Tag: kluster baharu

  • Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    SEBANYAK 98.34 peratus atau 18,239 kes daripada keseluruhan 18,547 kes baharu COVID-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata baki 308 kes (1.66 peratus) terdiri daripada kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal).

    “12,176 (66.8 peratus) individu tidak lengkap dan tiada sejarah vaksinasi berbanding 6,063 (33.2 peratus) individu lengkap divaksin dalam kategori satu dan dua.

    “239 kes (77.6 peratus) pula terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksin dalam kategori tiga hingga lima,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi untuk hari kedua berturut-turut dengan 3,200 kes hari ini.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.5 peratus atau 1,721,274 daripada jumlah keseluruhan 1,880,734 kes positif COVID-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

    Sementara itu, sebanyak 311 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 270 warganegara dan 41 bukan warganegara dengan 93 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) yang terdiri daripada 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

    Beliau berkata 18,902 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini 252,002,

    Seramai 977 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan COVID-19 dengan 447 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

    Beliau berkata sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 23 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan serta di pusat tahanan.

    Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,465.- BERNAMA

  • Covid-19: Hampir separuh kes hari ini tiada sejarah vaksinasi – KP Kesihatan

    Covid-19: Hampir separuh kes hari ini tiada sejarah vaksinasi – KP Kesihatan

    SEBANYAK 44.8 peratus atau 8,544 kes daripada jumlah keseluruhan 19,057 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini tiada sejarah vaksinasi COVID-19. 

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata sebanyak 4,393 kes atau 23.1 peratus daripada kes yang dilaporkan pada hari ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19  atau kurang 14 hari dari tarikh dos kedua.

    “Sebanyak 6,120 kes atau 32.1 peratus daripada kes positif COVID-19 yang dilaporkan pada hari ini  mempunyai sejarah vaksinasi lengkap dan sebahagian besar daripada mereka berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan,” katanya. 

    Menurut Dr Noor Hisham, 362 kes kematian dilaporkan hari ini yang melibatkan 304 warganegara dan 58 bukan warganegara.

    Kes kematian di rumah atau brought-in-dead yang dicatatkan hari ini ialah 104 kes dan ia merupakan jumlah kes kematian di rumah tertinggi sejak pandemik melanda. 

    Kes aktif COVID-19 di seluruh negara pada hari ini ialah sebanyak 256,302 kes dengan 1,369 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU, 978 kes merupakan kes positif COVID-19 manakala 391 lagi ialah kes yang disyaki dan dalam siasatan.

    Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pada hari ini pula sebanyak 764 kes terdiri daripada 460 kes COVID-19 dan 304 kes merupakan kes disyaki dan dalam siasatan.  

    Menurut Dr Noor Hisham kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara pada hari ini ialah 0.96.

    Negeri yang mencatatkan kadar Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.14 manakala Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt terendah iaitu 0.79, katanya. 

    Sebanyak 16 kluster baharu dilaporkan hari ini berbanding 34 kluster baharu pada Jumaat dan daripada keseluruhan kluster baharu itu, 12 merupakan kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan. – BERNAMA