Tag: komunis

  • Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana ‘tujuan keselamatan’, kata Ismail

    Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana ‘tujuan keselamatan’, kata Ismail

    AHLI Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menyangkal dakwaan bahawa soalan yang dibangkitkannya pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini berbaur perkauman dan menghasut.

    Ia susulan soalan dibangkitkan ahli parlimen Pas itu tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di kawasan tersebut atau tidak.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ismail sebaliknya menegaskan soalan yang dibangkitkan itu adalah berdasarkan pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan.

    “Saya tahu sejarahnya. Sebagai contoh, di Kampung Baru. memanglah penempatan di situ untuk (mengawal) penduduk yang dipengaruhi oleh komunis.

    “Jadi saya tidak mahu tanggapan bahawa masih ada komunis di kampung-kampung ini berlarutan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Mengulas lanjut Ismail menjelaskan, apatah lagi penduduk kampung baru mesti berasimilasi (bergaul) dengan masyarakat sekeliling.

    Sebab itu, katanya beliau mencadangkan agar pengendalian kampung-kampung baru digerakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara supaya penduduk dapat bercampur dengan lebih baik dengan masyarakat lain.

    Kerajaan menubuhkan kampung baru semasa pemberontakan komunis untuk melindungi masyarakat Cina daripada ancaman mereka.

    Berdasarkan pemerhatiannya, Ismail mendakwa penduduk kampung baru cenderung bersifat mono-etnik dengan sebilangan penduduk kampung Cina tidak dapat menguasai bahasa Melayu.

    “Sedangkan di kampung lain, misalnya di Felda, ada juga orang Cina walaupun ia khusus untuk orang Melayu,” katanya.

    Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ismail bertanyakan soalan pelik kepada menteri dalam negeri tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di kawasan tersebut, pada soalan bertulis parlimen bertarikh 15 Feb 2023.

    Ismail juga mempersoalkan apakah kerajaan bercadang untuk menyatukan semua kampung baru di bawah kementerian yang sama.

    Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menjawab bahawa kampung-kampung baru telah ditubuhkan pada zaman darurat untuk menangani ancaman pemberontak komunis.

    Jelas Saifuddin, idea di sebalik rancangan ini untuk memindahkan penduduk kampung Cina di penempatan terpencil yang berselerak di pinggir hutan ke kampung baru bagi mengelakkan komunis mengancam atau menerima bantuan logistik atau maklumat daripada penduduk.

    Selain soalan itu, Ismail juga meminta kerajaan menyatakan apakah rasional untuk “mengiktiraf” rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira “warna kulit”.

    Dalam soalan berasingan yang dikemukakan Ismail di Dewan Rakyat, ahli parlimen Pas itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

    Kenyataan Ismail itu mengundang kritikan daripada ahli parlimen lain termasuk pemimpin DAP, P Ramasamy yang berkata pemimpin PAS itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atas soalan bertulis parlimen yang dilontarkannya itu.

  • Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    TERPAKSA tidur bersama dua mayat pengganas komunis semalaman, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Waran I Wok Muhammad, 85, sepanjang berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mengimbau kembali peristiwa itu, Wok berkata kejadian berlaku ketika beliau serta kira-kira 50 anggota platun lain mengikuti satu operasi bagi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Batu Gajah, Perak sekitar 1957.

    Beliau serta mereka perlu berjalan kaki dengan berhati-hati selama lebih tiga jam seawal 5 pagi untuk ke kawasan yang dikatakan terdapat komunis selepas pihak risikan memberikan maklumat.

    “Ketika menelusuri kawasan hutan untuk menjejaki komunis kami perlu berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat jerangkap samar atau perangkap mahupun diserang hendap oleh pengganas komunis secara tiba-tiba.

    “Malah, sebagai langkah keselamatan, anggota platun kami ada yang membawa senjata berat dan saya pula ditugaskan membawa senjata ringan untuk berdepan dengan sebarang serangan komunis,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bunut Susu, di Pasir Mas baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata selepas beberapa jam berjalan untuk menjejaki komunis, akhirnya ketua operasi berjaya mengesan kira-kira tujuh pengganas komunis berada di sebalik bukit sekitar kawasan hutan itu.

    Katanya sebaik sahaja berjaya menjejaki sekumpulan penggans komunis itu, anggota platun terus melepaskan tembakan, dengan dua daripada mereka terbunuh manakala saki-baki kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

    “Selepas dua daripada pengganas mereka tumpas disebabkan terkena tembakan, kami tidak terburu-buru menuju ke mayat itu kerana bimbang terdapat bom ataupun perangkap pada mayat berkenaan.

    “Malah, kami juga turut dilatih agar memastikan musuh benar-benar terbunuh sebelum memeriksa keadaan mayat bagi mengelak sebarang bahaya,” katanya yang berusia 20 tahun ketika kejadian itu.

    Wok berkata memandangkan kejadian itu berlaku lewat petang dan keadaan sudah gelap, beliau serta beberapa anggota terpaksa bergilir-gilir memikul mayat anggota pengganas komunis itu untuk dibawa keluar keesokan hari.

    Katanya, ketika gilirannya membawa mayat komunis itu beliau berasa agak gerun selain turut berbau hanyir disebabkan darah yang mengalir sehingga turut menyebabkan uniformnya terkena kesan darah.

    “Sepanjang malam, kami juga terpaksa berjaga dan hanya tidur secara ala kadar sahaja berhampiran dua mayat komunis itu kerana dikhuatiri bau darah itu akan menarik perhatian binatang buas termasuk harimau.

    “Malah, pasukan kami juga turut bimbang sekiranya ahli komunis lain akan menyerang setelah dua anggotanya terbunuh, namun mujurlah ia tidak berlaku selain operasi itu juga ditamatkan pada keesokan hari,” katanya.

    Wok berkata beliau berasa bangga dapat berbakti kepada negara ketika usia mudanya untuk mempertahankan negara daripada penjajah komunis, malah hasil perkhidmatan dan jasanya beliau turut dianugerahkan beberapa pingat.

    “Antara pingat yang diterima termasuklah, Ahli Mangku Negara, Pingat Seri Mahkota Kelantan, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Khidmat Berbakti selain saya juga pernah ditugaskan untuk bertugas di Congo selama setahun pada 1962,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1981.- BERNAMA

  • Pengganas komunis tumpas digempur wira negara

    Pengganas komunis tumpas digempur wira negara

    KEJAYAAN membunuh dan menangkap anggota komunis adalah antara yang paling membanggakan bagi bekas pegawai tentera Kapten (B) V. Panir Chellvum sepanjang 12 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Panir Chellvum, 67, berkata, perisitiwa bersejarah dalam hidupnya itu berlaku ketika beliau terbabit dalam ‘Op Pagar’ antara ATM dan polis bagi memburu ancaman komunis di Gerik, Perak pada 14 Feb 1977.

    Berkongsi pengalaman itu kepada Bernama baru-baru ini, katanya kejadian berlaku ketika beliau berusia 22 tahun dan berpangkat Leftenan Muda ditugaskan untuk mengetuai kumpulan yang dianggotai empat lagi rakan sepasukan melakukan serang hendap terhadap ancaman komunis selepas mendapat maklumat risikan ‘kategori A’ daripada pihak polis.

    Tanpa memikirkan soal gentar atau takut dalam mempertahankan kedaulatan negara, Panir Chellvum dan pasukannya bergerak dalam kegelapan malam ke lokasi operasi jauh di dalam hutan.

    Semasa beliau dan pasukannya meletakkan ‘claymore mine’ (periuk api) di lokasi tersebut, mereka dikejutkan dengan pancaran lampu suluh musuh dari arah belakang sebelum seorang ahli pasukannya melepaskan tembakan.

    Musuh seramai kira-kira 15 orang terkejut dengan tembakan itu kemudian kedua-dua kumpulan saling berbalas tembakan selama 30 minit.

    “Ketika itu juga kami terdengar jeritan suara yang disebut dalam bahasa Cina ‘cau’ yang bermaksud lari dan kami berhenti menembak. Selepas itu kami terdengar bunyi geseran daun kering di hadapan kami. Saya tahu ini bunyi gerakan musuh yang kembali mendekati kedudukan kami.

    “Apabila bunyi gerakan semakin hampir, saya melontarkan lima grenad ke arah bunyi tersebut dan empat daripadanya meletup.

    “Musuh sudah berlarian dan saya terus menghubungi pasukan ‘Artillery Fire’ untuk memberikan kami ‘illuminating rounds’. Ketika itu saya dapat melihat banyak beg galas kepunyaan musuh dan juga terlihat seorang anggota komunis terbaring betul-betul di hadapan saya,” katanya.

    Menurut Panir Chellvum, beliau terus meluru ke arah musuh tersebut dan menembaknya sehingga mati sebelum mereka kembali ke kedudukan asal dan berjaga-jaga di kawasan tersebut hingga pagi.

    Keesokannya ketika meninjau di sekitar kawasan pertempuran, Panir Chellvum berjaya menawan seorang anggota komunis yang sedang ketakutan selepas ditinggalkan oleh rakan-rakannya yang lain dan setelah disoal siasat, tawanan tersebut memberitahu bahawa musuh yang terbunuh itu adalah ketuanya.

    Susulan kejayaan itu, Panir Chellvum telah menerima Pingat Gagah Berani pada 1978.

    Sementara itu, seorang lagi bekas polis, Charan Singh Hajara Singh, 75, berkata sepanjang lebih 30 tahun perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, operasi Lada Pedas di Sarikei, Sarawak pada 1970 adalah momen yang paling tidak dapat dilupakan.

    Dalam kebuntuan pasukannya berbincang tentang kaedah dan bagaimana platun mereka diserang hendap musuh, beliau yang ketika itu ditugaskan di Unit Semboyan berjaya menemui jawapannya.

    “Ketika itu Komander dan pasukan sedang berbincang mengenai platun kami yang diserang. Sebanyak tiga perangkap samar telah meletup. Saya yang ingin tahu tentang serangan itu nekad memanjat tebing berdekatan kawasan berlakunya letupan.

    “Saya nampak ada tiga kubu dan nasi yang sudah dimasak di dalam tin kerosin yang sudah dimakan sedikit. Di sana ada satu bateri dengan wayar pada satu bahagian telah disambungkan manakala satu bahagian lagi tidak,” katanya.

    Berbekalkan ilmu taktikal operasi yang diajar sewaktu menyertai pasukan itu, beliau bertindak menyahsambungkan wayar hitam pada bateri berkenaan dan Charan berkata beliau bersyukur, nasib menyebelahinya dan dirinya dilindungi tuhan.

    “Dua daripadanya meletup. Rupa-rupanya ada tiga ke lima perangkap samar yang dipasang musuh, pada jarak kira-kira empat ela (3.7 meter),” katanya.

    Menurutnya selepas selesai operasi di situ, beliau dan pasukannya yang berpangkalan di Ipoh/Ulu Kinta, Perak pulang semula ke Semenanjung dan terlibat dengan beberapa lagi operasi lain menentang komunis.

    Pada akhir perkhidmatannya, Charan bertugas di Balai Polis Kuala Lumpur hingga 1995. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Pasukan Polis Marin Pulau Langkawi serta dalam Cawangan Khas di Songkhla, Selatan Thailand sewaktu bertugas di Alor Setar, Kedah. – BERNAMA