Tag: KKMM

  • Annuar cadang wujud pusat kawalan komunikasi

    Annuar cadang wujud pusat kawalan komunikasi

    SATU pusat kawalan komunikasi dicadang diwujudkan dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata cadangannya itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu.

    Menegaskan bahawa kerajaan memandang amat serius mengenai keberkesanan penyampaian maklumat, beliau berkata satu kajian sedang dijalankan supaya pusat kawalan berkenaan kelak dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

    “Sesebuah kerajaan berkesan adalah kerajaan yang dapat menyampaikan maklumat pantas dan cepat serta difahamai rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Di peringkat Jemaah Menteri pula, Annuar berkata satu jawatankuasa yang dipengerusikannya dibentuk melibatkan 10 menteri yang akan bersidang setiap minggu bagi membuat penelitian dalam aspek berkaitan komunikasi kerajaan.

    Selain usaha itu yang memberi penekanan kepada komunikasi berkesan, Annuar berkata jentera penerangan kerajaan akan diperkemas bukan sahaja di peringkat Jabatan Penerangan yang berada di daerah-daerah, tetapi juga penglibatan komuniti.

    Ini katanya termasuk menghidupkan komuniti Keluarga Malaysia iaitu satu bentuk kerjasama badan bukan kerajaan di akar umbi agar mereka dapat bersama-sama dengan kerajaan di bawah konsep pemerkasaan komuniti untuk menyampaikan dan menerima mesej kerajaan.

    Pada masa sama, kementerian juga, kata beliau berharap Pusat Internet Komuniti yang ada di seluruh negara dapat diubah suai untuk turut menjadi pusat yang menjadi tempat penyaluran maklumat boleh disampaikan.

    “Pada masa ini ada hampir 800 pusat internet yang akan diubah menjadi pusat digital ekonomi Keluarga Malaysia dan mereka juga dengan kemudahan yang ada akan turut membantu usaha kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

    “Usaha-usaha lain saya fikir memang telah diketahui, di mana agensi di bawah kerajaan termasuk RTM, Bernama, Jabatan Penerangan telah jalankan usaha bersesuaian dengan kaedah-kaedah semasa menggunakan pelbagai media bukan sahaja secara bersemuka, tetapi juga melalui sosial media dan kaedah-kaedah terkini,” katanya.

    Ahli Parlimen Ketereh itu berkata beliau menerima hakikat dan pandangan Ahli-ahli Parlimen bahawa usaha-usaha penyampaian maklumat perlu dipertingkat dan usaha-usaha merekayasa sistem itu perlu dilakukan.

    “Oleh kerana saya baru di kementerian ini, saya perlukan sedikit masa untuk pastikan proses merekayasa sistem ini dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.- BERNAMA

  • KKMM pastikan pedalaman Sabah ada internet – Annuar

    KKMM pastikan pedalaman Sabah ada internet – Annuar

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan setiap rakyat, khususnya di Sabah, mempunyai akses kemudahan internet meskipun tinggal jauh di kawasan pedalaman.

    Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata akses internet adalah hak bagi setiap individu, malah dalam keadaan situasi semasa internet amat penting bagi anak-anak yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    “Kalau kemudahan lain dari segi bekalan air dan elektrik mahu disamakan seperti di Semenanjung mungkin agak perlahan sedikit, tetapi apabila berkaitan dengan internet, apa yang ada di Semenanjung mesti ada di Sabah,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

    Terdahulu Annuar melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, serta mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Jabatan KKMM Sabah, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKMM Datuk Mohammad Mentek.

    Annuar berkata, untuk itu usaha meningkatkan jaringan internet di Sabah telah dilaksanakan seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memperuntukkan sebanyak RM3.5 billion bagi negeri itu.

    Beliau berkata, banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk memudahkan capaian internet kerana bentuk fizikal negeri Sabah yang berbeza dengan negeri-negeri lain, antara cabaran untuk melaksanakan usaha meningkatkan jaringan internet.

    Namun, katanya, kerjasama semua pihak akan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat agar jaringan internet di Sabah akan lebih bertambah baik di masa depan.

    Sementara itu, Annuar berkata, Pusat Internet 1Malaysia juga akan dijenamakan semula dengan fungsi baharu untuk dijadikan sebagai pusat digital ekonomi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Saya sudah beritahu dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri Sabah), mana-mana DUN kalau langsung tiada (pusat internet), automatik masuk tersenarai (bina pusat internet baharu) terus, sebab setiap DUN kena ada minima satu, kalau ada dua tiga lagi elok,” katanya. – Bernama