Tag: komponen PN

  • Pas, parti komponen PN tak akan ‘bunuh’ UMNO – Hadi

    Pas, parti komponen PN tak akan ‘bunuh’ UMNO – Hadi

    c

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, sejarah berulang kali membuktikan parti itu pernah menyelamatkan UMNO dan menjadi rumah tumpangan terhadap pemimpin yang disingkirkan parti itu.

    “Pas dan parti-parti komponen dalam PN tidak akan ‘membunuh’ UMNO sepertimana yang diiklankan oleh segelintir pemimpin yang hanya melompat ke pokok yang dilihat akan buahnya sahaja, laksana kera yang kelaparan.

    “Sejarah secara berulang kali telah membuktikan Pas bersama UMNO ketika bermulanya perjuangan kemerdekaan lagi khususnya bagi menyelamatkan keadaan ketika berlakunya darurat Komunis.

    “Apabila Pas menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sewaktu berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

    “Pas juga laksana rumah tumpangan kepada pemimpin UMNO yang disingkirkan apabila berlaku krisis dalaman antara mereka,” kata Abdul Hadi menerusi ruangan Minda Presiden hari ini.

    Mengulas lanjut, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mendakwa, tidak mustahil DAP yang kini menjadi rakan sekutu UMNO dalam kerajaan sekarang akan menelan parti itu.

    Menurut beliau, situasi itu pernah dihadapi oleh UMNO seperti mana yang pernah berlaku di Singapura.

    “Sebaliknya, dalil tidak mustahil DAP ‘menelan’ UMNO sepertimana sejarah berlaku di Singapura, apabila UMNO ketika itu ditelan oleh PAP yang kemudiannya telah melahirkan DAP.

    “Sejarah juga membuktikan Pas banyak membantu UMNO dan dakwaan akan ‘membunuh’ UMNO jika kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar serta mengarut.

    “Sesiapa yang kata bahawa Pas nak bunuh UMNO, tanya dulu siapakah yang bunuh UMNO di Singapura dahulu? Jawapannya ialah PAP (People Action Party) bukan Pas,” katanya.

    Pada masa sama, Hadi juga mengingatkan UMNO mengenai percaturan yang dibuat dengan memilih untuk bekerjasama dengan DAP yang menurut ahli Parlimen Marang itu akan merugikan orang Melayu dan Islam.

    Katanya, Pas yang pernah bekerjasama dengan DAP akhirnya terpaksa menolak parti itu kerana menentang perjuangan Islam yang dibawa olehnya.

    Antara penentangan yang dilakukan oleh DAP, katanya, termasuk menghalang dan mengkritik usaha Pas untuk mengharamkan arak kepada orang Islam sekali pun ia diizinkan kepada orang bukan Islam.

    Selain itu katanya, DAP turut menentang keras pelaksanaan syariat di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pas walaupun ia hanya dilaksanakan ke atas penganut Islam sahaja.

    “Ada orang kata mengapa dahulu Pas berkawan dengan DAP, maka jawabnya, dahulu kita berkawan dengan DAP berkonsepkan tahaluf siyasi yang membolehkan kita menentang kezaliman dan penyelewengan atas titik persamaan.

    “Akan tetapi DAP tidak menghormati konsep adanya perbezaan apabila mereka menentang Islam, malah menentang dasar-dasar dan perjuangan Pas. Bahkan, secara terbuka mereka membela orang Islam yang murtad,” dakwa beliau lagi.

  • PRU15: Parti IMAN harap dapat jadi komponen Perikatan Nasional

    PRU15: Parti IMAN harap dapat jadi komponen Perikatan Nasional

    PARTI Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) berharap permohonan mereka untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

    Setiausaha Agung IMAN, Dr Amir Hamzah Abdul Razak berkata, pihaknya telah menghantar dua kali surat kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 September lalu.

    “Setakat ini maklum balas kami terima adalah positif. IMAN mahu menjadi sebahagian daripada parti komponen dalam PN bukan sebagai ahli gabungan semata-mata.

    “Pendirian kami sangat jelas, jika tidak boleh bersama PN sebagai parti komponen, IMAN akan bergerak sendiri dan menghadapi PRU15 secara sendirian tetapi jika bersama PN, kami akan lakukan yang terbaik secara bersama dengan komponen-komponen PN lain.

    “Perkara utama sekarang ini, IMAN perlu menjadi parti komponen dalam PN terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah serta mengatur strategi seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, IMAN kini mempunyai hampir 12,000 keahlian di seluruh negara terdiri daripada India Muslim termasuk individu lain yang beragama Islam.

    Dalam pada itu, Naib Pengerusi IMAN, Datuk Syed Mohd Ali berkata, IMAN sudah mengerakkan semua jentera di peringkat cawangan dan bahagian sebagai persediaan menghadapi PRU15.

    Katanya, IMAN akan bertanding di beberapa kerusi yang diyakini boleh memberi kemenangan kepada calon mereka dengan membuat persediaan dan kajian mendalam bagi memastikan impian mereka untuk bertanding sekali gus menang tercapai.

    Syed yang merupakan Pengerusi IMAN Negeri Sembilan berkata, setakat ini negeri tersebut mempunyai enam bahagian dan 19 cawangan IMAN.

    “Kami sasar membuka 30 cawangan dan menambah dua bahagian dalam masa terdekat ini,” katanya.