam, dan 1,320 hektar tanah ladang ditenggelami air selepas taufan itu.

    Lebih 66,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala lebih 2,900 orang, kebanyakannya tinggal di wilayah tenggara, telah dipindahkan buat sementara waktu.- BERNAMA

  • [VIDEO] Jatuhkan bayi baru lahir, jururawat dipenjara enam tahun

    [VIDEO] Jatuhkan bayi baru lahir, jururawat dipenjara enam tahun

    SEORANG jururawat dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Jumaat atas kesalahan menjatuhkan seorang bayi baru lahir pada 2019, yang mengakibatkan kerosakan kekal pada otak.

    Mahkamah Daerah Busan mendapati jururawat itu, yang identitinya dirahsiakan, bersalah kerana cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan kepada bayi perempuan berusia lima hari.

    Kejadian berlaku di unit neonatal sebuah hospital di Busan, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Kemarahan orang ramai tercetus selepas rakaman kamera pengawasan menunjukkan jururawat itu secara fizikal mendera sejumlah 14 bayi baru lahir, termasuk bayi perempuan itu, dengan menggoncang dan memegang secara terbalik dan menjatuhkan mereka.

    Jururawat itu juga didapati bersalah mendera kanak-kanak.

    “Rakaman menunjukkan defendan memegang bayi yang baru lahir itu dalam keadaan terbalik, mengakibatkan bayi itu jatuh terlentang,” menurut mahkamah.

    Bukti turut menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan semasa jururawat itu bertugas.

    Berikutan keputusan itu, jururawat tersebut yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin telah dipenjarakan. – BERNAMA

  • Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    SEORANG ibu berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Rabu kerana membunuh dua anak lelakinya berumur 8 dan 7 tahun akibat dihimpit masalah kewangan.

    Sebuah mahkamah di selatan Seoul mendapati tertuduh, yang identitinya dirahsiakan, bersalah membunuh anaknya — di rumahnya pada April lalu, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Dia kemudian cuba membunuh diri tetapi gagal.

    “Defendan menjalani kehidupan yang sukar dan dilanda kebimbangan, tetapi mahkamah tidak menerima alasan tertuduh,” menurut mahkamah itu.

    Mahkamah turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak berusaha untuk mengatasi kesukaran hidup, seperti mencari pekerjaan atau mendapatkan bantuan psikoterapi. – BERNAMA

  • [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang disahkan maut manakala 46 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan pejabat di bandar Daegu, tenggara Korea Selatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap pada Khamis.

    Kebakaran berlaku kira-kira 10.55 pagi waktu tempatan di bangunan pejabat tujuh tingkat di Daegu.

    Tujuh orang ditemukan maut dan 46 lagi cedera akibat terhidu asap.

    Kira-kira 50 jentera bomba bersama 160 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran.

    Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat. – BERNAMA

  • KSI-MMU sedia promosi bahasa, budaya Korea

    KSI-MMU sedia promosi bahasa, budaya Korea

    UNIVERSITI Multimedia (MMU), antara universiti terkemuka di Malaysia, kini bersedia untuk menjadi hab bagi mempromosikan bahasa dan budaya Korea menerusi King Sejong Institute-MMU (KSI-MMU) yang dilancarkan di kampus Melaka baru-baru ini.

    Penubuhan KSI-MMU akan membantu dalam mempertingkatkan keterlihatan global yang lebih ketara bagi kedua-dua institusi, sekali gus berfungsi sebagai platform untuk menyediakan pelajar MMU dan orang ramai meneroka peluang dan mengalami dunia Korea melalui pelbagai acara, pertandingan dan kelas pengajian.

    MMU merupakan antara 25 institusi baharu yang terpilih daripada 120 permohonan di seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada KSI.

    Majlis pelancaran dirasmikan oleh Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom, dan disaksikan oleh Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

    Mazliham berkata, MMU sentiasa menggalakkan warganya meneroka dan merasai sendiri pelbagai aspek masyarakat dunia termasuk bahasa dan budayanya.

    “Mempelajari bahasa asing akan mendidik dan menggalakkan rasa hormat kepada orang lain selain memupuk pemahaman tentang hubungan saling kait antara bahasa dengan sifat manusia.

    “Penguasaan bahasa asing memperluas sudut pandang seseorang terhadap dunia, memperkaya pengalaman, dan menjadikan seseorang lebih fleksibel dan bertolak ansur,” tambahnya.

    Sambil menyatakan rasa terujanya, Chi Beom menegaskan, KSI-MMU akan terus memperkaya pertukaran dalam sektor pendidikan dan budaya antara Korea Selatan dan Malaysia.

    “Melangkah ke hadapan, saya berharap akan wujud sinergi melalui pertukaran dan kerjasama antara institut pendidikan di Malaysia dan usaha ini bakal memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Korea Selatan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Yayasan Institut King Sejong, Lee Hae Young berkata, walaupun berlaku penularan wabak COVID-19 sebelum ini, bilangan pelajar di Institut King Sejong di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus, dan perkembangan ini membuktikan bahawa bahasa dan budaya Korea adalah popular di negara ini.

    “Selaras dengan trend semasa, KSI-MMU kini menyediakan pembelajaran bahasa dalam talian melalui aplikasi pelbagai kandungan untuk perkongsian pendidikan dan budaya Korea yang lebih dinamik dan aktif kepada pelajar,” katanya.

    Dalam ucapan tahniah kepada KSI-MMU, Presiden Persatuan Korea di Malaysia, Lee Tae-Su pula berkata, kedua-dua institut akan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sejarah, budaya dan teknologi termaju Korea ke Malaysia.

    “Usaha ini akan memberi peluang kepada ramai anak muda di Malaysia untuk menimba kemahiran dan pengetahuan unggul Korea. Saya berharap KSI-MMU akan membantu bakat Malaysia menjadi lebih bersedia untuk masa depan pendidikan akan datang,” ujarnya.

  • Helikopter pengawal pantai terhempas, 2 maut, seorang hilang

    Helikopter pengawal pantai terhempas, 2 maut, seorang hilang

    SEBUAH helikopter milik Pengawal Pantai terhempas di perairan pulau Mara, Korea Selatan pada Jumaat, menyebabkan dua maut dan seorang lagi hilang, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Helikopter Sikorsky S-92 membawa empat kru sebelum terhempas di perairan 370 kilometer barat daya Pulau Mara pada 1.32 pagi waktu tempatan.

    Mangsa yang terkorban termasuk dua pembantu juruterbang, dikenali Chung, 51, dan Hwang, 28, manakala seorang mekanik, Cha, 42, dikhuatiri hilang.

    Seorang lagi juruterbang Choi, 47, berjaya diselamatkan bot peronda dan dilaporkan selamat, menurut pegawai.

    Nahas berlaku ketika helikopter itu dalam perjalanan pulang ke Busan selepas terlibat dalam operasi menyelamat di perairan berhampiran Taiwan. – BERNAMA

  • Kumpulan K-Pop BTS bakal dikecuali khidmat tentera Korea Selatan?

    Kumpulan K-Pop BTS bakal dikecuali khidmat tentera Korea Selatan?

    PEGAWAI pasukan bakal Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sabtu melawat Hybe, agensi pengurusan kumpulan K-Pop, BTS, dan tiada perbincangan mengenai isu pengecualian perkhidmatan tentera diadakan pada lawatan itu, lapor Yonhap.

    “Tiada perbincangan (pengecualian tentera untuk anggota). Isu itu perlu dibincangkan oleh kerajaan baharu di Parlimen,” kata ketua jawatankuasa pasukan itu Ahn Cheol-soo kepada pemberita.

    Ahn berkata, lawatan itu bertujuan mendapat maklumat apa yang boleh dilakukan oleh pentadbiran baharu untuk menyokong industri hiburan.

    Lawatan itu menjadi tumpuan di tengah-tengah spekulasi mengenai isu pengecualian perkhidmatan tentera untuk anggota BTS.

    Semua lelaki Korea Selatan yang sihat tubuh badan dikehendaki menyertai perkhidmatan tentera kira-kira dua tahun. Hanya atlet dan pemuzik klasik yang memenangi pingat atau anugerah di peringkat dunia diberikan pengecualian.

    Rang undang-undang mengenai selebriti pop lelaki terkemuka dikecualikan untuk perkhidmatan itu bakal dibahaskan di Parlimen.

    Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Korea Selatan dikatakan sedang mempertimbangkan sama ada untuk membenarkan pengecualian perkhidmatan tentera kepada BTS. – BERNAMA