Tag: KKD

  • Video Aliff Syukri: IRAMA lapor polis, cadang hukuman berat dikenakan

    Video Aliff Syukri: IRAMA lapor polis, cadang hukuman berat dikenakan

    PERSATUAN Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) menggesa kerajaan meminda semula Akta 294 (a) dan (b) susulan isu video muzik lagu Cak Kun Cak Raya dendangan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang disifatkan keterlaluan.

    Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, pihaknya merancang bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

    Menurutnya, video muzik itu melanggar budaya dan tatasusila masyarakat Malaysia serta menghina kemuliaan bulan Ramadan.

    Sehubungan itu, Ayob ingin menggesa Fahmi membawa isu itu ke parlimen agar Akta 294 (a) dan (b) dapat digubal semula kerana disifatkan terlalu longgar sehingga tidak memberi kesan kepada pencipta kandungan.

    “Pegawai polis bertugas mencadangkan saya membawa kes ini kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana akta yang ada terlalu longgar.

    “Jadi, kami berharap KKD dapat membincangkan isu ini di parlimen, seterusnya denda tinggi dikenakan termasuk hukuman penjara bukan sahaja kepada Aliff tetapi kepada semua pencipta kandungan.

    “Jika hukuman berat tidak dikenakan, lebih banyak video tidak sensitif dihasilkan. Disebabkan itulah, hari ini kebanyakan penyanyi dan pencipta kandungan tidak takut dengan denda,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Ayob berkata, beliau pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memberikan promosi percuma kepada usahawan itu.

    Namun katanya, disebabkan video muzik itu menggusarkan orang ramai sehingga timbul perbalahan dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial, maka tindakan terpaksa diambil.

    “Dari mula lagi banyak pihak meminta IRAMA membuat laporan polis, tetapi saya enggan memberikan promosi percuma.

    “Namun selepas didesak penggiat industri, saya akhirnya akur. Namun, objektif saya supaya menteri dapat menggubal akta berkenaan.

    “Saya tidak mahu objektif pada hari ini sia-sia, sama seperti tahun lalu. Tujuan saya datang hari ini kerana mahu video muzik seperti itu disekat dengan hukuman tinggi termasuk penjara dikenakan.

    “Kami bukan menyentuh peribadi Aliff atau lagu ini kerana ia sebuah karya bagus, tetapi video muzik memang tidak bersesuaian untuk tontonan terutama generasi muda,” katanya.

    Gelagat Aliff bersama lima penari yang berpakaian baju Melayu ala baju renang yang ketat serta menari terkinja-kinja dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum, selain merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.

    Bagaimanapun, usahawan kontroversi itu tidak melihat video muzik itu sebagai satu kesalahan kerana mendakwa tidak berbogel dan melakukan aksi ghairah.

    Aliff berpendapat video muzik itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar.

    Tahun lalu, Aliff turut menimbulkan isu sama apabila video muzik lagu Kelepok Raya nyanyiannya turut mengundang kontroversi sehingga mendapat kecaman ramai.

    Video muzik terbabit menampilkan sekumpulan penari lelaki berperwatakan lembut, selain wajah turut disolek.

    Disebabkan itu, Aliff dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung video muzik mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • 654 akaun digantung, KKD perlu perjelas regulasi baharu aplikasi TikTok

    654 akaun digantung, KKD perlu perjelas regulasi baharu aplikasi TikTok

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) digesa memberikan penjelasan mengenai peraturan baharu yang dikenakan terhadap aplikasi TikTok.

    Menurut aktivis media sosial, Mohamad Shafiq Abdul Halim, peraturan baharu itu amat janggal dan tidak tidak mempunyai tafsiran yang jelas mengenai maksud ‘laporan boleh dibuat kepada TikTok sekiranya seorang selebriti atau pegawai kerajaan telah dibuli atau diganggu.’

    Mohamad Shafiq Abdul Halim

    “Ramai pemain TikTok yang akaun mereka disekat atau digantung kerana regulasi baru ini. Rakyat tertanya samada regulasi ini dibuat atas nasihat dari KKD kerana penjelasannya tidak terdapat di dalam laman rasmi tiktok global.

    “Baru-baru ini, TikTok telah menaikkan terma regulasi yang baru di mana laporan boleh dibuat kepada tiktok sekiranya seorang selebriti atau pegawai kerajaan telah dibuli atau diganggu. Apakah maksud perkara ini, adakah jika kritikan dibuat kepada kementerian dan menteri juga dikira sebagai pembulian dan gangguan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BeritaBersatu.

    Dalam pada itu, Mohamad Shafiq berkata, setakat hari ini sejumlah 654 orang pemain media sosial aplikasi itu telah menandatangani petisyen di change.org/kebebasanbersuara kerana akaun mereka telah disekat dan digantung sepanjang Kerajaan Perpaduan terbentuk.

    Sekatan dibuat khususnya kepada pelayar-pelayar yang terlibat berkongsi video tuntutan pengeluaran KWSP dan mengkritik berkaitan kenaikan harga barang.

    “Perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku di mana hak kebebasan bersuara terjamin di dalam Perlembagaan.

    “Saya belum pernah mendengar mana-mana Negara mempraktikkan undang-undang samada kementerian atau Menteri dibuli, ini satu perkara yang kelakar yang berlaku dalam Negara. Mungkin menteri sekarang merasa muram dan mempunyai tekanan psikologi yang teruk kerana dibuli oleh rakyat,” katanya lagi.

    Justeru itu, KKD digesa dengan kadar segera untuk menjelaskan pelaksanaan peraturan tersebut kerana tidak mahu masyarakat disekat dan tidak mempunyai hak untuk bersuara dan meluahkan pendapat mereka.

    “Rakyat hanya perlu akur terhadap saranan dan arahan kerajaan 100 peratus tanpa boleh mengkritik. Walaubagaimanapun regulasi ini tidak dikenakan kepada media sosial yang lain seperti facebook, youtube, twitter dan lain-lain,” katanya lagi.

    Menerusi laman web TikTok, pihaknya akan mengalih keluar apa-apa kandungan termasuk video, audio, strim langsung, komen, pautan, atau teks lain yang melanggar apa yang dinamakan ‘Garis Panduan Komuniti’.

    Menurut aplikasi tersebut, TikTok akan menggantung atau menyekat akaun dan/atau pengguna yang terlibat dalam pelanggaran yang serius atau berulangan malah TikTok juga mungkin mempertimbangkan tindakan pada platform-platform lain serta tingkah laku di luar talian dalam membuat keputusan ini.

    Individu yang menggunakan TikTok juga akan dimaklumkan tentang keputusan itu dan boleh membuat rayuan jika pelayar percaya tiada pelanggaran yang telah berlaku.