Tag: KIR

  • Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    TUNTUTAN bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurut Ahmad Samsuri terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

    Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

    “Ada dua daerah yang belum mengemukakan senarai kerana masalah ini (tuntutan bertindih). Ini menyebabkan JPKK terpaksa semak semula.

    “Malah ada juga kes yang tak layak terima pun menuntut. Keadaan inilah yang melambatkan proses agihan kepada mangsa yang benar-benar layak,” katanya selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

    Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata beliau telah mengarahkan supaya masalah tersebut diselesaikan segera.

    Beliau berkata dianggarkan 26,000 ketua isi rumah (KIR) di Terengganu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 pada awal Mac ini.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mengadakan pertemuan rasmi buat pertama kali dengan pemimpin utama negeri Khamis ini, bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pertemuan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu akan melibatkan Menteri Besar Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang. – BERNAMA

  • 10,000 ketua isi rumah terima bantuan khas banjir Januari ini – MB Terengganu

    10,000 ketua isi rumah terima bantuan khas banjir Januari ini – MB Terengganu

    BANTUAN Khas Tunai RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Terengganu dijangka mula diagihkan pada Januari hingga Februari depan.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata proses itu akan mengambil sedikit masa kerana pihaknya perlu meneliti serta mendapatkan senarai mangsa daripada jabatan serta agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan urusan berkenaan.

    Beliau berkata 10,000 KIR dijangka akan menerima bantuan itu bagi meringankan beban selepas mengalami kerugian harta benda akibat banjir teruk bermula 18 Dis lepas.

    “Mekanisme (bantuan) adalah seperti amalan sebelum ini iaitu secara tunai untuk ringankan beban mangsa,” katanya ketika ditemui selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini, hari ini.

    Menurutnya bagi bantuan selain wang tunai, ia akan diteliti oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, yang kemudiannya akan dikemukakan kepada kerajaan negeri, dan ketika ini kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir bagi membolehkan mangsa dapat pulang ke rumah dengan selamat.

    “Paling penting semua mangsa dapat pulang ke rumah, untuk seminggu ini fokus kepada kerja pembersihan dahulu. Keperluan lain akan diteliti oleh JPKK masing-masing kerana masalah setiap orang tak sama,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata beliau akan memohon supaya kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring Fasa Dua bagi mengatasi masalah banjir teruk di kawasan Kuala Nerus.

    Katanya projek fasa satu yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini juga perlu kepada penambahbaikan bagi menghadapi banjir luar jangka seperti yang berlaku minggu lepas.

    “Banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah. Projek tebatan yang direka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sebelum ini adalah berdasarkan keadaan lama.

    “Berdasarkan situasi semasa perlu ada penambahbaikan untuk tebatan lama. Insya-Allah JKR dan JPS akan cari jalan untuk selesai perkara ini,” katanya. – BERNAMA

  • BMTKM fasa kedua bermula pertengahan Okt – Mustapa

    BMTKM fasa kedua bermula pertengahan Okt – Mustapa

    PROGRAM Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa kedua akan bermula pada pertengahan bulan ini membabitkan 110 lokaliti di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau berkata penyertaan seramai kira-kira 10,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar merupakan inisiatif kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Hasil daripada pengalaman melaksanakan BMTKM Fasa 1 akan digunakan untuk menambah baik setiap aspek bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

    “Penglibatan lebih aktif daripada sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) amatlah dialu-alukan, terutama melalui inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Orang Asli Kuala Lah di sini hari ini.

    Mustapa berkata kerajaan sentiasa komited dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan supaya usaha membangunkan masyarakat inklusif serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan negeri dapat dicapai. 

    “Berdasarkan statistik bank data kemiskinan nasional, sejumlah 130,709 KIR miskin tegar direkodkan di seluruh negara hingga 15 Sept tahun ini.

    “Oleh itu, kerajaan menyeru semua pihak untuk tampil bagi bersama-sama menjayakan matlamat ini dengan mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara yang akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun enam bulan,” katanya.

    Mengenai lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Orang Asli Kuala Lah, Mustapa berkata dua projek di lokaliti tersebut telah diperakukan untuk pelaksanaan melibatkan 35 KIR dengan kos berjumlah RM415,995.

    “Projek yang dikenal pasti ialah tanaman serai, halia serta cendawan tiram kelabu dan kesemua peserta ini telah menandatangani aku janji sebagai komitmen mereka untuk memanfaatkan bantuan yang diberikan,” katanya.

    Beliau berkata sehingga kini pelaksanaan projek BMTKM Fasa 1 telah melibatkan 70 lokaliti di seluruh negara dengan membabitkan 1,536 KIR dengan kos berjumlah kira-kira RM17.2 juta. – BERNAMA