Tag: klang selatan

  • Polis buru lima suspek kes samun bersenjatakan parang

    Polis buru lima suspek kes samun bersenjatakan parang

    POLIS sedang memburu lima suspek kes samun bersenjata di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Petaling, Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada sebelah petang itu, lima suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang telah meletakkan kenderaan mereka di laluan belakang sebuah rumah sebelum memasuki kediaman itu melalui pintu belakang.

    Beliau berkata lima sekeluarga berumur 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah itu semasa kejadian, dan suspek mengikat tangan serta menutup mulut empat daripada mereka sebelum ditempatkan di dalam dua bilik, manakala seorang lagi mangsa tidak diikat, dipercayai atas faktor usia.

    Menurutnya beberapa suspek turut memukul seorang mangsa perempuan berusia 45 tahun di bahagian hidung dan badan sebelum mengetuk kepalanya menggunakan belakang parang sehingga menyebabkan kecederaan.

    “Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai sekitar RM20,000 dan lima telefon bimbit, sebelum keluar melalui pintu sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Cha berkata kereta yang digunakan suspek kemudiannya dijumpai di sebuah lorong di kawasan perumahan Taman Desawan, Klang, dan semakan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan auspek atau kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

    Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan samun, dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebatan.

    Terdahulu satu rakaman video berkaitan kejadian itu didapati tular di media sosial, memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah dan menaiki sebuah kereta. – BERNAMA

  • Eksperimen sosial makan di kedai:Polis tahan dua suspek

    Eksperimen sosial makan di kedai:Polis tahan dua suspek

    POLIS Klang Selatan menahan seorang lelaki dan seorang wanita susulan tular satu kenyataan di Facebook berkenaan satu eksperimen sosial yang dilakukan iaitu masuk ke beberapa kedai dan makan di kedai makan walaupun belum mendapat suntikan dua dos vaksin COVID-19. 

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima aduan berkaitan satu kenyataan pemilik akaun Facebook bernama Mujaheeda Soleha, yang menceritakan tentang eksperimen sosial beliau masuk ke beberapa kedai dan gambar makan di dalam kedai bersama anak dan suami walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin. 

    “Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Kedua-dua suspek berumur 35 dan 36 tahun itu ditahan polis di kawasan Bandar Putera 2, Klang dekat sini pada 5 petang semalam. 

    Shamsul Amar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

    “Orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.- BERNAMA