Tag: Klang

  • Terperangkap sejak Jumaat, penduduk bimbang putus bekalan

    Terperangkap sejak Jumaat, penduduk bimbang putus bekalan

    PENDUDUK Taman Klang Utama, Taman Cempaka Sari dan Bukit Raja di Klang kini berada dalam keadaan cemas dan bimbang akibat terperangkap dalam banjir kilat sejak Jumaat lalu.

    Menurut seorang penduduk, mereka amat memerlukan barangan keperluan asas seperti lampin bayi, pakaian kanak-kanak dan dewasa serta makanan dengan segera.

    “Kami harap pihak yang berkenaan dapat menyalurkan bantuan dengan segera kerana kini sudah dua hari kami terperangkap.

    “Ada penduduk yang bimbang dengan keadaan mereka yang serba kekurangan kerana tidak membuat sebarang persediaan menghadapi bencana banjir,” katanya, hari ini.

    Difahamkan, sebahagian penduduk di kawasan-kawasan berkenaan telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan namun keadaan di situ agak sesak manakala bantuan masih belum tiba.

    Sejumlah penduduk dikatakan masih terperangkap di tingkat atas rumah masing-masing dan sedang menunggu bantuan makanan dan keperluan asas.

    Mereka memahami masalah yang dihadapi pasukan menyelamat untuk memasuki lokasi yang dilanda banjir kilat.

    Ada dalam kalangan penduduk yang menggunakan media sosial sebagai salah satu kaedah bagi meminta bantuan dalam situasi getir ini.

    Warta Rakyat turut dimaklumkan, situasi serupa dihadapi di Taman Sri Muda, Shah Alam.

  • Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Oleh: Bernama

    HOSPITAL medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka akan mula beroperasi pada petang Jumaat ini (6 Ogos).

    Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

    “Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dr Zulkarnain berkata hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

    Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit COVID-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

    Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu dan boleh menghubungi Mercy Malaysia bagi maklumat lanjut.

    Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit COVID-19 terutamanya di Lembah Klang. – BERNAMA