Tag: kit ujian kendiri

  • Khairy ajak ahli farmasi bimbing rakyat ke fasa endemik

    Khairy ajak ahli farmasi bimbing rakyat ke fasa endemik

    AHLI farmasi komuniti diajak untuk bersama-sama kerajaan, belajar dari satu sama lain dan membimbing rakyat Malaysia, memasuki fasa endemik pada ketika negara bersiap sedia untuk hidup bersama virus COVID-19.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ahli farmasi komuniti itu amat penting dalam peperangan menentang COVID-19, kerana mereka merupakan titik penjagaan utama dan penjaga kepada sistem kesihatan negara.

    “Andalah berada di barisan hadapan…pada ketika doktor dan hospital – mereka di barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam keadaan terbeban – barisan berikutnya perlu bertindak, dan mereka ini adalah ahli farmasi komuniti kita.

    “Sebagai profesional penjagaan kesihatan, ahli farmasi mempunyai tugas penting bukan sahaja pada waktu pandemik, tetapi selama bertahun-tahun, terlibat secara langsung dengan komuniti, berterusan menjaga pesakit…kita boleh bekerja bersama dalam bidang seperti rawatan pencegahan dan mendidik masyarakat, bukan sahaja mengenai penyakit tetapi penjagaan kesihatan,” katanya.

    Khairy berkata demikian ketika merasmikan webinar bertajuk ‘Reinvent Pharmacy Biz: Adapt Beyond the Crisis’ anjuran Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) bersempena sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia hari ini.

    Khairy berkata kit ujian kendiri merupakan satu lagi tugas penting ahli farmasi komuniti bersama faksiliti penjagaan kesihatan lain, di mana farmasi merupakan saluran yang betul bagi membeli kit ujian kendiri.

    Beliau berkata ahli farmasi komuniti boleh mendidik orang ramai cara penggunaan kit ujian kendiri, cara penyimpanan dan pembuangannya, selain memberikan kaunseling sebaik keputusan didapati dan malah memberikan pandangan berkaitan perbezaan yang ada antara jenama.

    “Kementerian amat mengalu-alukan penglibatan MCPG untuk terlibat dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita dan kami komited untuk melihat bagaimana profesion ini terus berkembang dan terus maju dalam bidang ini.

    “Seperti yang bersesuaian dengan program ini, kita kini perlu menyesuaikannya dan melihat lebih daripada krisis COVID-19 terhadap kesemua aspek penjagaan kesihatan. Tentunya, terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama,” katanya.

    Khairy turut memuji MCPG sebagai satu komuniti proaktif kerana bertindak untuk bersedia, melatih dan melengkapkan ahli-ahlinya bagi menghadapi kemungkinan peningkatan atau varian baharu, termasuk menganjurkan progam latian vaksinasi awal tahun ini.- BERNAMA

  • Kerajaan jamin harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah

    Kerajaan jamin harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN memberi jaminan harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah menjelang akhir bulan ini terutamanya menjelang pembukaan sesi persekolahan pada 3 Oktober depan untuk membolehkan semua golongan mampu memilikinya.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, harga baharu yang bakal diumumkan dalam masa terdekat diputuskan selepas perbincangan antara pembekal dan peniaga.

    Katanya, walaupun penurunan harga masih belum muktamad namun jumlahnya adalah lebih murah terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.

    “Sekiranya ada keluarga memiliki lima anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100.

    “Jadi, harga baharu yang bakal diumumkan nanti membolehkan mereka dapat melakukan ujian bagi memastikan anak sihat sebelum ke sekolah,”ujarnya selepas meninjau proses vaksinasi ke atas 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong.

    Sebelum ini kerajaan memaklumkan bahawa harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah harga kawalan berkuat kuasa 5 September menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Kit berkenaan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, kerajaan juga akan memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 ke premis perniagaan seperti pasar raya besar dan pasar mini yang berdaftar dengan KPDNHEP.

    Katanya, usaha itu adalah untuk memudahkan orang ramai mendapatkan kit tersebut terutama menjelang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober depan.

  • Semak ketulenan kit ujian kendiri

    Semak ketulenan kit ujian kendiri

    ORANG ramai mesti menyemak ketulenan kit ujian pantas antigen COVID-19 yang dijual secara dalam talian, sebelum membelinya.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, semakan dapat mengelak pengguna daripada tertipu dengan produk palsu yang boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan mereka.

    Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Sibu, Kelyn Bolhassan, berkata sehingga 1 September terdapat 14 syarikat berlesen di Malaysia yang mengedarkan produk kit ujian pantas yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan.

    “Kami masih belum mendapat maklumat mengenai penjualan kit ujian ini secara dalam talian.

    “Kit ini hanya dijual oleh penjual yang diluluskan MDA. Orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu sebelum membeli,” katanya selepas memeriksa farmasi di bandar Sibu, Sarawak, hari ini.

    Kelyn berkata, orang ramai patut mendapatkan kit itu daripada farmasi dan klinik kesihatan berlesen berhampiran.

    Beliau berkata, harga borong kit ujian itu RM16, manakala harga runcit RM19.90 seperti yang ditetapkan kerajaan berkuat kuasa 5 September lalu.

    Katanya, penguatkuasaan memeriksa semua 40 farmasi berlesen di Sibu dan mendapati mereka mematuhi harga jualan yang ditetapkan.

    Kelyn berkata, tiada aduan yang diterima mengenai penjualan kit ujian pantas oleh farmasi yang melebihi harga yang ditetapkan

    “Sekiranya ada, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

    “Denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah.

    “Denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 kepada syarikat yang melanggar peraturan itu,” katanya. – Bernama

  • KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan selain Baricitinib untuk merawat pesakit COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Hishamshah Mohd Ibrahim.

    Bercakap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemulihan Negara hari ini, Dr Hishamshah berkata ubat-ubatan itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan ubat yang kini digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dalam kategori kritikal.

    “Ia menjadi satu cabaran pada kita. Bagaimanapun Malaysia telah secara aktif terlibat dalam banyak ujian klinikal untuk rawatan COVID-19 dan telah mengambil bahagian dalam Ujian Solidariti untuk Rawatan COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Kita juga sedang menggunakan Baricitinib, sejenis ubat baharu dan kita sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan lain yang mungkin akan mendapat kebenaran penggunaan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dalam masa terdekat, serta kita sedang berbincang mengenai perkara itu dengan pihak pengeluar,” katanya pada sidang yang diadakan secara maya itu, anjuran Institut Strategik Bagi Asia Pasifik KSI.

    Sementara itu, Dr Hishamshah berkata KKM sedang meneliti kaedah untuk memudahkan golongan B40 mendapatkan kit ujian pantas antigen COVID-19.

    Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus  menyemak semula harga kit ujian kendiri itu bagi menjadikan kit tersebut mampu dimiliki semua pihak.

    Minggu lepas kerajaan menetapkan harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 pada RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 setiap set, berkuat kuasa 5 Sept lepas.- BERNAMA

  • 11 kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan – Dr Adham

    11 kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan – Dr Adham

    SEBANYAK 11 kit ujian kendiri COVID-19 diberikan kelulusan secara bersyarat setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Beliau berkata daripada 11 kit ujian itu, tujuh kit ujian menggunakan sampel saliva (air liur) dan empat lagi menggunakan sampel nasal swab (calitan hidung).

    “Kit ujian yang telah mendapat kelulusan bersyarat menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu, boleh diperoleh di fasiliti kesihatan awam dan swasta,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang menggunakan kit ujian disaran melaporkan keputusan ujian mereka menerusi aplikasi MySejahtera, bagi membolehkan pemantauan sewajarnya dilakukan oleh KKM.

    Kit ujian itu adalah BERIGHT-COVID-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid); ALLTest COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid); JusChek COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid); Salixium COVID-19 Rapid Antigen Rapid Test; Gmate COVID-19 Ag Saliva; dan Longsee 2019-nCoV Ag & Influenza A/B Rapid Co-Detection Kit (Immunochromatography);

    Sichuan Xincheng SARS-CoV-2 Antigen Assay, Flowflex™ SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test (Self-testing); STANDARD Q COVID-19 Ag Saliva Home Test; ProDetect ™ COVID-19 Antigen Rapid Test (Saliva); dan NEWGENE Bioengineering COVID-19 Antigen Detection Kit.- BERNAMA

  • Pengguna disaran beli kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan MDA

    Pengguna disaran beli kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan MDA

    Oleh: Bernama

    ORANG ramai yang berhasrat membeli kit ujian kendiri COVID-19 disaran supaya membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ terlebih dahulu bagi mendapatkan senarai syarikat dan produk yang telah diluluskan oleh MDA bagi pengedaran dan penjualan kit berkenaan.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membuat saranan itu berkata baru-baru ini pihaknya telah menyiasat aduan seorang pengguna yang membeli kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM60 seunit di sebuah farmasi di Terengganu, dan siasatan mendapati bekalan kit itu diambil dari sebuah farmasi di Pahang.

    Dalam satu kenyataan di sini KPDNHEP berkata farmasi di Pahang yang membekalkan kit berkenaan didapati bukanlah salah satu dari enam syarikat yang mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk mengedar dan menjual kit itu kepada orang awam.

    Menurutnya pemeriksaan di farmasi di Terengganu pula mendapati peniaga berkenaan mematuhi peraturan tanda harga ke atas barangan itu bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan harga yang dipaparkan, kerana hingga kini kit ujian kendiri COVID-19 belum disenaraikan dalam barangan kawalan.

    “KPDNHEP akan mengemukakan dapatan siasatan ini kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu MDA untuk tindakan selanjutnya memandangkan perkara ini bukan di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.- BERNAMA