Tag: KJ

  • KJ, Muhyiddin tersenyum ketika bertemu, cetuskan tanda tanya

    KJ, Muhyiddin tersenyum ketika bertemu, cetuskan tanda tanya

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali lagi mencetuskan tanda tanya apabila hari ini menyiarkan gambarnya bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Gambar berkenaan dimuatkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu pada ruangan media sosial InstaStory kira-kira dua jam lalu tanpa menyatakan sebarang keterangan.

    Kedua-dua tokoh politik berkenaan kelihatan tersenyum.

    Sebelum ini media melaporkan, Khairy akan mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan PN bagi membincangkan mengenai penyertaannya dalam gabungan politik itu.

    Muhyiddin pula dilaporkan berkata, beliau sudah menetapkan tarikh iaitu dalam minggu hadapan untuk perjumpaan itu diadakan.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebelum ini dilaporkan menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mengesahkan pertemuan Muhyiddin dan Khairy itu.

    Beliau turut mengesahkan pertemuan itu diadakan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara bagi membincangkan mengenai tawaran Bersatu, namun enggan mendedahkan keputusan mengenainya.

    “Memang ada pertemuan di rumah Tan Sri (Muhyiddin), namun kita tunggu nanti kenyataan presiden.

    “Namun, saya sahkan Khairy tidak akan menubuhkan parti baharu dan parti mana akan disertainya. Kita tunggu kenyataan rasmi beliau sendiri,” katanya memetik laporan BH.

  • Pas, Bersatu Selangor tak pernah bincang tawaran untuk KJ

    Pas, Bersatu Selangor tak pernah bincang tawaran untuk KJ

    PAS Selangor mengesahkan tiada perbincangan mendalam berhubung tawaran jawatan atau kerusi kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir, parti itu mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkemampuan untuk diangkat calon menteri besar Selangor, jika Perikatan Nasional (PN) menang.

    “Pas Selangor tak pernah bincang secara spesifik tawaran untuk KJ,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas pendedahan Khairy kelmarin berhubung tawaran bertanding pada PRN Selangor serta sebuah parti berhasrat menamakannya memegang jawatan menteri besar.

    Roslan bagaimanapun berkata, Pas terbuka kepada mana-mana individu, termasuk mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO untuk menyertai parti itu.

    “Tetapi, kami menawarkan semua ahli dan pimpinan UMNO yang kecewa atau tidak berpuas hati (dengan kepimpinan UMNO) agar meneruskan perjuangan mereka melalui Pas.”

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Zulkafperi Hanapi berkata, tiada pelawaan atau tawaran kepada Khairy sebagai calon atau jawatan menteri besar, jika PN memenangi PRN.

    Katanya, tiada perbincangan antara pimpinan Bersatu Selangor dengan Khairy berhubung tawaran itu setakat ini.

    “Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy), tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan,” katanya menurut Sinar Harian.

    Tetapi, beliau berkata, Bersatu mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana bekas pemimpin dan ahli Umno atau Pakatan Harapan (PH) menyertai parti itu, dengan harapan ia dapat menguatkan lagi Bersatu bagi memperjuangkan agenda penyatuan kaum Melayu.

    “Kita yakin sekiranya orang Melayu bersatu padu dan memberi undi kepada PN, maka kerajaan Selangor yang dipimpin PH pasti dapat ditumbangkan.”

    Pada PRU15, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. PH pula menang 16 kerusi Parlimen.

    Di peringkat DUN Selangor, Pas yang merupakan sebahagian PN hanya memiliki sebuah kerusi, iaitu Sijangkang, manakala Bersatu mempunyai empat kerusi, iaitu Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Abdul Rashid Asari (Selat Klang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).